Wednesday, October 15, 2008

Pesta Bola Merdeka, Malaysia didakwa jemput pasukan lemah sahaja?

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Mohd Firdaus Jaafar (PAS-Jerai) mendakwa Malaysia hanya menjemput pasukan-pasukan yang lemah sahaja bagi menyertai Pesta Bola Merdeka yang sedang berlangsung kini.

Dakwaan itu dibuat Mohd Firdaus ketika mengutarakan soalan tambahan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato' Ismail Sabri Yaakob dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Kenapa Malaysia tidak menjemput pasukan seperti Singapura dan Thailand, adakah setakat nak menang," dakwanya semasa memanjangkan soalan yang asalnya diutarakan oleh Dato' Dr Mohd Shahrum Othman (BN Lipis).

Beliau juga kecewa dengan prestasi pasukan bolesepak negara yang kini berada pada tahap yang kurang memuaskan, malah mengharapkan sesuatu tindakan dilakukan segera bagi mengembalikan kegemilangannya.

Terdahulu Dr Mohd Shahrum bertanyakan kepada KBS, bagaimana untuk mengembalikan kecemerlangan sukan negara kebelakangan ini.

Bagaimanapun Menteri Belia dan Sukan yang bingkas bangun menjawab soalan Mohd Firdaus hanya menyatakan ia di bawah bidang kuasa penganjur.

Soalan parlimen untuk jawapan lisan hari ini

Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [ Jerai ]
minta MENTERI KEWANGAN menyatakan berapakah peruntukan perkapita tahunan bagi tahun 2007 dan 2008 Kerajaan Pusat kepada negeri Kedah dan nyatakan jumlah dan bilakah tarikh pembayarannya.
Jawapan Timb. Menteri : Peruntukan tahunan kerajaan pusat kepada kerajaan negeri bagi tujuan pengurusan dibayar mengikut bilangan penduduk berdasarkan bancian penduduk yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Negara. Bayaran dibuat 2 kali setahun iaitu Feb dan Julai setiap tahun.

Pada tahun 2007 peruntukan pengurusan kepada kerajaan negeri Kedah ialah sebanyak RM26.24 juta berdasarkan jumlah penduduk seramai 1.84 juta orang. Pada tahun 2008 sebanyak RM26.57 juta telah diperuntukan kepada kerajaan negeri Kedah. Bayaran pertama sebanyak RM13.28 juta dibuat pada 15/1/2008 dan bayaran kedua sebanyak RM13.28 juta lagi dibuat pada 8/7/2008 yang lalu.

Tuesday, October 14, 2008

Moga Kestabilan Negara, Ketenteraman Rakyat Tidak Terjejas

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.
Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.
Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.
Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.
Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.
PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Monday, October 13, 2008

Rumah ahli PAS hangus dalam kebakaran di Titi Serong, Yan

Yan (14 Okt) - Kedukaan yang dihadapi keluarga mangsa kebakaran rumah kediaman di Titi Serong, Yan malam tadi telah mendapat perhatian Dewan Muslimat PAS Jerai dan isteri Ahli Parlimen Jerai.

Sopiah binti Ramli, 64 melahirkan rasa terharunya apabila dikunjungi rombongan yang diketuai Puan Kasmuri Jaafar iaitu isteri kepada Ahli Parlimen Jerai.

Menurut Makcik Sopiah, ketika kejadian beliau berada di rumah jiran yang berhampiran dan hanya menyedarinya apabila terlihat api marak dirumahnya. Sebuah motosikal milik anaknya turut musnah dalam kebakaran tersebut. Kerugian dianggarkan melebihi RM80 ribu.
Dalam kunjungan tersebut Puan Kasmuri Jaafar turut menyampaikan sumbangan peribadi dari Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar bagi meringankan beban mangsa kebakaran tersebut. Sementara itu Puan Zurinda Khamis mewakili Dewan Muslimat PAS Jerai turut menghulurkan sumbangan kepada Makcik Sopiah.

Sunday, October 12, 2008

Kebakaran di Guar Chempedak

Guar Chempedak (12 Okt) - Satu kebakaran telah berlaku di Pekan Guar Chempedak petang tadi. Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 petang tadi mengakibatkan deretan rumah kediaman empat pintu musnah.

Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak yang dibantu oleh Pasukan-pasukan Bomba Sukarela berhampiran telah berjaya mengawal api dari merebak dan memusnahkan deretan-deretan rumah yang berdekatan.

Punca kejadian masih disiasat dan jumlah kerugian belum ditafsirkan.