Sunday, April 26, 2009

PKWR DUN Sungai Limau turun padang bantu rakyat

Mohd Firdaus (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berupa barangan keperluan dapur kepada Woo Long Fooi di rumahnya di Kampung Jerang Belang, kelmarin.

KAMPUNG JERANG BELANG- Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan kerjasama Ahli Parlimen Jerai telah mengadakan lawatan ke rumah penduduk sekitar DUN Sungai Limau bertujuan menghulurkan bantuan.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan negeri melalui PKWR DUN Sungai Limau bertujuan mencari penduduk kurang berkemampuan supaya mereka dapat di bantu.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan rakyatnya, melalui PKWR dengan bantuan daripada Majlis Ketua Kampung (MKK) serta komuniti kaum Cina dan India maka setiap penduduk yang layak menerima bantuan akan di bantu.
"Bantuan akan di berikan kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama mahupun kaum dan setiap permasalahan rakyat di minta pemimpin peringkat kampung mengambil tindakan segera menghubungi PKWR di kawasan masing-masing.
"Kita tidak mahu masih ada rakyat di negeri ini tercicir daripada perhatian kerajaan negeri, untuk menjayakan usaha tersebut maka aktiviti turun padang seperti hari ini (kelmarin) telah diadakan," katanya kepada Sinar Harian ketika di temui di sini semasa membuat lawatan sekitar DUN Sungai Limau, kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Ketua Komuniti Kaum Tiongha Parlimen Jerai, Lee Kooi Kong, Pengerusi MKK Sungai Limau, Khor Ah Ching, Pengerusi MKK Kota Sarang Semut, Ng Lai Hock, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Guar Chempedak serta kakitangan PKWR DUN Sungai Limau.
Dalam program tersebut, Mohd Firdaus turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri berupa barangan keperluan dapur kepada dua buah keluarga kaum Cina.
Mohd Firdaus berkata, untuk memastikan masyarakat di Parlimen Jerai yang layak memerima bantuan tidak tercicr, maka kakitangan JKM telah turut serta dalam program turun padang menemui penduduk sekitar DUN Sungai Limau tersebut.
"Bukan hanya di DUN Sungai Limau di adakan program seumpama ini tetapi saya akan memastikan seluruh Parlimen Jerai akan diadakan program ini, perkhidmatan kepada rakyat akan di berikan dengan adil," katanya.
Beliau berkata, apa yang diharapkan ialah kerjasama antara MKK, Ketua Kampung, Ketua Komuniti Cina dan India supaya memastikan penduduk di kawasan mereka yang layak menerima bantuan tidak tercicir, usaha membantu penduduk perlulah dilakukan dengan menghubungi pihak berkaitan.

No comments: