Tuesday, January 13, 2009

Penduduk diminta mengimarahkan masjid dan surau

BEDONG -Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar meminta semua jawatankuasa masjid dan surau di Parlimen Jerai supaya terus mengimarahkan masjid dengan kuliah ilmu untuk membawa umat Islam maju ke hadapan. Mohd Firdaus berkata, pelbagai program boleh dijalankan agar dapat mengeratkan hubungan antara umat Islam.
Antaranya majlis yang boleh diadakan adalah majlis sambutan maal hijrah, maulidur rasul dan ceramah agama. “Saya meminta supaya pihak masjid dan surau di Parlimen ini menjalankan program seumpama itu sekurang-kurangnya empat kali setahun dan lebih baik jika diadakan kerap kerana aktiviti itu mampu menyatukan ukhuwah umat Islam".


“Selain itu, umat Islam harsu bekerjasama antara satu sama lain, walaupun tinggal di kawasan taman perumahan, umat Islam diminta jangan mementingkan diri sendiri dan semangat kejiranan perlu diteruskan,” katanya sewaktu hadir pada Majlis Sambutan Maal Hijrah yang diadakan di surau Al-Istiqamah.


Mohd Firdaus berkata, dengan adanya sambutan maal hijrah dapat mengumpulkan umat Islam kawasan itu dalam satu majlis. Secara tidak langsung hubungan umat Islam kawasan berkenaan dapat dikukuhkan lagi dan semangat gotong-royong dapat dipupuk.


“Saya berharap masyarakat hari ini tidak melupakan amalan gotong-royong dan semangat kerjasama masyarakat dahulu. Kita boleh mencontohi apa yang dilakukan penduduk Taman Rasa sayang 1 dan 2 serta Taman Rasa Sayang Indah yang masih meneruskan amalan itu,” katanya.


Katanya, diharapkan dengan adanya majlis seumpama itu, umat Islam di Parlimen Jerai khasnya dapat disatukan dengan lebih kukuh. “Ramai pelajar Al-Azhar yang tamat pengajian mereka, kesempatan itu meminta jawatankuasa masjid dan surau di Parlimen Jerai supaya dapat menghubungi mereka dan memberikan kesempatan kepada mereka untuk berdakwah,” katanya.

No comments: