Thursday, November 27, 2008

Petronas anjur program komuniti

KAMPUNG KILANG KETAPAN - Pertonas Fertlizer Kedah mengadakan program komuniti surau Kampung Kilang Ketapan di sini baru-baru ini. Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, usaha murni Petronas Fertlizer adalah satu aktiviti sosial yang baik dalam membantu masyarakat, terutama mereka yang memerlukan bantuan.
Firdaus turut memohon agar Petronas meneruskan aktiviti seumpama itu ke kampung-kampung lain kerana ia mampu menyatupadukan hubungan antara masyarakat dalam sesebuah kawasan. Program seumpama itu secara tidak langsung akan merapatkan hubungan antara kakitangan Petronas dengan masyarakat.

“Khidmat sosial itu merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang boleh kita teruskan pada masa-masa akan datang. Kita perlu fikirkan aktiviti yang mampu menyatukan hubungan antara masyarakat hari ini dalam sesebuah komuniti. Aktiviti tersebut perlulah dijadikan contoh oleh pihak lain," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah atas kejayaan Petronas menganjurkan program itu dan terima kasih kepada Petronas Fertlizer Kedah kerana memilih Surau Kampung Kilang Ketapan untuk dijadikan destinasi mengadakan aktiviti di samping menyumbang kepada pembangunan surau kampung tersebut.

Dalam program komuniti surau kampung Kilang Ketapan dengan slogan “Motivasi Ummah Gemilang”, Petronas menyumbang pagar surau. Dalam program yang sama, pelbagai aktiviti lain dijalankan seperti gotong-royong memasak bersama penduduk kampung, sukaneka kanak-kanak, serta ceramah motivasi.

Wednesday, November 26, 2008

Terap didikan agama sejak kecil

GUAR STESYEN - “Pelbagai masalah timbul dan dapat dilihat dalam masyarakat kita hari ini, antaranya masalah dalam menjaga anak masing-masing,” kata Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail ketika hadir merasmikan majlis Ihtifal Pasti As-Salam.

Katanya, ibu bapa sanggup menghabiskan wang ringgit demi pendidikan kepada anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan ilmu agama dalam diri anak sejak kecil sebab ia akan membantu mereka supaya lebih berjaya dalam kehidupan mereka kelak.

“Masyarakat hari ini begitu sibuk dengan tugas masing-masing, kita dapat lihat hari ini yang mana pusat jagaan atau pusat asuhan kanak-kanak tumbuh bagaikan cendawan kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Ia tidak cukup sekadar itu sahaja kerana selain penjagaan keselamatan, ibu bapa perlu memberikan ilmu secukupnya kepada anak yang merupakan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Kitalah yang akan mencorakkan anak menjadi individu yang baik atau sebaliknya, cara kita mendidik anak perlulah dengan cara terbaik. Apabila di sekolah, guru akan mengajar tetapi apabila di rumah tugas ibu bapa pula adalah untuk mendidik anak dengan menyuruh anak mempraktikkan apa yang diajar guru,” katanya.

Mohamad berkata, kini masyarakat tertekan dengan ekonomi negara yang tidak menentu dengan kos minyak, harga barang yang tinggi, namun kita tetap memberikan pendidikan kepada anak dengan menghantar mereka ke sekolah. Menurutnya, beliau turut menyarankan ibu bapa hari ini tidak lupa memberikan pendidikan agama kepada anak masing-masing.

“Ilmu agama dan akademik sama penting dan perlu seimbang. Ilmu agama adalah sebagai persediaan ke akhirat manakala ilmu akademik berguna dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kepada ibu bapa, mereka perlulah menunjukkan teladan yang baik kepada anak. Contohnya, jangan sesekali menghisap rokok di hadapan anak sebab ia akan mendorong anak menghisap rokok yang menjadi punca seseorang itu terjebak dengan gejala dadah,” katanya.

Tuesday, November 25, 2008

Tumpuan dalam kelas, kunci kejayaan murid 7A UPSR

SUNGAI LIMAU - Seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Min, Ooi Hui Sze memperoleh 7A dari lapan subjek yang diambil termasuk subjek Penilaian Kerja Amali Sains (PEKA) mendapat gred 1, dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008.

Subjek tersebut termasuk Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), bahasa Inggeris, Matematik, bahasa Cina (Pemahaman), bahasa Cina (Penulisan) dan Sains serta PEKA.

Ooi Hui Sze berkata, kejayaan yang diperoleh ini atas usahanya memberikan tumpuan ketika di dalam kelas, selain sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk capai kejayaan.

“Saya tidak masuk mana-mana kelas tambahan, tetapi banyak menghabiskan masa dengan membaca buku serta mengulang kali pelajaran setiap kali pulang dari sekolah,” katanya.

Atas kejayaan itu Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada Hui Sze, di rumahnya di sini. Mohd Firdaus berkata, murid hari ini perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan, setiap kegagalan bukan bermakna mereka akan gagal selama-lamanya.

“Murid hari ini mempunyai persaingan yang hebat kerana ramai pelajar kita hari ini cerdik pandai, oleh itu kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan pada tahun hadapan perlu berusaha dari sekarang demi mencapai kejayaan dalam peperiksaan tersebut nanti. Tahniah kepada murid yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang telah diumumkan baru-baru ini,” katanya.

Sunday, November 23, 2008

LIGA BOLASEPAK 9'S PARLIMEN JERAI 2008

PKWR Parlimen Jerai akan menganjurkan Liga Bolasepak 9'S Parlimen Jerai 2008 yang akan diadakan pada 27 DISEMBER 2008 (SABTU) bertempat di Padang Awam Guar Chempedak.

Pertandingan adalah terbuka kepada semua pasukan dan dikenakan bayaran sebanyak RM150.00/pasukan. Semua pasukan adalah dipelawa untuk menyertai liga ini. Borang penyertaan boleh diperolehi dengan menghubungi PKWR Parlimen Jerai di talian 044619635, Mohd Shubihi - 0194433171, Bokhari Ahli - 0194722339 atau Mohd Fauzi - 0194942394.

Lapan pasukan terbaik akan menerima hadiah-hadiah yang ditawarkan dalam pertandingan ini. Pasukan yang muncul sebagai Juara akan membawa pulang wang tunai RM3000.00, sebuah piala iringan dan medal. Manakala Naib Juara akan menerima wang tunai RM1500.00, sebuah piala iringan dan medal. Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM700.00, sebuah piala iringan dan medal. Tempat keempat akan membawapulang wang tunai RM400.00 dan medal, manakala pemenang kelima hingga kelapan akan menerima hadiah wang tunai RM150.00.

Di samping itu berbagai aktiviti lain akan turut diadakan bersempena dengan Liga ini. Gerai-gerai jualan dan pameran produk, pameran piala-piala Liga Malaysia dan sessi bersama peminat pasukan Hijau Kuning dan KM-Naza akan mengisi program tersebut. Kemuncak kepada program ini akan diadakan perlawanan bolasepak persahabatan yang akan mempertemukan juara-juara Liga Malaysia musim lalu iaitu KEDAH dan KM-NAZA.

Azizan sumbang gaji RM10,000 sebulan

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak membuat potongan gajinya lebih RM10,000, jumlah paling besar yang pernah dibuat oleh seorang menteri besar, kata seorang pemimpin PAS negeri. Potongan itu daripada jumlah gajinya RM14,100 dimulakan sejak awal pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan PAS di negeri itu, Mac lalu, namun ia tidak diumumkan secara meluas, kata timbalan pesuruhjaya PAS Kedah, Hassan Abdul Razak.

Jumlah wang yang dipotong itu disalurkan kepada agensi-agensi kerajaan negeri bagi mencontohi amalan cara hidup sederhana yang selama ini diamalkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hassan mendedahkan amalan Azizan itu bagi menyangkal dakwaan pesuruhjaya PAS itu bermewah-mewah selepas menjawat kerusi nombor satu dalam pentadbiran Kedah. Hassan menambah, potongan itu diumumkan pertama kali dalam program taklimat dasar-dasar kerajaan kerajaan negeri di ibu negeri apabila dibangkitkan PAS kawasan Alor Star, 14 November lalu.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak didedahkan sebelum ini kerana "(hendak) membuat kebaikan tidak perlu dihebah-hebahkan". Ahli-ahli akar umbi PAS negeri baru-baru ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS Kedah.

Malaysiakini difahamkan, dalam pertemuan minggu lepas, menteri besar dan kerajaan Kedah mendapat kritikan pedas wakil-wakil PAS kawasan sehingga beliau diminta menyerahkan portfolio agama yang dipegangnya kepada exco lain. Azizan juga turut dituduh gagal memperkasakan pelaksanaan Islam yang diperjuangkan PAS seperti membiarkan pusat hiburan beroperasi sehingga lewat pagi dan arak dijual bebas di Langkawi. Pegawai kerajaan pula didakwa mendapat layanan istimewa daripada menteri besar berbanding pegawai lantikan politik. Selain itu, Azizan dan barisan exco dikatakan selalu memberikan alasan sibuk sehingga susah ditemui rakyat tetapi didakwa rajin bermain golf.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Hassan berkata, selain soal kepemimpinan Azizan, kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) antara perkara utama yang dibangkitkan. Selain itu, tambahnya, PAS Kedah didakwa "bongkak dengan PKR". Bagaimanapun, kata Hassan, perkara itu dijelaskan oleh menteri besar di hujung program di Kompleks Alor Star. Wakil-wakil PAS daripada 15 kawasan di seluruh Kedah turut dikatakan berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Sehubungan itu, Hassan berkata, kritikan kepada kerajaan negeri merupakan salah faham dan dibuat berdasarkan "cakap-cakap di kaki lima". Menurutnya, dalam pentadbiran kerajaan, ada perkara yang telah dibuat tetapi belum diumumkan dan ada yang belum dibuat tetapi telah dirancang dan akan dijalankan secara berperingkat-peringkat.

Komen-komen itu, termasuk yang pedas dan negatif, diusulkan secara bertulis oleh wakil-wakil PAS kawasan tanpa menyatakan nama pengemuka soalan-soalan tersebut. Komen-komen di pertemuan tertutup ini bagaimanapun terbocor kepada umum, termasuk Umno dan pihak media. Hassan kesal kerana dokumen yang dianggap sulit itu telah “dicuri pihak tertentu”.

Majlis sumbang saran kali ketiga itu dihadiri wakil-wakil PAS kawasan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli-ahli parlimen PAS Kedah. Majlis itu merupakan susulan selepas pertemuan Ogos lalu, sementara perjumpaan pertamanya diadakan sejurus selepas kemenangan parti itu dalam pilihanraya umum, Mac lalu. PAS negeri merancang menjalankan sesi taklimat dasar-dasar kerajaan negeri kepada jentera parti empat kali setahun.