Sunday, April 26, 2009

Kerajaan negeri bantu semua rakyat


SUNGAI LIMAU- Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau bersama ketua kampung, ketua komuniti kaum Tiongha serta Ahli Parlimen Jerai telah melawat dua buah keluarga yang memerlukan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), baru-baru ini.
Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan berkata, telah menjadi dasar kerajaan negeri membantu semua kaum yang terdapat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik serta mentadbir negeri ini dengan adil.
Menurutnya, dengan inisiatif PKWR DUN Sungai Limau turun padang bersama pemimpin peringkat kampung serta JKM adalah untuk memastikan bantuan kepada mereka yang layak menerimanya dapat diluluskan dengan segera.
"Lawatan tersebut menunjukkan bahawa kerajaan negeri ini di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah meminggirkan rakyatnya selama ini.
"Sambil membuat lawatan melihat keadaan dua buah keluarga tersebut, kerajaan negeri turut menghulurkan bantuan kepada keluarga itu dalam bentuk barangan keperluan harian seperti beras, gula, biskut dan lain-lain," katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di sini semasa beliau turut serta melawat dua buah keluarga tersebut, baru-baru ini.
Dua keluarga itu ialah, Tan Chee Wei, 30, mengidap strok yang menetap di kampung Simpang Tiga Sungai Limau bersama ibunya, Chan Ah Soon @ Chan merupakan ibu tunggal, manakala Woo Long Fooi, 54, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) tinggal seorang diri di Kampung Jerang Belanga.
Muzaini berkata, meminta ketua-ketua kampung yang ada di Kawasan Jerai untuk memberikan kerjasama terhadap kerajaan negeri dalam membantu semua rakyat kerana tidak mahu ada yang tercicir daripada perhatian kerajaan negeri.
Kelmarin, Sinar Harian telah menghubungi JKM Guar Chempedak untuk mendapat jawapan status dua buah keluarga tersebut yang turut di lawati oleh kakitangan JKM, baru-baru ini.
JKM Guar Chempedak memberitahu bahawa sebanyak RM300 sebulan telah diluluskan kepada Chan Ah Soon @ Chan melalui Bantuan Orang Tua yang telah menjaga anaknya, Tan Chee Wei. Manakala status Woo Long Fooi yang merupakan OKU masih lagi dalam proses penyiasatan kes.

Peminat futsal di minta membanjiri Stadium Sultan Abdul Halim pada 25 April ini.


JERAI- Lapan pasukan zon Selatan yang layak ke peringkat negeri dalam kejohanan futsal terbuka sempena keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ialah pasukan Shuhada A, Shuhada C, Dacs A, Legenda, Tuah, Arena A, Al-Muqtadin, serta Afe 68.
Manakala lapan lagi pasukan bagi zon utara yang layak ke peringkat negeri ialah, Pida Ft, Public Bank, K-Team, Traxx, Whiz Sports, Lagenda, WGE, serta D-Futsal.
Timbalan Presiden II Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Mohd Firdaus Jaafar berkata, kejohanan tersebut merupakan anjuran Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah dan meminta peminat-peminat futsal untuk membanjiri di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar untuk menyaksikan pertandingan akhir kejohanan itu yang akan berlangsung pada 25 April ini.
Menurutnya, setelah mengadakan pertandingan peringkat zon, lapan pasukan terbaik akan di pilih untuk ke peringkat negeri.
"Saya mengharapkan rakyat di negeri ini dapat menyokong aktiviti kesukanan yang di adakan itu kerana dengan bersukan mampu membentuk minda kita ke arah pemikiran yang lebih positif," katanya kepada Sinar Harian ketika di hubunngi, kelmarin.
Johan di peringkat negeri nanti akan menerima wang tunai sebanyak RM3000 beserta piala iringan dan barangan Figos, naib johan RM2000 serta piala iringan, ketiga RM1000 serta piala iringan dan tempat keempat akan membawa pulang wang tunai RM500 serta piala iringan.

PKWR DUN Sungai Limau turun padang bantu rakyat

Mohd Firdaus (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berupa barangan keperluan dapur kepada Woo Long Fooi di rumahnya di Kampung Jerang Belang, kelmarin.

KAMPUNG JERANG BELANG- Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan kerjasama Ahli Parlimen Jerai telah mengadakan lawatan ke rumah penduduk sekitar DUN Sungai Limau bertujuan menghulurkan bantuan.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan negeri melalui PKWR DUN Sungai Limau bertujuan mencari penduduk kurang berkemampuan supaya mereka dapat di bantu.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan rakyatnya, melalui PKWR dengan bantuan daripada Majlis Ketua Kampung (MKK) serta komuniti kaum Cina dan India maka setiap penduduk yang layak menerima bantuan akan di bantu.
"Bantuan akan di berikan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun kaum dan setiap permasalahan rakyat di minta pemimpin peringkat kampung mengambil tindakan segera menghubungi PKWR di kawasan masing-masing.
"Kita tidak mahu masih ada rakyat di negeri ini tercicir daripada perhatian kerajaan negeri, untuk menjayakan usaha tersebut maka aktiviti turun padang seperti hari ini (kelmarin) telah diadakan," katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di sini semasa membuat lawatan sekitar DUN Sungai Limau, kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Ketua Komuniti Kaum Tiongha Parlimen Jerai, Lee Kooi Kong, Pengerusi MKK Sungai Limau, Khor Ah Ching, Pengerusi MKK Kota Sarang Semut, Ng Lai Hock, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Guar Chempedak serta kakitangan PKWR DUN Sungai Limau.
Dalam program tersebut, Mohd Firdaus turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berupa barangan keperluan dapur kepada dua buah keluarga kaum Cina.
Mohd Firdaus berkata, untuk memastikan masyarakat di Parlimen Jerai yang layak memerima bantuan tidak tercicr, maka kakitangan JKM telah turut serta dalam program turun padang menemui penduduk sekitar DUN Sungai Limau tersebut.
"Bukan hanya di DUN Sungai Limau di adakan program seumpama ini tetapi saya akan memastikan seluruh Parlimen Jerai akan diadakan program ini, perkhidmatan kepada rakyat akan di berikan dengan adil," katanya.
Beliau berkata, apa yang diharapkan ialah kerjasama antara MKK, Ketua Kampung, Ketua Komuniti Cina dan India supaya memastikan penduduk di kawasan mereka yang layak menerima bantuan tidak tercicir, usaha membantu penduduk perlulah dilakukan dengan menghubungi pihak berkaitan.

MKK terus beri kerjasama terhadap kerajaan negeri

Mohd Firdaus (kanan) semasa melawat salah seorang warga emas Mohd Dahlan Yaakob (tengah) di rumahnya di sini, baru-baru ini.

KAMPUNG SETAR- Majlis Ketua Kampung (MKK) sentiasa akan terus bekerjasama dan membantu kerajaan negeri ini dalam memastikan semua penduduk di sesebuah kampung mendapat perhatian dan tidak ada yang tercicir.
Pengerusi MKK Kampung Setar, Azizan Abu berkata, beliau sebagai pengerusi MKK akan sentiasa membantu masyarakat di kawasannya serta bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menurutnya, di lihat kini kerajaan negeri yang mana ianya di takbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) telah banyak memperjuangkan rakyat, pelbagai permasalahan rakyat telah berjaya di selesaikan sejak pemerintahan setahun lalu.
"Saya akan terus membantu kerajaan negeri ini untuk memastikan masyarakat di bawah kawalan saya di peringkat kampung mendapat perhatian, pelbagai usaha telah dijalankan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik.
"Semua masyarakat pasti akan di berikan perhatian, dan saya sendiri sebagai pemimpin peringkat kampung yang telah di lantik oleh kerajaan negeri akan membantu masyarakat dengan adil dan saksama," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir sama melawat beberapa orang warga emas yang sakit sekitar kampung Setar, baru-baru ini.
Hadir sama melawat ialah Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, sambil melawat beberapa buah keluarga warga emas di kampung tersebut, Mohd Firdaus turut menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri berupa barangan dapur kepada keluarga tersebut.
Azizan berkata, dalam membantu meningkat ekonomi di kampungnya, satu projek berbentuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan di bangunkan di kampung tersebut yang kini masih dalam proses penubuhan, ianya merupakan di bawah biro hal ehwal wanita MKK kampung Setar.
"Segala permasalahan masyakat di kampung ini boleh bertemu dengan jawatankuasa MKK kampung ini, usaha akan dibuat dalam membantu masyarakat tanpa mengira fahaman politik mahupun kaum, kini motif utama ialah untuk memberikan keselesaan kepada semua masyarakat," katanya.
Beliau berkata, ingin masyarakat di negeri ini dan kampung Setar khasnya supaya dapat memberikan kerjasama yang baik terhadap MKK, ianya untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri sekarang ini di bawah PR berjalan lancar dalam membantu rakyatnya.
"Ini kerana kerajaan negeri ini merupakan kerajaan contoh di mana kerajaan negeri Kedah sentiasa mentadbir negeri dengan baik dan sentiasa melakukan perbelanjaan berhemah tanpa melakukan sebarang pembaziran," katanya.