Thursday, July 31, 2008

50 serah borang keahlian Kelab Penyokong PAS India Jerai

BEDONG - Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar menerima 50 borang keahlian Kelab Penyokong PAS India Jerai dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan di Markas PAS Bedong malam tadi. Borang keahlian tersebut diserahkan oleh Mr. Kanapathy a/l Muthusamy bagi mewakili rakan-rakannya yang lain.

Ustaz Firdaus dalam ucapannya meminta rakyat tidak terpengaruh dengan isu-isu muzakarah dan muqabalah PAS-UMNO yang dimainkan oleh media-media perdana ketika ini. Baginya, isu ini hanyalah permainan politik pemimpin-pemimpin UMNO dan BN untuk memporak-perandakan PAS dan Pakatan Rakyat. Katanya, "PAS tetap komited dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan mengkhianati amanah dan kepercayaan rakyat terhadapnya".

Menurutnya, "UMNO dan BN sudah makin terdesak apabila rakyat mula meninggalkan dan tidak lagi menyokong perjuangannya dan ini terbukti apabila rakyat memilih untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat sehinggakan banyak cawangan-cawangan UMNO dan pati lain dalam BN di seluruh negara terpaksa dibubarkan apabila ahli-ahlinya bertindak menyertai parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat".

Ceramah tersebut turut dihadiri oleh YB Senator Muhamad Yusof Husain dan YB Lim Soo Nee (Adun Kulim).

Monday, July 28, 2008

Gunung Jerai bakal jadi tarikan pelancong

Gunung Jerai bakal menjadi satu lagi destinasi pelancongan utama bagi negeri Kedah apabila kerja baik pulih prasarananya siap sepenuhnya tidak lama lagi. Semasa tinjauan oleh YB Ustaz Firdaus Jaafar (Ahli Parlimen Jerai) baru-baru ini kerja-kerja pembinaannya giat dijalankan.
Ketika ini kerja-kerja pembinaan telah menjangkau 70% dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir Disember 2008 yang akan datang.

Menurut kontraktor yang terbabit dengan kerja-kerja ini, apabila siap kelak hotel ini akan mempunyai 74 bilik termasuk 24 unit yang baru dibina, 1 dean besar dan 2 dewan seminar yang keseluruhannya boleh menampung jumlah pengunjung yang ramai.

Selain itu, projek tanaman sayuran hidroponik secara komersial dan penanaman strawberi juga makin menampakkan hasilnya dan ianya bakal menjadi tarikan pelancong ke Gunung Jerai.

Sunday, July 27, 2008

Kedah sokong usaha meningkatkan hasil lembu pedaging

GURUN - Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar menyarankan supaya penternakan lembu dikomersialkan sejajar dengan slogan "Pertanian Adalah Perniagaan". Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pembangunan Projek Integrasi Lembu Pedaging Dengan Kelapa Sawit di Harvard Suasana Hotel anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dihadiri oleh penternak-penternak di sekitar Parlimen Jerai.
Dalam ucapannya, Ustaz Firdaus menyeru penternak-penternak agar merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penternakan lembu secara terancang. Ujarnya, "kerajaan negeri Kedah menyokong penuh segala usaha-usaha yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi meningkatkan hasil ternakan dan sekaligus ianya akan meningkatkan taraf kehidupan para penternak".
Seminar sehari itu turut mendedahkan peserta dengan pembentangan kertas kerja oleh Dr. Muhammad Safaruddin Md. Dawam (Ketua Seksyen Pedaging Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia) yang bertajuk Pembangunan Sektor Pedaging di Bawah Program Integrasi PINTAR. Sementara itu Dr. Harun Ongah (Pengurus Bahagian Industri Pertanian NCIA) pula membentangkan kertas kerja bertajuk Pembangunan Industri Lembu di Bawah Program Wilayah Ekonomi Koridor Utara.

Thursday, July 24, 2008

Dailog Pekerja Industri

GURUN - Kesatuan Sekerja beberapa syarikat gergasi di Kawasan Perusahaan Gurun sepakat mengemukakan cadangan kepada YB Ustaz Firdaus dan YB Dato’ Rashid Din agar memperjuangkan nasib pekerja-pekerja industri di dalam Parlimen Malaysia.

Kedua-dua Ahli Parlimen tersebut adalah panel Dailog Pekerja Industri yang diadakan di Gurun baru-baru ini. Turut hadir dalam majlis itu ialah Sdr. Muzaini Azizan (Pegawai Khas YAB Menteri Besar Kedah). Beberapa resolusi telah dicapai semasa sessi dailog dan kedua-dua Ahli Parlimen tersebut berjanji akan mengutarakannya semasa sidang parlimen yang akan datang.

Ustaz Firdaus dalam ucapannya di Parlimen ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2008 telah menyentuh isu-isu berkaitan pekerja industri. Beliau meminta Kementerian Sumber Manusia melihat dan memberi perhatian kepada isu-isu membabitkan pekerja-pekerja industri tempatan dan tidak melayan mereka seperti pekerja asing kerana mereka merupakan penyumbang kepada ekonomi negara.

Wednesday, July 23, 2008

Banjir kilat dapat perhatian segera

GURUN - Hujan lebat pagi semalam telah mengakibatkan banjir kilat di Kampung Sungai Ibor, Gurun. Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar telah bergegas ke kawasan terlibat selepas dimaklumkan tentang kejadian tersebut. Beliau telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak berkaitan dalam usaha menangani masalah banjir kilat itu.

Satu mesyuarat tergempar telah diadakan di lokasi banjir kilat itu dan pihak yang terlibat dengan projek pembinaan landasan keratapi berkembar iaitu Gamuda bersetuju untuk membesarkan saluran aliran sungai berhampiran lintasan kerja-kerja pembinaan yang menjadi punca masalah tersebut dengan segera. Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah pula berjanji akan membesarkan dan membersih sungai terbabit dalam tempoh masa terdekat ini bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Sementara itu tinjauan semula di lokasi terbabit mendapati kerja-kerja pembersihan dan penukaran paip saluran sedang giat dijalankan oleh pihak Gamuda.



Tuesday, July 22, 2008

Ceramah Pakatan Rakyat

Penceramah : YB Ustaz Firdaus Jaafar, YB Senator Yusof Husain, YB Lim Soo Nee
Tarikh : 30 Julai 2008 (Rabu)
Masa : 9.30 malam
Tempat : Markas PAS Bedong

Semua rakyat dijemput hadir

Monday, July 21, 2008

Lawat kawasan & ziarah rakyat

Sidang Parlimen yang bercuti memberi kesempatan waktu untuk YB Firdaus melawat kawasan meninjau masalah rakyat di Parlimen Jerai. Beberapa keluarga yang terlantar sakir turut diziarahi YB.



Saturday, July 19, 2008

Berita Parlimen

Pemuda PAS cadang tubuh suruhanjaya, siasat Najib
Nyza Ayob Foto Wan Zahari Wan Salleh Mon Jul 07, 08 4:07:03 pm MYT


KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - Pemuda PAS mencadangkan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja dapat dibentuk bagi mengadakan penyiasatan terhadap kecelaruan dalam urus tadbir negara yang melibatkan institusi penguatkuasaan, Jabatan Peguam Negara, Polis Di Raja Malaysia dan individu penting dalam negara yang terlibat dalam pelbagai tuduhan baru-baru ini.

Cadangan tersebut disuarakan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Mizan Zainal Abidin Al-Muktafi Billah Shah.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Pegawai Tadbir Istana Negara, Sofwan Ibrahim di hadapan pejabat Istana Negara hari ini.
Turut serta dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Setiausaha Pemuda, Ahmad Sabki Yusuf, Exco Pemuda yang terdiri daripada Mohamad Nasir Zakaria (Ahli Parlimen Padang Terap) dan Firdaus Jaafar (Ahli Parlimen Jerai.)

Jelas Salahuddin, siasatan tersebut melibatkan pertuduhan surat akuan bersumpah Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 yang melibatkan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, iaitu isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam kes pembunuhan Altantuya Shaaribu. Selain itu ia juga melibatkan laporan polis terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat.
Salahudin juga mengharapkan siasatan dibuat terhadap laporan polis terhadap Anwar bertarikh 1 Julai terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa siasatan dilakukan berkaitan surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak dan surat akuan bersumpah kedua bertarikh 4 Julai 2008.
Jelasnya, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri, Tan Sri Musa Hassan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Selain itu dalam memorandum tersebut, Salahudin juga memohon agar Yang Di Pertuan Agung menitahkan Dato' Seri Najib, Tan Sri Musa Hassan dan Abdul Ghani Patail untuk bercuti daripada jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Tambah Salahuddin, penubuhan suruhanjaya tersebut bagi menyiasat semua perkara tersebut supaya dapat memulihkan keyakinan rakyat kerana katanya surat akuan bersumpah dan laporan polis itu menyebabkan timbul rasa curiga dan suasana yang membahayakan keselamatan negara, poliitk dan ekonomi negara yang boleh mengundang campur tangan kuasa asing dalam urusan negara.

Seterusnya Salahuddin menyatakan, PAS menolak sebarang campur tangan kuasa asing dalam urusan negara. "Negara kita mempunyai undang-undang dan perlembagaan. Apa pun kelemahan dalam sistem di negara kita biarlah kita semua yang mengurus tadbir negara kita. Saya cukup yakin dan percaya apabila Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Suruhanjaya Di Raja ditubuhkan, maka ia boleh menyelesaikan banyak masalah dalam negara. Contohnya dalam isu mata lebam Dato' Seri Anwar Ibrahim, apabila suruhanjaya bebas ditubuhkan, ia dapat menyelesaikan masalah tersebut. Begitu juga isu klip video Lingam,"katanya.

Selain itu katanya, di samping penyerahan memorandum diharap beliau mendapat keizinan untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memperjelaskan mengenai kandungan memorandum tersebut. Dalam pada itu, Salahudin dijangka akan membentangkan usul mengenai perkara yang sama di Dewan Rakyat esok.

Jadual perlawanan jejas prestasi bola sepak negara
Nyza Ayub Thu Jul 03, 08 1:15:18 am MYT

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh)- Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat mengkaji semula jadual perlawanan Liga Super dan Liga Malaysia. Sewaktu membahaskan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-9 di Dewan Rakyat semalam, beliau menyentuh jadual padat perlawanan yang menjadi salah satu faktor merosotnya mutu permainan pasukan bola sepak tempatan.

"Kita menyedari apabila sesuatu pasukan menjuarai kejohanan, jadual yang cukup padat mengakibatkan pemain-pemain terlalu letih dan tidak mendapat rehat yang cukup. Saya mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan bekerjasama dengan Jabatan Sains Sukan mengambil kira bukan sahaja pemakanan dan penginapan sahaja, bahkan jadual juga mesti diambil kira. Kalaulah begini, maka yang menjadi mangsa adalah pasukan yang juara. Pasukan yang dapat meneruskan perlawanan, terpaksa berhadapan dengan jadual yang cukup ketat, dan padat," katanya yang kerap menerima rintihan pemain-pemain bola.

Dalam pada itu katanya, isu rasuah yang sering berlaku dalam permainan bola sepak pasukan negeri juga harus dibendung.

"Persatuan bola sepak negeri yang gagal membayar gaji dengan baik mengakibatkan pemain-pemain tempatan mahupun pemain luar sudah mula mencari makan dengan cara haram, akhirnya mereka sanggup menjual perlawanan sebagai rasuah. Ini menyebabkan minat dan sokongan rakyat terhadap mutu bola sepak tempatan menjadi pudar dan Kementerian Belia dan Sukan mesti merancang bagaimana hendak menjadikan sukan bola sepak ini diminati masyarakat," katanya.

Dalam pada itu beliau turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan dapat merangka program yang dapat menyelamatkan golongan belia dari terjebak dengan perkara yang tidak sihat.

"Dibimbangi kita bukan sahaja melahirkan graduan daripada universiti tetapi dalam tempoh yang sama kita juga melahirkan banduan-banduan terancang; kita gagal mengatasi masalah sosial yang sedang melanda negara," katanya.

Dalam ucapannya juga, Firdaus mendesak kerajaan mengkaji semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dilihat semakin membebankan pelajar. Katanya kerajaan seharusnya menyediakan peluang pekerjaan bagi para graduan ataupun membantu menyediakan latihan dan peluang perniagaan untuk golongan terbabit.

"Kerajaan jangan sekadar melihat bilakah pelajar ini akan membayar pinjaman PTPTN. Kita melihat rakyat hari ini mengadu bagaimana alasan kami nak beri kerana tidak mampu membayar hutang PTPTN yang makin hari makin menambah," katanya.

Selain itu beliau juga melahirkan kebimbangan tentang pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang tetapi gagal mendapat pekerjaan kerana tidak memiliki kelulusan yang baik. Sehubungan itu beliau mengharapkan Kementerian Sumber Manusia memberi peluang kepada pelajar yang mempunyai kemahiran yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
Peruntukan RM17 juta untuk CYC dipertikai di Dewan Rakyat
Azamin Amin Wed May 28, 08 1:03:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Dewan Rakyat hari ini menyaksikan kritikan dan pertikaian ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat terhadap tindakan kerajaan memberi peruntukan kepada penganjur Kejohanan Piala Juara Juara Belia (CYC) Ogos ini sejumlah RM17 juta.
Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sewaktu memberi ucapan terhadap perbekalan peruntukan tambahan merasa hairan bagaimana kejohanan ini dibuat tanpa merujuk dan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

Katanya ini membuktikan bahawa Kemneterian Belia dan Sukan tidak membuat perancangan rapi sedangkan jumlah yang diperuntukkan dianggap membebankan negara.

"Mungkin perjanjian telah dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan dahulu tetapi kita nak tahu bagaimana Menteri sekarang menangani isu kontroversi ini?" katanya.

Beliau juga secara sinis mempersoalkan tanggung jawab Timbalan Presiden FAM Khairy Jamaluddin yang dilihat tidak menangani isu dengan baik sehingga mencetuskan kontroversi atara FAM dengan CYC.

"Saya tak tahulah sama ada yang menjadikan koordinasi FAM dan CYC tidak baik adakah disebabkan oleh kehadiran Timbalan Presiden FAM yang baru (Khairy)," katanya.

Manakala (PAS-Jerai) Ustaz Firdaus Jaafar sewaktu meminta penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan menyatakan bahawa kejohanan itu tidak memberi kesan yang besar kepada pembangunan sukan negara dan dianggap sebagai satu pembaziran.

"Permainan hanya 90 minit, 16 pasukan terlibat dan berusia 19 tahun ke bawah tetapi peruntukan sejumlah RM17 juta. Dikatakan untuk membangunkan sukan negara sedangkan Pasukan Bola Sepak Liga (M) sendiri pun telah gagal untuk menyertai Juara Asia pada 2009 nanti menunjukkan prestasi kita sudah jatuh dan perlu diangunkan bukan dengan hanya hebat membuat penganjuran dan pembaziran sahaja," katanya.

Firdaus ketika ditemui di Pejabat Pembangkang menjelaskan lebih lanjut bahawa kejohanan CYC itu hanya melibatkan tiga kali permainan sahaja dan tidak banyak membantu untuk meningkat pencapaian keputusan sukan negara yang jatuh merudum.

Sebaiknya kata Firdaus, untuk menghasilkan produk yng terbaik dalam bidang sukan mestilah Kementerian menghantar pasukan negara ke luar negara untuk membuat latihan yang bersifat profesional.

"Ada laporan akhbar yang menyatakan bahawa Malaysia memang hebat daripada segi penganjuran kejohanan sukan tetapi gagal dalam melahirkan 'produk' sukan yang baik, dengan kata lain suka dengan menang sorak semata-mata," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga tidak mengiktiraf penganjur Kejohanan Piala Juara Juara Belia (CYC) Ogos ini dan menyifatkan peruntukan RM17 juta untuk penganjur kejohanan itu sebagai merugikan.

Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkata, FAM tetap tidak setuju dengan tindakan penganjur, Gifted Group Limited (GGL) membelakangkan badan sukan induk itu walaupun telah menerima surat penjelasan rasmi dari GGL.

Wakil PAS bimbang Kementerian hanya tumpu sukan, sisihkan belia
Nyza Ayob Thu May 15, 08 10:21:49 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Hrkh)- Mohamad Firdaus Jaafar(PAS-Jerai) melahirkan kebimbangannya tentang nasib belia di negara ini yang didapati banyak terjebak dengan masalah sosial dan tanggung jawab Kementerian Belia dan Sukan ke atas golongan ini.
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan seharusnya bukan hanya sekadar memikirkan sukan di peringkat nasional dan antarabangsa sebaliknya 'mencemar duli' turun ke kampung dan desa untuk melihat keadaan sebenar golongan muda yang pada hari ini banyak terjebak dengan masalah sosial.
Tegasnya, kementerian seharusnya melihat pembinaan generasi muda hari ini mengikut lunas-lunas ilmu dan ketakwaan yang membebaskan mereka daripada perkara yang boleh menghancurkan masa depan mereka.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan perbahasan titah Yang DiPertuan Agung malam tadi. Beliau antara Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang diberi peluang berucap dalam perbahasan yang dilanjutkan hampir 12 tengah malam tadi. Firdaus dalam ucapannya turut menyentuh mengenai persatuan belia di Malaysia yang dilihat semakin berkurangan. Jelasnya, 1191 persatuan belia di Malaysia ini tidak mungkin membolehkan Persatuan Belia lebih aktif bagi menyelamatkan golongan belia yang keadaannya cukup kritikal.

"Kenapa dan mengapa golongan belia kurang minat dengan persatuan belia? Apakah cadangan pihak kementerian untuk memenangi jiwa belia agar mereka berasa 'kasih' dan bersama dengan pertubuhan-pertubuhan belia yang ada di negara kita?" soalnya.

Sementara itu dalam ucapannya Firdaus turut menggesa Kementerian Pengangkutan agar mempercepatkan bayaran pampasan ke atas 144 buah rumah yang berada di atas tapak milik KTM Berhad bagi projek keretapi laju di Gurun.

Friday, July 18, 2008

Kejohanan Futsal Piala YAB Menteri Besar

PKWR Parlimen Jerai dengan kerjasama Gurun Jaya Sport Centre telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala YAB Menteri Besar Kedah baru-baru ini. Kejohanan yang berlangsung di Gurun Jaya Sport Centre ini telah disertai oleh 64 pasukan dari seluruh negara dan dirasmikan oleh YB Dr. Hamdan Mohd Khalib (Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan).
Pasukan NAZA FC telah muncul sebagai juara pada kejohanan kali ini. Pasukan ini membawa pulang RM2000.00, piala pusingan dan piala iringan yang disampaikan oleh YB Ustaz Mohd Firdaus Jaafar.

Wednesday, July 16, 2008

Sekalung tahniah untuk YAB Dato' Seri Haji Azizan Abdul Razak

Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak merupakan antara 72 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pemerintahan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Ustaz Azizan yang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah pada 9 Mac lalu selepas pakatan pembangkang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, pula dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah (SPMK) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun mendahului senarai 72 penerima darjah dan bintang kebesaran itu apabila dianugerahkan Darjah Kerabat Halimi (DKH).Anugerah tersebut turut dikurniakan kepada dua lagi kerabat Diraja Kedah iaitu Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Anuar Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

PKWR Parlimen Jerai

Pusat Khidmat Wakil Rakyat Jerai telah memulakan operasinya sejak 3 bulan yang lalu di alamat 2D Bangunan Arked Majlis Daerah Yan, 08800 Guar Chempedak, Kedah Darul Aman. Pejabat ini dibuka pada setiap hari bekerja Ahad hingga Khamis bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang kecuali cuti umum. Orang ramai yang ingin berurusan di pejabat ini boleh datang ke alamat di atas atau hubungi talian 04-4619635 atau melalui email pkwr.jerai@gmail.com