Saturday, November 22, 2008

Penduduk, pelajar dan pemimpin bergotong-royong hapus denggi

GURUN- Kira-kira 100 penduduk Taman Perumahan Perwaja, Gurun bersama-sama pelajar-pelajar Institut Teknologi Perwaja, Gurun telah turut terlibat bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan tersebut untuk membasmi jangkitan denggi daripada merebak kawasan perumahan itu.
Turut hadir pada program gotong-royong tersebut ialah Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Muzaini Azizan, Ketua Komuniti Taman Perumahan Perwaja, Bokhari Ali serta jawatankuasa komuniti taman perumahan tersebut.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, dengan adanya program tersebut, selain dapat bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan ini untuk mencegah jangkitan denggi, pelbagai kebaikan lain diperolehi oleh semua yang terlibat dalam program tersebut.
"Ini merupakan usaha murni yang perlu diteruskan oleh masyarakat hari ini di mana kita semua hidup dalam sebuah komuniti perlu sama-sama hadir apabila adanya aktiviti seumpama ini kerana dengan adanya aktiviti tersebut dapat membantu mengukuhkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Menurutnya, dalam masa yang sama masing-masing dapat bertukar-tukar fikiran kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan tugas seharian, kesempatan dengan adanya program itu perlulah diambil oleh masyarakat.
"Meminta supaya masyarakat menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka tidak kira sama ada di taman atau kampung mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Mohd Firdaus berkata, tujuan aktiviti gotong-royong diadakan lebih kerap kerana kini di sekitar taman perumahan Gurun telah ada yang merebaknya jangkitan denggi, tetapi Taman Perumahan Perwaja masih tiadanya berlaku jangkitan denggi. Oleh yang demikian masyarakat di sini perlulah membersihkan kawasan perumahan mereka untuk mengelak daripada jangkitan denggi mereka ke taman tersebut.
"Kita akan mengadakan pertandingan mencantikkan taman dan kampung melalui bajet kerajaan negeri, tujuannya mengadakan aktiviti seumpama itu ialah untuk memupuk masyarakat kita supaya menjaga kawasan perumahan mereka, di samping itu ianya akan membantu mencantikkan kawasan kampung atau taman.
Katanya, beliau turut meminta supaya pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dapat memungut sampah dengan lebih kerap, terutamanya pada hari Khamis kerana Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti jadi sekiranya sampah tidak dipungut pada hari Khamis maka akan menyebabkan sampah bertimbun banyak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Komuniti Taman Perumahan Perwaja dan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mergotong-royong membersihkan kawasan perumahan ini. Diharapkan aktiviti tersebut diteruskan pada masa akan datang.

Nisa' rai 150 orang anak yatim

GUAR CHEMPEDAK- Seramai 150 orang anak-anak Yatim sekitar Negeri Kedah telah diraikan dalam satu majlis khas oleh Penghubung Generasi Muda (Nisa') yang telah diadakan di Sekolah Integrasi Faizin (SAIF), baru-baru ini.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, program tersebut di manya ianya dalah untuk meraikan anak-anak yatim yang terdapat di negeri ini. Ini menunjukkan bahawa Nisa' juga sentiasa perihatin kepada mereka yang memerlukan perhatian seperti anak-anak yatim.
"Dengan adanya aktiviti Nisa' ini merupakan salah satu aktiviti yang baik dan perlu diteruskan oleh pihak lain juga. Nisa' yang mana dianggotai oleh generasi muda telah membantu daripada berlakunya masalah gejala sosial di kalangan remaja hari ini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Nisa' mendapat sokongan daripada beliau, malah semasa ucapan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan, Ustazah Siti Ashah Ghazali turut menyokong aktiviti Nisa' dalam membantu masyarakat hari ini.
"Nisa' yang dianggotai oleh wanita-wanita berhasrat melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu, berakhlak mulia serta mempunyai keperibadian yang terpuji.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu menjayakan program Nisa' bersama anak-anak yatim itu, mengharapkan Nisa' akan terus berjaya pada masa-masa hadapan dalam membantu masyarakat hari ini.
Selaras dengan misi Nisa' iaitu untuk mencapai matlamat melalui program-program yang dirancang dengan teliti, disemai dengan kasih sayang disampaikan dengan penuh keikhlasan maka, baru-baru ini telah diraikan anak-anak yatim sekitar negeri Kedah yang diadakan di SAIF, Guar Chempedak.
Pelbagai aktiviti telah diadakan semasa majlis tersebut, seperti persembahan nasyid daripada pelajar SAIF, dan sedikit sumbangan telah disampaikan oleh Ustazah Siti Ashah Ghazali kepada anak-anak yatim yang dirai dalam majlis itu.

Tuesday, November 18, 2008

YB Jerai rai kunjungan Kelab Motosikal Padang Besar

Kunjungan Kelab Motosikal Padang Besar ke Daerah Yan disambut baik oleh Ahli Parlimen Jerai. Konvoi yang disertai lebih 30 motosikal itu dibawa menjelajah sekitar Parlimen Jerai dan kawasan-kawasan pelancongan terkenal di Daerah Yan iaitu Titi Hayun dan Pantai Murni.


Di sebelah petangnya, satu perlawanan bolasepak persahabatan di antara Pasukan Pilihan YB Jerai dan Pasukan Kelab Motosikal Padang Besar telah berlangsung di Padang Awam Pantai Murni yang berkesudahan dengan seri 3-3. YB Ustaz Firdaus turut mencatat nama sebagai penjaring gol bagi pasukannya.
Ustaz Mohamad Ismail (Ketua Pemuda PAS Jerai) adalah di antara pemain bagi pasukan Pilihan YB Jerai.

Kedua-dua pasukan bergambar sebelum perlawanan bermula

YB Firdaus menerima cenderahati dari kapten pasukan pelawat sambil diperhatikan oleh Ust. Mohamad Ismail

Saturday, November 15, 2008

Penjelasan kuota perumahan Kedah oleh MP Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Baru-baru ini masyarakat sering digembar-gemburkan dengan isu kuota perumahan di negeri Kedah yang dilabelkan rakyat atau sesetengah pihak sebagai tidak adil. Namun begitu, rata-rata yang melabelkan kuota perumahan yang telah dinaikkan menjadi 50 peratus kepada bukan Bumiputera dan 50 peratus kepada Bumiputera daripada kuota asal 70 peratus kepada bukan Bumiputera dan 30 peratus kepada Bumiputera sebagai tidak adil sebenarnya disalahtafsirkan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul berkata, sebenarnya isu ini tidak seharusnya dikecohkan rakyat kerana penjelasan sebenarnya mengenai tindakan Kerajaan Negeri menaikkan kuota berkenaan adalah adil dan saksama kepada rakyat, namun ianya hanya berbeza dalam aspek tertentu sahaja.

“Sebenarnya pemahaman rakyat mengenai isu ini yang salah faham perlu diperbetulkan. Kerajaan Negeri hanya mengguna pakai kuota perumahan 50-50 ini adalah jika berlakunya proses ‘swapping’ tanah,” katanya yang telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kedah pada petang Rabu lepas di Wisma Darul Aman tentang perkara ini.

Menurutnya, jika dilihat dari sudut tanah individu di dalam bandar, terdapat tiga jenis tanah yang boleh dikategorikan iaitu tanah kerajaan, tanah milik bebas (free hold) dan tanah rizab Melayu.

“Selama ini untuk setiap pembangunan perumahan bagi tanah milik bebas, Kerajaan Negeri kenakan kuota perumahan sebanyak 70 peratus untuk bukan bumiputera dan 30 peratus lagi untuk Bumiputera"

“Namun, setelah dikaji, terdapat banyak tanah rizab melayu di kawasan bandar dan tidak dibangunkan berikutan faktor tidak berkemampuan untuk dibangunkan oleh tuan tanah dan kita lihat terdapat banyak tanah milik bebas di kawasan pedalaman negeri ini yang juga tidak dibangunkan,” katanya.

Johari berkata, individu yang ingin melakukan proses ‘swapping’ atau pertukaran tanah di antara tanah milik bebas di kawasan lain dengan tanah rizab melayu di kawasan yang ingin dibangunkan, tanah yang dahulunya tanah rizab Melayu tetapi ditukarkan menjadi milik bebas maka kuota perumahan sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera dan 50 peratus lagi untuk bukan Bumiputera akan dikenakan Kerajaan Negeri.

“Jadi untuk pembangunan perumahan tanah milik bebas yang tidak berlaku ‘swapping’ akan dikenakan kuota perumahan seperti sediakala iaitu 70-30 dan rakyat perlu faham mengenai perkara ini sejelas-jelasnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang terlibat agar menjelaskan perkara ini kepada rakyat yang kebanyakannya hanya golongan biasa sahaja dan sukar memahami proses kuota perumahan yang berlaku sedikit perubahan ini.

“Apa yang Kerajaan Negeri buat adalah untuk memberikan sesuatu yang adil dan saksama kepada semua dan Menteri Besar turut menegaskan Kerajaan Negeri juga tidak mahu mana-mana pihak teraniaya,” kata Johari.

Beliau turut menyarankan mana-mana pihak yang ingin melakukan proses ‘swapping’ tanah boleh berurusan seperti biasa di Pejabat Tanah dan Daerah di tempat masing-masing.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa pihak Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia Cawangan Kedah / Perlis (REHDA) telah memohon maaf kepada Kerajaan Negeri tentang isu kuota perumahan yang telah dibangkitkan ini.

Selain itu katanya, wakil rakyat juga diminta untuk memberikan penerangan kepada semua rakyat tentang isu kuota perumahan ini agar rakyat mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai hal ini. Beliau turut memberitahu, Menteri Besar juga sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan keterbukaan dengan semua pihak dalam usaha untuk membangunkan Negeri Kedah terutamanya untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar.

Tuesday, November 11, 2008

LPP, PPK jual terus benih padi elak harga melambung

JELI 9 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menjual terus benih padi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memastikan harganya tidak melambung tinggi.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan satu daripada strategi kementerian bagi mengelakkan petani terpaksa menanggung beban kerana harga benih padi yang mahal.
Beliau berkata, hasil kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian mendapati kenaikan harga tersebut disebabkan dua faktor iaitu orang tengah dan kenaikan harga padi semasa.
"Jadi untuk membantu petani, kita akan mengurangkan penggunaan orang tengah dengan benih padi dijual terus kepada petani melalui PPK dan LPP. Dengan cara ini, harga benih padi dapat dikawal daripada melambung naik.
"Jika harga padi naik maka harga benihnya juga akan turut meningkat disebabkan masa untuk menuai lebih panjang daripada padi biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Agro Bank cawangan Jeli di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan para petani supaya kementerian tersebut campur tangan berhubung kenaikan harga padi benih jenis 232 daripada RM25 kepada RM40 sekampit di Kelantan yang dianggap membebankan mereka.
Kenaikan mendadak itu menyebabkan petani terpaksa membelanjakan sebanyak RM160 (tahun ini) berbanding RM100 (tahun lepas) untuk membeli benih bagi keperluan setiap 0.4 hektar.
Mustapa berkata, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah subsidi benih padi bagi mengurangkan beban yang ditanggung petani.
"Ada desakan dari pengeluar benih padi supaya subsidi ditingkatkan bagi menampung kos yang semakin meningkat.
"Kerajaan sebelum ini hanya memberikan subsidi sebanyak 50 sen untuk setiap kilogram benih padi dan kita sedang mengkaji untuk menambahkan subsidi ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian tersebut sedang menyusun semula sektor pertanian bagi memastikan ia terus berdaya saing dalam menempuh suasana semasa dunia yang tidak menentu.
Katanya, ia amat perlu bagi memastikan sektor itu dapat ditingkatkan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan sebelum ini tidak memberikan penekanan kepada sektor pertanian cuma sejak tiga atau empat tahun lepas bidang ini diberi perhatian,'' ujarnya.
Misalnya kata beliau, pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM3 bilion tetapi pada RMK-9 ia ditingkatkan kepada RM10 bilion.