Sunday, January 11, 2009

Sokongan rakyat diperlukan untuk pastikan negeri terus maju


SUNGAI LIMAU- Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar meminta rakyat negei ini terus menyokong kerajaan negeri dan sebarang permasalahan yang berlaku hendaklah berjumpa dengan Ketua Kampung (KK), Ketua Komuniti atau Ahli Majlis yang telah dilantik oleh kerajaan negeri ini.
Menurutnya, KK, Ketua Komuniti serta Ahli Majlis yang telah dilantik perlulah memberikan perkhitmatan terbaik kepada semua penduduk di kawasannya. Tanggungjawab tersebut perlulah diberikan dengan adil tanpa mengira kaum, bangsa dan agama. Semua rakyat di negeri ini perlu di bantu dengan adil.
"Dengan sokongan yang padu daripada rakyat serta perkhidmatan yang baik daripada pepimpin peringkat kampung ini akan membantu kerajaan negeri lebih maju dan dapat membantu pula rakyatnya dengan memberikan bantuan serta merasai perkhitmatan yang baik oleh kerajaan negeri ini.
"Bantuan tersebut seperti hari ini (kelmarin) iaitu, bantuan khas kepada anak-anak kita yang akan memulakan persekolahan tidak beberapa hari sahaja lagi. Dengan bantuan tersebut dapat membantu memudahkan perjalanan pelajar untuk ke sekolah bagi menimba ilmu," katanya ketika berucap merasmikan majlis bantuan sekolah kepada 169 orang pelajar Parlimen Jerai yang diadakan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, kelmarin.
Setiap seorang penerima telah mendapat sebuah basikal dan beg sekolah, sumbangan tersebut diberikan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah yang terdiri daripada berbilang kaum untuk Parlimen Jerai bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, DUN Gurun dan DUN Guar Chempedak.
Hadir sama, Isteri Kepada Menteri Besar Kedah, Shamsiah Shafiei, Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Jerai, Mokhtar Abd Hamid, Ketua Pemuda Pas Kasawan Jerai, Mohammad Ismail, Setiausaha Pas Kawasan Jerai, Azizan Talib, Majlis Ketua Kampung (MKK) Parlimen Jerai serta kepimpinan Pas Kawasan Jerai.
Mohd Firdaus berkata, bantuan tersebut merupakan atas usaha Menteri Besar negeri ini untuk melihat anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna. Dengan sumbangan tersebut di harapkan pelajar bagi Parlimen Jerai akan berusaha bersungguh-sungguh menimba ilmu.
"Meminta masyarakat hari ini mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak mereka, hari ini persaingan begitu sengit untuk menadapat tepat ke Insitusi Pengajian Tinggi, oleh itu ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membantu anak masing-masing di samping mendapat panduan oleh guru semasa di sekolah.
Beliau berkata, untuk mencapai matlamat tersebut, ibu bapa perlu mengawal kehidupan anak-anak mereka dengan tidak membenarkan anak mereka bergaul dengan rakan yang cenderung terlibat dengan pelbagai masalah gejala sosial. Di Jerai seramai 150 orang telah dibuang daerah, jadi ibu bapa perlu lebih berhati-hati mengawal anak mereka.
Beliau turut menasihati masyarakat supaya lebih berjimat cermat memandangkan negara ini kini mempunyai sedikit kegawatan ekonomi, masyarakat perlulah bijak berbelanja dengan membeli barang keperluan yang diperlukan sahaja.

No comments: