Sunday, November 9, 2008

Soalan untuk jawapan lisan di Parlimen

SOALAN UNTUK JAWAPAN LISAN DI PARLIMEN
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah kementerian bercadang untuk menaikkan harga atau subsidi padi berikutan dengan kenaikan melampau harga beras.
JAWAPAN TIMBALAN MENTERI
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim] : Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini harga minimum terjamin atau JMP pembelian padi ialah pada RM750 setan metrik. Di samping itu, kerajaan juga memberi subsidi harga padi pada kadar RM248.10 bagi setiap tan metrik padi bersih dan kering yang dijual di pintu kilang. Walaupun harga minimum terjamin pembelian padi ialah RM750 bagi setiap tan metrik padi yang dijual, harga sebenar jualan pada ialah sekitar RM1,000 setan metrik, contohnya di Selangor.
Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minimum terjamin pembelian padi dan subsidi harga padi memandangkan keseluruhan bantuan berjumlah RM923.06 juta setahun yang diberikan kepada petani adalah mencukupi dan telah banyak membantu dalam meringankan beban petani. Bantuan-bantuan yang diberikan secara tahunan kepada petani-petani adalah merangkumi baja subsidi di bawah Program Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan berjumlah RM255.06 juta, subsidi harga padi berjumlah RM448 juta, insentif peningkatan hasil berjumlah RM40 juta, bantuan baja tambahan sebanyak RM95 juta setahun dan bantuan upah bajak RM100 sehektar berjumlah RM55 juta setahun. Terima kasih.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai] : Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Timbalan Menteri. Berkaitan dengan harga padi dan juga subsidi. Sebelum ini kita sedia maklum Kementerian Pertanian telah meletakkan satu tema “Pertanian Satu Perniagaan”. Maka dengan itu sudah tentulah Kementerian Pertanian akan berusaha untuk memastikan setiap produk mereka adalah untuk menghasilkan keuntungan.
Persoalannya apakah kementerian bersetuju bersama dengan petani-petani seluruhnya mempertahankan harga padi yang sedia ada, RM1,000 se metrik tan dan subsidinya walaupun harga diesel, petrol dah mula menurun supaya dapat mempertahankan pendapatan petani.
Yang kedua, persoalan timbul ialah bekalan benih padi, sebelum ini dikawal selia oleh Jabatan Pertanian. Satu beg 20 kilo bernilai RM28, sekarang ini telah diswastakan maka benih padi tersebut telah pun melambung sehingga RM36 ke RM40 satu beg. Ini akan menambah bebanan kepada petani. Jadi saya mohon kepada kementerian untuk melihat kepada dua soalan yang ditimbulkan. Terima kasih.
Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim : Terima kasih Yang Berhormat. Seperti saya katakan harga minimum terjamin adalah RM750 se tan metrik, bermakna harga ini kita akan jamin tidak kurang daripada RM750 tetapi harga di atasnya ia boleh naik setinggi mana. Jadi ini adalah satu persaingan yang sihat sebenarnya Yang Berhormat, dan Kerajaan Negeri Selangor lah yang selalu memberi satu lead player dengan izin di mana telah mengapungkan dengan sebegitu rupa, harga padi sebegitu tinggi.
Jadi Yang Berhormat, seperti Yang Berhormat katakan, kita pastikan jangan turun kurang daripada RM750 tetapi kita tidak mengehadkan kalau harga itu melebihi. Jadi itu adalah satu petanda yang begitu baik sebenarnya adalah persaingan yang begitu sihat. Insya-Allah Yang Berhormat kita memang prihatin sebab bagi kami beras atau padi ini dikategorikan sebagai tanaman yang sensitif yang memang kami akan memberi pemantauan yang begitu rapi.
Mengenai benih padi yang melambung tinggi Yang Berhormat, sebenarnya benih padi ini pun kami beri subsidi juga. Jadi walaupun harga dikatakan melambung tinggi tetapi sebenarnya telah dibantu dengan subsidi benih padi sah. Jadi kami hendak menggalakkan supaya penanam-penanam padi menggunakan benih padi sah. Oleh yang demikian walaupun ada peningkatan harga sebab pada masa itu banyak daripada input-input adalah meningkat dengan mendadak.
Jadi kami juga telah memberikan subsidi khas untuk pembelian benih padi dan pada masa yang sama kita memastikan bahawa segala kos-kos yang berkaitan dengan padi ini kita beri satu bantuan yang begitu besar Yang Berhormat. Jadi sebenarnya kalau mengikut bajet, kalau Yang Berhormat melihat bajet, yang terbesar adalah untuk industri padi. Terima kasih.

Aktiviti YB Jerai di kawasan minggu lalu

Bersama MB menziarahi orang sakit di Singkir
Bersama MB hadiri jamuan dan ramah mesra rakyat Singkir


Merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Kepala Bukit (cawangan baru ditubuhkan)


Bertemu masyarakat Tionghua di Pekan Gurun


Merasmikan Majlis Ihtifal Sekolah Menengah Agama Gurun


Bertemu rakyat di dalam kawasan


Friday, November 7, 2008

Sultan mahu Kedah jadi ‘Jelapang Makanan Malaysia’

SINTOK - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mencadangkan supaya Kedah dibangunkan sebagai pengeluar utama pelbagai jenis makanan sehingga diiktiraf sebagai “Jelapang Makanan Malaysia”. Baginda bertitah langkah itu perlu memandangkan senario ekonomi negara semakin berubah dan menuntut pelbagai bentuk perubahan.
“Beta amat berbangga dengan persepsi nasional yang meletakkan negeri ini sebagai ‘Jelapang Padi’, tapi beta berharap persepsi ini dapat diperluaskan lagi melalui penjenamaan semula kepada “Jelapang Makanan Malaysia”,” titah baginda pada majlis persembahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) kepadanya di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.
Penganugerahan ijazah itu kepada baginda dipersembahkan oleh Pro Canselor UUM Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh sebagai tanda penghargaan atas sumbangan baginda kepada perkembangan dan pembangunan universiti sejak ditabalkan sebagai Canselor universiti itu 20 tahun lalu.
Baginda bertitah UUM mampu menjadi peneraju dalam memenuhi harapan itu dan harus diberi kepercayaan untuk membantu memajukan sektor pertanian negeri termasuk di Koridor Sultan Kedah mahu warga UUM melahirkan idea terkedepan bagi membantu pembuat dasar merangka program-program pembangunan untuk faedah masa depan dengan penekanan kepada aspek kesejahteraan manusia dalam mencapai kemajuan ekonomi.
“Pada hemat beta, beberapa aspek perlu diberikan perhatian iaitu kesejahteraan ekonomi, kemudahan kesihatan, kecergasan fizikal, keharmonian sosial, kestabilan politik serta keseimbangan emosi dan spiritual. “Interaksi sosial juga amat penting bagi membolehkan pertukaran pendapat dan percambahan minda yang sihat,” titah baginda.
Dalam memastikan kestabilan politik pula, baginda menyeru supaya mengelakkan politik yang boleh memusnahkan kesejahteraan masyarakat dan negara sebaliknya mengamalkannya untuk kebajikan rakyat.
“Bagi memastikan kestabilan emosi pula, perancang pembangunan perlu menyediakan kemudahan yang mengambil kira aspek untuk mengurangkan gangguan emosi di kalangan individu dan masyarakat,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) UUM daripada Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh pada majlis Konvokesyen Di-Raja Universiti Utara Malaysia.

Wednesday, November 5, 2008

Ketua kampung perlu adil

YAN - Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar mahukan ketua-ketua kampung baru dilantik melaksanakan tugas mereka dengan penuh adil terhadap semua masyarakat Katanya, di dalam menjalankan tugas diamanahkan, mereka juga perlu menjauhkan diri daripada amalan kurang sihat terutamanya rasuah yang juga ditegah agama.
Beliau memberitahu, ketua-ketua kampung yang dilantik itu adalah untuk mewakili kerajaan negeri melaksanakan tugas di peringkat kampung, oleh itu mereka perlu bersikap adil dan amanah.
Seramai 105 orang ketua kampung daerah Yan telah menerima watikah pelantikan sebagai ketua kampung setelah berlakunya perubahan Kerajaan Negeri Kedah selepas Pilihan raya Umum yang lalu.
Satu majlis khas telah diadakan di Dewan Dato’ Madi, baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fisol Md. Noor, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.
Mohd Firdaus mengingatkan bahawa, pelantikan tersebut merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik dan bersedia menghadapi cabaran dan rintangan. Menurutnya, setiap tugas yang dilaksanakan dalam menguruskan pentadbiran kampung mestilah mengikut ciri-ciri Islam di samping tindakan-tindakan yang dilakukan itu mestilah telus serta ikhlas.
“Sebagai ketua kampung, mereka mempunyai tanggungjawab yang begitu besar. “Selain terhadap keluarga, mereka juga bertanggungjawab menjaga masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, ketua-ketua kampung serta masyarakat perlu berbincang mengenai penyelesaian masalah-masalah di peringkat kampung seperti mengenai pembangunan insan, masalah gejala sosial dan sebagainya.
“Marilah kita sama-sama bersatu dan membantu ketua kampung yang baru dilantik dalam usaha untuk membangun dan memajukan masyarakat, kampung dan negeri ini,” katanya.

Pemuda Pas bantah persidangan UMNO diadakan di sekolah

YAN - Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail berkata, Persidangan UMNO Bahagian Jerai tidak sepatutnya diadakan di institusi kerajaan seperti sekolah-sekolah kerana kepentingan parti tidak sepatutnya dibawa masuk ke sekolah. Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa mengulas mengenai persidangan UMNO Bahagian Baling yang telah diadakan di Sekolah Menengah Agama Baling, baru-baru ini.
“Pemuda Pas Kawasan Jerai turut membantah sekiranya Persidangan UMNO yang dijadualkan akan diadakan di Sekolah Menengah Agama Yan yang akan diadakan pada 8 November ini terus diadakan di sekolah tersebut,” tegasnya.
Menurutnya, aktiviti mana-mana parti tidak sepatutnya diadakan di sekolah-sekolah, sekali pun mereka menyewanya. Katanya, masih ada banyak lagi tempat yang lebih sesuai boleh diadakan perhimpunan atau aktiviti seperti termasuk di Dewan Orang Ramai, Dewan Majlis Daerah dan sebagainya tanpa melibatkan institusi pendidikan yang terdapat di negeri ini.
“Sebagai contoh, di daerah Yan sendiri terdapat banyak tempat yang lebih sesuai untuk diadakan mesyuarat oleh mana-mana parti termasuk di Dewan Orang Ramai Guar Chempedak dan Dewan Dato’ Madi,” katanya.
Menurutnya lagi, Pemuda Pas dan wakil kepada Ahli Parlimen Jerai akan membuat bantahan sekiranya UMNO mengadakan aktiviti parti di mana-mana sekolah. Selain itu, surat bantahan itu juga akan dihantar ke sekolah yang terlibat, ianya adalah kerana kita tidak mahu kepentingan mana-mana parti dibawa masuk ke sekolah di mana ianya merupakan institusi pendidikan.
“Kita (Pas) sendiri tidak pernah mengadakan aktiviti parti di sekolah-sekolah milik kerajaan, Pas mempunyai tempat sendiri untuk mengadakan sebarang aktiviti parti". Mohamad berkata, sekiranya pihak UMNO terus mengadakan aktiviti parti di sekolah-sekolah, menunjukkan bahawa mereka (UMNO) tidak “Gentlemen” kerana mereka telah menggunakan kemudahan kerajaan persekutuan yang ada untuk mengadakan aktiviti parti dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
“Selain itu, kita juga kecewa dengan tindakan meletakkan nama Barisan Nasional (BN) di papan tanda pada sesuatu projek kerajaan yang diadakan di negara ini. Ini menunjukkan mereka (kerajaan BN) membelakangkan Malaysia, kerana projek tersebut merupakan projek daripada Kerajaan Malaysia oleh yang demikian lebih baik menggunakan nama Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Wakil Peribadi kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain berkata, bahawa tidak sepatutnya sekolah-sekolah dijadikan tempat mengadakan aktiviti mana-mana parti dan pada masa yang sama, terdapat juga ahli UMNO yang menganggap bahawa Dewan Orang Ramai merupakan hak UMNO.
“Perkara tersebut tidak betul kerana Dewan Orang Ramai adalah hak semua masyarakat,”jelasnya.