Monday, December 29, 2008

SBAR Campuran juara bola sepak Parlimen Jerai

GUAR CHEMPEDAK - Pasukan bola sepak SBAR Campuran dinobatkan juara Liga Bola Sepak 9 sebelah dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta medal dalam perlawanan yang telah diadakan di Padang Awam Guar Chempedak, Sabtu lalu.

Pada perlawanan akhir kejohanan berkenaan, SBAR Campuran telah menewaskan pasukan Tanah Merah dengan sepakan penalti 3 - 2 dan sekali gus meletakkan pasukan Tanah Merah di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta medal.

Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh pasukan PIDA FT yang membawa pulang wang tunai RM700 berserta medal. Kejohanan Liga Bola Sepak 9 sebelah itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jerai dan sebanyak 31 buah pasukan telah mengambil bahagian termasuk pasukan dari Kedah dan Pulau Pinang.

Sempena kejohanan itu, satu perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak Kedah dan KM Naza telah diadakan dan disaksikan oleh kira-kira 6,000 peminat sukan bola sepak negeri ini.
Turut menyaksikan perlawanan akhir yang diadakan di Padang Awam Guar Chempedak itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohamed Khalid; Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar serta Ketua Pemuda Pas, Mohammad Ismail.

Wakil pasukan SBAR Campuran bergambar bersama Dr Hamdan (dua dari kiri) dan Mohd Firdaus (kiri) ketika majlis penyampaian hadiah diadakan selepas pertandingan bola sepak itu.

Saturday, December 27, 2008

CERAMAH ISU-ISU SEMASA

CERAMAH ISU-ISU SEMASA

Tarikh : 30-12-2008 (Selasa)
Masa : 9.00 malam
Tempat : MARKAS PAS BEDONG

Penceramah :
1. YB SALAHUDDIN AYOB (Ahli Parlimen Kubang Kerian)
2. YB USTAZ TAIB AZAMUDIN (Ahli Parlimen Baling)
3. YB USTAZ FIRDAUS JAA'FAR (Ahli Parlimen Jerai)

Semua lapisan masyarakat dijemput hadir

Thursday, December 18, 2008

BULETIN الحضارة : Antara Perjuangan, Pengorbanan & Wadah

Dengan memohon taufiq serta hidayah dariMu ya AlLah, Tuhan semesta alam, selawat dan salam terhadap Rasul Junjungan Muhammad SAW serta kaum keluargamu yang dikasihi seterusnya kepada semua para sahabat yang bagaikan bintang-bintang menghiasi kegelapan malam hari. Terasa begitu cepat dan pantas masa berlalu meninggalkan kita, bagaikan baru semalam buletin al-Hadharah keluaran pertama menyapa khalayak pembacanya, rupa-rupanya bulan Zulhijjah ini telah memasuki bulan ke-6 dari usianya. Walau apa pun penerimaan khalayak ummah, setinggi-tinggi kesyukuran pihak kami panjatkan kepadaMu ya Rabbi di atas segala ketentuan dariMu ini.

Saudara-saudaraku kehidupan di dunia fana ini akan terus berjalan tanpa memperdulikan sesiapa pun, sampai tempoh masa yang ditentukan ILahi kepada setiap orang atau mahkluk tersebut akan bertemulah ia dengan noktah atau pemberhentian atau kematian atau kemusnahan atau kehancuran kerana itulah selayaknya kepada sesuatu yang bersifat `baharu` di alam fana ini. Setiap mahkluk tersebut, terutamanya kita wahai saudara-saudaraku ! Kitalah yang seharusnya memastikan setiap detik kehidupan yang kita lalui ini bermanfaat untuk perjuangan yang telah kita sepakati dan yakini akan kebenarannya, yang mampu memberikan kebahagian di dunia serta di akhirat nanti.

Bila membicarakan perjuangan, ia bukan lagi ikut-ikutan atau mengisi masa terluang atau menjangkakan perkembangan-perkembangan politik semasa. Itu semua `perjuangan` bagi mereka yang keliru dan tak tahu apa yang hendak diperjuangkan dalam masa yang cukup suntuk serta terbatas ini. Sebenarnya kita sebagai ummat Islam tidak punya banyak masa untuk berteori dan berkhayal melayani kehidupan mereka yang tidak yakin dengan adanya akhirat. Ummah tidak punya masa untuk dibazirkan waktu serta segala potensi ummah bagi mengikut dan menjayakan agenda musuhnya atau mereka yang tidak yakin tersebut. Perjuangan bagi ummat Islam ialah apabila hadirnya makna keimanan kepada Pencipta dan Pentadbir sekelian alam ini di dalam jiwa mereka, lalu membuahkan keyakinan yang akan dipegang dan diperjuangkan dalam seluruh kehidupannya samada secara peribadi ataupun bermasyarakat, dengan mengambil contoh utusan AlLah, iaitu RasululLah SAW dan para sahabat Baginda serta mereka yang mengikut akan mereka itu sampailah ke hari terakhir bagi kehidupan di alam sementara ini.

Bagi ummat Islam, perjuangan juga ialah keyakinan dan kehidupan yang mereka lakukan dengan bersungguh-sungguh untuk membina hadharah hari esok, yang pastinya Hadharah Islamiyyah, seperti yang pernah tertegak di atas mukabumi AlLah ini suatu waktu dahulu. Hadharah hari esok akan lebih cepat sampai dan dapat khalayak ummah memiliki jika semua kita memulakan perjalanannya hari ini. Teruja saya akan kepetahan Si anak kecil Johan Khutbah Ihtifal PASTI Kebangsaan sebulan yang lalu.
Kata Si khatib' "Jika kamu merancang untuk setahun yang akan datang, cukup dengan menanam padi ! Jika kamu merancang untuk sepuluh tahun yang akan datang, cukup dengan menanam pohon-pohon ! Tetapi jika kamu merancang untuk 100 tahun yang akan datang ! Maka didiklah anak-anak generasimu hari ini mengikut acuan yang kamu inginkan"
Hadharah hari esok bagi setiap ummah itu bermula dari titik atau garis permulaannya hari ini dengan kata lain ketika dan saat ini, yang kita hidupkannya bersungguh-sungguh dengan penuh kesedaran kerana AlLah.
Perjuangan yang haq dan panjang pasti membutuhkan perancangan serta pengorbanan dari setiap pendokong-pendokongnya. Firman AlLah bermaksud;
"Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang sederhana jauhnya pastilah mereka mengikuti kamu tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka" - at-Taubah 42.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada AlLah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjuang dengan harta dan jiwa mereka pada jalan AlLah. Mereka itulah orang-orang yang benar" al-Hujurat 15.

"Jika kamu meminjamkan kepada AlLah pinjaman yang baik, nescaya AlLah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan AlLah Maha Pembalas jasa lagi Maha Penyantun" - at-Taghaabun 17.

Untuk sampai kepada kemampuan melakukan pengorbanan sepertimana yang dituntut oleh agama Islam dalam perjuangan kita, tidak dapat tidak mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi serta ikhlas hanya untuk AlLah Azzawajalla. Pengorbanan mungkin sesuatu yang mudah dan selalu di sebut, terutamanya apabila untuk orang lain atau pihak bawahan yang ditagih melaksanakannya. Pengorbanan menjadi terlalu sukar malah sering dilupakan begitu saja apabila diri sendiri atau pimpinan atasan sepatutnya memulakan. Saudara-saudaraku sebenarnya itulah rahsia yang tersirat di sebalik kalimah `pengorbanan`.

Pengorbanan Nabi Ibrahim as, pengorbanan Ismail as, dan pengorbanan Hajar ra bukanlah semudah kita mendengar segala kisah-kisah mereka. Pengorbanan yang terpaksa mereka pasrahkan demi sebuah keyakinan tuntutan penghambaan kepada AlLah SWT. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW, pengorbanan kaum keluarga ahlul-bait dan pengorbanan seluruh generasi sahabah demi melengkapkan sebuah keyakinan laiLahaillalLah MuhammadurrasululLah. Semuanya ini terakam sebagai bukti dan saksi yang terus hidup di dalam jiwa mereka yang dihidupkan oleh AlLah dengan keyakinan sebagaimana yang diperintahkanNya.
Begitulah sebenarnya saudara-saudaraku lumrah kehidupan yang AlLah SWT ciptakan di dunia fana ini sentiasa menuntut ia akan pengorbanan bagi menguji keyakinan para hambaNya yang benar-benar beriman dengan hari akhirat. Ada kalanya pengorbanan tersebut terlalu mahal harganya mengikut kacamata biasa nilaian dunia, tetapi insyaAlLah akan ada manusia yang beriman tetap menyahut tuntutannya sebagai hambaAlLah di sepanjang masa.
Firman Allah bermaksud :
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu" - Az-Zaariyat 56.
"Sesungguhnya AlLah telah membeli dari orang-orang Muslim, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…" - at-Taubah 111.

Dalam suasana dunia yang sudah tidak ada Nabi dan para Rasul untuk membimbing kita ummat akhir zaman, supaya menjadi hamba yang sebenar kepada Tuhannya. Maka amanah kenabian tersebut akan dipikul oleh Jemaah Islam ataupun Harakah Islam yang benar-benar menepati ciri- ciri dan sifat-sifat para Nabi dan Rasul alaihimussalatuwassalam. Itulah wadah yang akan menjadi harapan ummat marhaen, pembela para mustada`fin, penolong fuqara wal masakin, pembimbing para mukhlisin, penunjuk jalan kebenaran kepada a`bidin serta a`milin dan teman rapat kepada para mujahidin serta solehin. Wadah ini digeruni oleh kuffar dan mustakbirin, dimusuhi oleh para fasiqin dan munafiqun serta dibenci oleh para zalimun dan jahilun.
Firman Allah bermaksud, "Muhammad itu adalah utusan AlLah dan pengikut-pengikut yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama orang-orang mukminin"… al-Fath 29.
Sekian, dari - Ibnu Ramadhan.

Saturday, December 13, 2008

Taklimat pembinaan 100 buah unit rumah mangsa banjir

Antara tetamu yang hadir mendengar taklimat pembinaan 100 buah unit rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu. Sumbangan tersebut merupakan sumbangan peribadi yang diberikan melalui kerajaan negeri. Turut hadir mendengar taklimat tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Taklimat tersebut telah diadakan di tapak pembinaan rumah itu di sini, baru-baru ini.

Pas Cawangan Kepala Bukit ditubuh

YAN- Pas Cawangan Kepala Bukit, Gurun Jerai telah ditubuhkan dengan rasminya kelmarin, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Manakala Ketua Pas Cawangan Kepala Bukit yang baru ditubuhkan tersebut diketuai oleh Lamin Awang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, berbangga kerana dalam masa umat Islam sibuk dengan menyambut hari raya korban, penduduk Kepala Bukit telah berjaya menubuhkan Cawangan baru Pas kawasan tersebut.
Menurutnya, majlis ini telah memberikan dua makna kepada kita, di mana merupakan majlis perasmian Pas Cawangan Kepala Bukit yang baru, dan untuk ramah mesra antara masyarakat di sini.
"Kini telah cukup sembilan bulan kita (pakatan rakyat) memerintah sejak kita menang dalam pilihanraya umum awal tahun ini. Oleh itu kita akan terus memerintah negeri ini supaya dapat membantu semua rakyat di negeri ini. Apa sahaja yang kita lakukan demi pembangunan negeri ini tidak akan menganggu rakyat. Kini Kedah mempunyai pelabur dari luar yang ramai untuk melabur di negeri Kedah, jumlah pelabur semakin meningkat terutamanya di Pulau Langkawi, ini menunjukan pelabur luar telah yakin dengan kerajaan negeri ini," katanya ketika berucap ketika merasmikan Pas Cawangan Kepala Bukit, di sini, kelmarin.
Turut sama, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail, Wakil kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, ketua-ketua kampung serta masyarakat Kepala Bukit.
Azizan berkata, beliau akan memastikan tiadanya rasuah dan penyelewengan di negeri ini kerana tidak mahu rakyat ditindas. Rakyat di negeri ini bernasib baik kerana mempunyai banyak pekerjaan seperti kilang-kilang di Gurun dan sebagainya. Tetapi kerajaan negeri sentiasa memikirkan supaya rakyat di negeri ini akan terus mempuyai pekerjaan supaya ingin mengelak berlakunya pengangguran.
"Contohnya, perancangan kerajaan negeri di mana kita akan memilih rakyat di negeri ini untuk dihantar ke Australia untuk belajar cara penapisan minyak, apabila mereka pulang ke tanah air maka mereka pula akan menurunkan ilmu tersebut kepada anak-anak tempatan di negeri ini supaya mereka pakar dalam bidang tersebut," katanya.
Beliau berkata, selain itu kita sedang membangunkan daerah ini, antaranya sebanyak 100 buah unit rumah yang merupakan sumbangan individu yang diberikan melalui kerajaan negeri kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu.
Selain itu Pulau Bunting juga akan dibangunkan untuk diijadikan pelabuhan yang menyediakan pengangkutan barang dan sebagainya. Seluruh dunia akan datang ke Pulau tersebut, seperti dari China dan lain-lain negeri, kemudian kita akan bangunkan resort di sekitar Titi Hayun dengan keluasan kira-kira 18 ekar.
Jelasnya, apabila pelayar singgah di pelabuhan tersebut, pastinya mereka ingin berehat dan tempat yang sesuai adalah di resort tersebut. Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Kedah juga akan dijadikan "Raksasa Pertanian" di mana kedah merupakan salah sebuah negeri di mana rakyatnya pakar dalam bidang pertanian.
Katanya, pelbagai permasalah rakyat difikirkan, seperti masalah banjir dan sebagainya. Rakyat telah memberikan amanah kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Kerajaan negeri telah melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) sebagai pemimpin di peringkat kampung, jadi segala permasalahan rakyat boleh bertemu dengan ketua kampung masing-masing, dan permasalahan tersebut akan dibawa ke peringkat atasan untuk diambil tindakan selanjutnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pas cawangan Kepala Bukit kerana telah berjaya menubuhkan cawangan baru.

Helmi tidak sepatutnya dipersalahkan

JERAI- "Tidak sepatutnya Penjaga Gol Malaysia, Helmi Eliza Elias dipersalahkan kerana melakukan kesilapan melepaskan tiga biji gol ketika bertemu dengan Vietnam di stadium Surakul, malam kelmarin seperti mana yang disiarkan oleh salah sebuah akhbar tempatan yang mengatakan "Helmi macam budak sekolah"
Demikianlah kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Beliau amat kecewa kerana Helmi seorang sahaja dipersalahkan apabila pasukan Malaysia kalah ditangan Vietnam 3-2.
Mohd Firdaus berkata, belia anti kritikan yang dilemparkan oleh jurulatih pasukan, B Sathianathan tehadap Helmi seorang sahaja, sebaliknya ianya kepada pasukan itu sendiri dan jangan hanya mempersalahkan seseorang individu sahaja kerana itu tidak adil.
Menurutnya, rakyat kedah sentiasa menyokong Helmi dari belakang kerana beliau mempunyai potensi yang baik untuk menjadi penjaga gol bola sepak negara ini.
"Saya mewakili rakyat kedah tidak suka sama sekali kritikan yang dilemparkan kepada Helmi seteruk itu, ianya bukan akan memotivasikannya malah akan melemahkan kerjayanya sebagai penjaga gol bola sepak negara ini.
"Seseorang jurulatih yang baik tidak akan meghukum seseorang individu itu sedemikian rupa kerana ianya akan memalukan Helmi serta keluarganya sendiri," katanya.
Beliau berkata, tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah ianya memberikan motivasi kepada individu terbabit. Bola sepak merupakan satu pasukan dan tidak sepatutnya Helmi seorang sahaja dipersalahkan.
"Jika dilihat persembahan Helmi tidak memuaskan, kenapa beliau (jurulatih) tidak dikeluarkan terlebih awal sebelum beliau melepaskan 3 biji gol, ini merupakan tindakan yang perlu diambil oleh jurulatih.
Ujarnya lagi, beliau mengharapkan supaya Helmi lebih tabah dan jangan kerana kritikan itu beliau tertetan kerana rakyat Kedah sentiasa menyokongnya dari belakang.

Tuesday, December 9, 2008

Kerajaan negeri sentiasa fikir rakyat

BUKIT CHORAS - Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menekankan kerajaan negeri sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat.
Menurutnya, pelbagai usaha dijalankan demi membantu rakyat negeri ini.
“Salah satunya seperti penyerahan lembu korban pada hari ini (kelmarin), bukan hanya di DUN Sungai Limau, tetapi ia diberikan untuk seluruh negeri ini,” katanya.

Azizan menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sebanyak lapan ekor lembu korban kepada wakil kawasan masing-masing bagi DUN Sungai Limau, kelmarin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pegawai Khas DUN Sungai Limau kepada Menteri Besar Kedah, Ishak Ismail serta masyarakat sekitar.

“Kerajaan negeri memperuntukkan dua ekor lembu korban untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sempena raya korban pada tahun ini. Walau bagaimanapun berterima kasih kepada individu yang berbesar hati memberikan sebanyak enam ekor lagi, menjadikannya sebanyak lapan untuk DUN Sungai Limau,” katanya.

Menurut Azizan, pada tahun ini jabatan-jabatan kerajaan di negeri ini diarahkan untuk membantu rakyat melalui pelbagai peringkat.

“Ia merupakan salah satu cara untuk membantu kerana rakyat telah memberikan mandat kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilakukan dengan baik,” katanya.

Menurut Azizan, keikhlasan adalah sesuatu yang penting dan jangan ada pihak hanya tahu melemahkan kerajaan negeri.
“Jangan hanya menyalahkan bertujuan melemahkan kita (kerajaan negeri), tetapi sebaiknya memberikan sokongan untuk sama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.