Sunday, September 28, 2008

PIKAT beri sumbangan hari raya di Hospital Yan

28-Sept-08, Yan : Menjelang perayaan Idulfitri yang mulia ini, Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kedah (PIKAT) telah menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit di Hospital Daerah Yan hari ini.
Para petugas Hospital Daerah Yan mengalu-alukan kedatangan ahli PIKAT dengan tangan yang terbuka bagi menggembirakan para pesakit. Begitu juga dengan pesakit kelihatan begitu gembira dengan kehadiran ahli-ahli PIKAT.
Turut bersama ialah Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Cikgu Abdullah Jusoh dan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar.

Saturday, September 27, 2008

Kebakaran di Gurun

27-Sept-08 : 20 keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Pekan Lama Gurun pukul 3.45 petang tadi.
Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Razak yang hadir ke tempat kejadian telah menghulurkan sumbangan peribadi kepada setiap keluarga yang terlibat dalam kebakaran itu. Seramai 84 orang mangsa telah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Gurun buat sementara waktu.

Friday, September 26, 2008

Kisah Mat dan keluarga

26-Sept-08 : Sebelum solat Jumaat seorang rakan memberitahu saya tentang kisah Mat dan keluarga yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini. Kebetulan saya dijadualkan bersolat Jumaat di Masjid Kampung Keda, Yan dan selepas selesai solat, saya dan rakan-rakan terus mengunjungi Mat dan keluarga di Titi Bakong, Yan.
Kunjungan kami disambut Mat dan keluarga, ibunya Puan Norshidah menceritakan serba sedikit tentang penderitaan hidup keluarganya hingga menyebabkan Mat terpaksa menamatkan persekolahannya lebih awal. Ibu ini terpaksa menyerahkan anaknya yang bongsu kepada keluarga angkat kerana keperitan hidup yang terpaksa ditanggungnya. Anaknya yang ke 6, Mohd Ellyas terpaksa berulang alik ke Hospital Besar Alor Setar untuk rawatan pada setiap bulan kerana penyakit "tyroid" yang dihidapinya. Akibat kesempitan hidup, anak ini terpaksa menanggungnya sendirian kerana rawatan susulan tidak dapat dibuat ke atasnya.

Dalam kunjungan itu, saya mewakili PKWR Parlimen Jerai dan DPPK Jerai menghulurkan sedikit sumbangan untuk keluarga ini membuat persediaan menyambut aidil fitri. Insyaallah, persiapan baju raya keluarga ini akan kami sediakan segera bagi memberikan sedikit sinar kegembiraan untuk mereka di hari raya nanti. PKWR akan mengusahakan bantuan-bantuan lain kepada keluarga ini.
Bergambar dengan keluarga Puan Norshidah

Ustaz Firdaus Jaafar
26-09-08

Bantuan hari raya untuk fakir miskin di Parlimen Jerai

26-Sept-08 : Hari ini saya bersama rakan-rakan bergerak dari kampung ke kampung dalam Parlimen Jerai untuk menyampaikan bantuan hari raya kepada fakir miskin yang dikenalpasti oleh ketua-ketua kampung.

Tidak ada peruntukan khusus untuk bantuan hari raya kepada Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat dan yang ada hanyalah peruntukan peribadi dan sumbangan ikhlas rakan-rakan yang menderma untuk Tabung Kemasyarakatan Jerai. Pada tahun ini, seramai 300 orang terdiri dari fakir miskin, ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim di sekitar Parlimen Jerai telah menerima bantuan hari raya yang disediakan oleh PKWR Parlimen Jerai dan DPPK Jerai.


Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat memberi sinar keceriaan kepada mereka untuk menyambut ketibaan Syawal ini.
Ustaz Firdaus Jaafar
26-09-08

Thursday, September 25, 2008

Sumbangan kuih raya untuk jabatan kerajaan di Jerai

25 Sept 08 - Saya berkesempatan untuk bersama-sama Ustaz Mohamad Ismail (Ketua DPPK Jerai) menyampaikan sumbangan kuih raya tanda ingatan kepada jabatan-jabatan kerajaan dan anggota-anggota keselamatan di sekitar parlimen Jerai.


Menyerahkan kuih raya tanda ingatan untuk pegawai-pegawai kerajaan dan anggota keselamatan di sekitar Parlimen Jerai
Ustaz Firdaus Jaafar
25-09-2008

Friday, September 19, 2008

100 anak yatim dan istimewa terima sumbangan raya

18 Sept 2008, Yan - 100 orang anak yatim dan anak-anak istimewa diraikan dalam satu majlis berbuka puasa dan sumbangan hari raya di Masjid Yan. YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan istimewa ini.
Sementara itu dalam ucapannya, Ustaz Azizan turut memaklumkan kerajaan negeri akan memajukan industri pelancongan di Yan dengan mengumumkan pembinaan sebuah chalet yang mampu menampung 400 orang pengunjung di kawasan Yan dalam masa terdekat ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerai (YB Ust. Firdaus Jaafar) dan Tuan Pegawai Daerah Yan.


Tuesday, September 16, 2008

BPR hargai, berterima kasih atas keprihatinan Pemuda PAS

PUTRAJAYA, 17 Sept (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) menghargai dan berterima kasih atas kunjungan dan keprihatinan Dewan Pemuda PAS yang melakukan lawatan semalam.
Timbalan II Ketua Pengarah BPR, Dato' Zakaria Jaafar yang menerima kunjungan rombongan Dewan Pemuda PAS Pusat petang semalam melahirkan penghargaan atas kepeihatinan dewan pemuda terhadap peranan yang dimainkan oleh BPR.
Rombongan yang diketuai oleh Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayob telah meluangkan masa lebih dua jam untuk berbincang bersama-sama dengan BPR dengan memberikan pelbagai cadangan sertai membangkitkan beberapa isu yang berkaitan dengan badan tersebut.
Turut hadir sama dalam rombongan tersebut adalah Naib Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi; Setiausahanya, Ahmad Sabki; Ketua Penerangan Pemuda, Suhaizan Kaiat; anggota Exconya, Khairul Faizi, Mohd Adram , Ustaz Mohd Firdaus, Kamaruzaman dan Pegawai Medianya, Safarizal Salleh.
Sebelum perbincangan pihak pemuda telah dibawa melawat di bilik pameran BPR.
Salahudin dalam ucapannya mengharapkan, harapan yang sangat besar kepada BPR supaya dapat memberi khidmat dengan lebih baik, kerana BPR berperanan besar di dalam menjaga kestabilan negara kita.
Sementara itu, Pihak BPR juga mengharapkan sokongan dan kerjasama daripada Parti PAS di dalam melaksanakan amanah pencegahan rasuah di negara ini.
Dato' Zakaria mewakili BPR berterima kasih di atas kunjungan Pemuda PAS dan berharap perbincangan susulan bagi membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan BPR dapat diadakan lagi selepas ini.

Monday, September 15, 2008

Mahkamah isytihar Ustaz Hashim Jasin menang Dun Sanglang

PUTRAJAYA, 16 Sept (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin hari ini diisytiharkan sebagai pemenang untuk kerusi Dun Sanglang dalam pilihan raya lalu.
Pada 18 Jun lalu, Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Hamid memutuskan kerusi Dun N.15 Sanglang dikosongkan berikutan petisyen yang dikemukakan Ustaz Hashim selaku calon PAS.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, kerusi Dun Sanglang telah diumumkan dimenangi calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.
Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) dan Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Majlis Perasmian Masjid Sultanah Haminah, Dulang

11 September 2008 - KDYMM Sultan Kedah telah berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Hari Raya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim di Daerah Yan. Dalam majlis itu. baginda turut merasmikan dan menamakan Masjid Sultanah Haminah yang dulunya dikenali sebagai Masjid Dulang.




Kunjungan ke pasar Jeniang

12 Sept 2008 - Kebetulan pagi itu saya dijemput untuk memberikan kuliah subuh di Masjid Kampung Keda, Jeniang. Selesai kuliah, saya berpeluang mengunjungi pasar Jeniang untuk bertemu peniaga dan orang ramai di situ dengan ditemani beberapa orang sahabat. Dalam kunjungan itu dapat lah kumpul beberapa maklumat untuk perbahasan bajet di sidang parlimen selepas raya ini.

Ust. Firdaus Jaafar

Lawat Pasar Ramadhan

Minggu lalu sempat jugak melawat Pasar Ramadhan di Guar Chempedak. Di ruang masa yang ada, sambil membeli juadah untuk berbuka sempat juga bertemu dengan peniaga-peniaga dan pengunjung pasar ini yang rata-ratanya merupakan pengundi di Parlimen Jerai.

Sumbangan bubur lambok DPPNK di Pekan Rabu

Baru-baru ini Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah menganjurkan program sumbangan bubur lambok kepada orang ramai di Pekan Rabu, Alor Setar. Seluruh kepimpinan DPPNK meluangkan masa hadir untuk menyediakan dan menyampaikan sendiri bubur lambok untuk juadah berbuka kepada orang ramai di Pekan Rabu.


Monday, September 8, 2008

Tunku Intan Syafinaz lawat mangsa banjir di Yan



Dato' Seri Tunku Intan Syafinaz telah meluangkan masa pagi ini melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan bencana di Daerah Yan. Ahli Parlimen Jerai dan Tuan Pengawai Daerah Yan turut mengiringi Tunku Intan Syafinaz melawat pusat-pusat pemindahan bencana tersebut.
Sehingga pagi ini, seramai 1030 orang dari 257 keluarga masih ditempatkan di 5 buah pusat pemindahan bencana di Daerah Yan.
Dato' Seri Tunku Intan Syafinaz turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas sumbangan dari Yayasan Sultanah Bahiyah kepada mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan bencana tersebut.