Saturday, February 21, 2009

Belia perlu sertai pelbagai aktiviti.

Mohd Firdaus (duduk tengah) bergambar kenangan bersama pemuda kampung setar sebelum perlawanan bola sepak persahabatan berlangsung.
KAMPUNG SETAR- Belia di Parlimen Jerai perlu berusaha mengukuhkan jati diri mereka dengan menyertai pelbagai aktiviti berfaedah yang telah diadakan di Parlimen itu. Dengan penyertaan itu, ianya mampu mencapai matlamat tersebut.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau inginkan supaya belia-belia di Parlimen itu menyertai pelbagai aktiviti yang telah diatur. Penyertaan belia di sini mampu mendidik mereka menjadi individu yang berguna kepada masyarakat, negara serta agama.
Menurutnya, Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai sendiri telah mengatur pelbagai aktiviti, ianya untuk disertai belia-belia di parlimen ini, antara program tersebut ialah seperti perlawanan bola sepak persahabatan antara pemuda kampung Setar.
"Apabila kita mengadakan aktiviti seumpama ini, secara tidak langsung akan menyatukan hubungan antara belia di sini sendiri. Hubungan antara satu sama lain amat diperlukan dalam menjayakan sesuatu program yang bakal diadakan.
"Dilihat sehingga kini kerjasama amat baik antara belia-belia di kampung ini, kerjasama itu perlulah sentiasa diteruskan," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir menyertai perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan pemuda Jerai dan pemuda kampung Setar, baru-baru ini.
Hadir sama, ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail, Ketua Kampung Setar, Azizan Abu, ketua-ketua kampung berhampiran serta penduuduk kampung itu hadir menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut.
Mohd Firdaus berkata, dengan adanya aktiviti seumpama itu, sekurang-kurangnya belia-belia di sini mempunyai aktiviti untuk dilakukan pada masa terluang. Dalam masa yang sama, belia di sini dapat bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain.
"Belia merupakan pelapis negara pada masa akan datang, oleh kita kita perlu bersama-sama membantu belia di Parlimen ini supaya menjadi insan mulia dan terhindar daripada melakukan sebarang aktiviti tidak berfaedah yang hanya merosakkan masa depan mereka kelak," katanya.

Pukat siput jejaskan pendapatan nelayan.

Mohd Firdaus (dua dari kiri) bersama penduduk Kuala Sungai Udang memohon pihak berkenaan atasi masalah bot pukat siput.

KUALA SUNGAI UDANG- Nelayan bot pukat siput yang sepatutnya beroperasi tiga batu notika dari pesisir pantai telah melanggar kawasan nelayan pesisir pantai sekitar Kuala Sungai Udang, masalah itu berlaku beberapa bulan lalu sehingga kini.
Untuk menyelesaikan masalah itu, Ketua Kampung Keda Kuala Sungai Udang, Abd Majid Abd Ghani telah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan nelayan bot-bot pukat siput yang beroperasi di perairan Yan terutamanya di Kuala Sungai Udang sejak beberapa bulan itu.
Abd Majid telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan pada jam 10.42 pagi kelmarin.
Menurutnya, beroperasinya bot-bot itu telah menjejaskan hasil tangkapan nelayan pesisir pantai di sini. Bot pukat siput tersebut hanya boleh beroperasi tiga batu notika jauhnya dari perairan pantai, tetapi nelayan tersebut telah melanggar kawasan.
"Saya mewakili nelayan di kawawsan ini memohon kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat mengambil tindakan, demi membantu nelayan pesisir pantai di sini untuk mendapatkan hasil tangkapan ikan yang banyak seperti sebelum ini," katanya.

Tuesday, February 3, 2009

RM3576.10 lagi berjaya dikumpul untuk Tabung Jihad Palestin.


SUNGAI LIMAU- Sebanyak RM3576.10 telah berjaya dikumpulkan oleh Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai ketika membuat pungutan derma khas untuk Tabung Jihad Palestin yang telah diadakan di Pekan Hari Sungai Limau, kelmarin.
Hasil pungutan derma oleh masyarakat Sungai Limau itu akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Rakyat Palestin, ianya adalah untuk membantu rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa peperangan serangan Israel di mana telah banyak mengorbankan banyak nyawa.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat negara ini dan di Parlimen Jerai khasnya perlu mempunyai keinsafan dalam diri masing-masing dengan melihat pelbagai kekejaman yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin yang juga merupakan umat Islam.
"Kita yang seagama dengan mereka perlulah tampil membantu, untuk menyumbang tenaga berperang kita tidak mampu, oleh itu dengan sumbangan berbentuk kewangan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penderitaan yang mereka alami.
"Di media masa terpapar pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin, mereka tidak bersalah dan bukannya mereka ingin berperang tetapi mereka merupakan mangsa peperangan," katanya kepada masyarakat Sungai Limau ketika berucap di khalayak ramai untuk sumbangan Tabung Jijad Palestin di sini, kelmarin.
Hadir sama berkempen mengutip derma tersebut ialah Ahli Majlis Daerah Yan, Mohamad Ismail, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan serta ketua-ketua kampung sekitar Sungai Limau.
Mohd Firdaus berkata, PKWR akan terus membantu dengan mengutip derma untuk Tabung Jihad Palestin sekitar Parlimen Jerai dan ianya akan disalurkan kepada rakyat Palestin yang kini amat memerlukan bantuan untuk mereka terus hidup.
"Walaupun sumbangan kita tidak banyak tetapi ianya dapat mengurangkan bebanan yang mereka (rakyat Palestin) tanggung, paling penting ialah sumbangan yang diberikan itu mestilah ikhlas.
"Allah akan memberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kepada sesiapa yang telah menderma untuk kebaikan, seperti membantu orang lain yang dalam penderitaan iaitu seperti mana rakyat Palestin yang kini menderita," katanya.