Sunday, October 12, 2008

KedahCorp Beli 70 Peratus Kepentingan Dalam MAS Incorparated (PNG) Ltd

ALOR STAR, 12 Okt -- Kedah Corporation Berhad (KedahCorp), syarikat milik kerajaan Kedah (GLC), menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pertama mengembangkan pelaburan ke luar negara dengan pembelian 70 peratus kepentingan dalam MAS Incorporated (PNG) Ltd (MAS).
Perjanjian pembelian saham itu ditandatangani hari ini oleh Pengarah Urusan Kumpulan KedahCorp Kapt(U)(B) Akashah Ismail dan Pengerusi Eksekutif MAS Incorporated (PNG) Datuk Abdul Manaf Hamid yang juga pemilik syarikat itu.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyaksikan majlis tersebut yang berlangsung di pejabat Menteri Besar di Wisma Darulaman, pusat pentadbiran kerajaan negeri.MAS bertapak dan beribu pejabat di Papua New Guinea (PNG) sejak 15 tahun lepas adalah syarikat milik penuh Bumiputera, berkecimpung dalam bidang pembalakan, perikanan, perladangan, perlombongan dan penternakan.Azizan bagaimanapun tidak menyatakan nilai pembelian kepentingan dalam MAS tetapi berkata persetujuan dicapai selepas tiga bulan berunding.
"Kerajaan yakin pelaburan ini menguntungkan dan berharap pembelian ini akan merintis jalan kepada lebih banyak GLC Kedah mengembangkan pelaburan ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Katanya KedahCorp juga masih dalam proses menandatangani memorandum persefahaman bagi menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat dan ladang ternakan di Australia bagi membekalkan lembu dan kambing biri-biri hidup serta daging.
Abdul Manaf berkata industri pertanian khususnya perikanan dan perladangan di PNG berpotensi dimajukan kerana sokongan kerajaan negara itu yang berusaha menarik pelaburan asing.Katanya MAS mendapat hak menebang 200,000 hektar kawasan balak dan membangunkannya semula dengan kelapa sawit, koko atau tanaman lain yang sesuai dengan keadaan tanah.
MAS juga telah menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah di satu daerah di PNG bagi memajukan sejumlah tanah mereka menjadi ladang pertanian termasuk 30,000 hektar untuk ditanam dengan padi, katanya.
Dalam bidang perikanan, MAS akan terbabit dalam industri itu bagi menangkap ikan tuna di laut di Bunua Magarida di negara itu, katanya.
Beliau menambah syarikatnya juga akan melombong emas di satu kawasan perlombongan di Baina di bahagian tengah PNG seluas kira-kira 15,000 hektar.
BERNAMA

No comments: