Monday, December 29, 2008

SBAR Campuran juara bola sepak Parlimen Jerai

GUAR CHEMPEDAK - Pasukan bola sepak SBAR Campuran dinobatkan juara Liga Bola Sepak 9 sebelah dengan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta medal dalam perlawanan yang telah diadakan di Padang Awam Guar Chempedak, Sabtu lalu.

Pada perlawanan akhir kejohanan berkenaan, SBAR Campuran telah menewaskan pasukan Tanah Merah dengan sepakan penalti 3 - 2 dan sekali gus meletakkan pasukan Tanah Merah di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta medal.

Manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh pasukan PIDA FT yang membawa pulang wang tunai RM700 berserta medal. Kejohanan Liga Bola Sepak 9 sebelah itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Jerai dan sebanyak 31 buah pasukan telah mengambil bahagian termasuk pasukan dari Kedah dan Pulau Pinang.

Sempena kejohanan itu, satu perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak Kedah dan KM Naza telah diadakan dan disaksikan oleh kira-kira 6,000 peminat sukan bola sepak negeri ini.
Turut menyaksikan perlawanan akhir yang diadakan di Padang Awam Guar Chempedak itu ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kesenian dan Warisan, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohamed Khalid; Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar serta Ketua Pemuda Pas, Mohammad Ismail.

Wakil pasukan SBAR Campuran bergambar bersama Dr Hamdan (dua dari kiri) dan Mohd Firdaus (kiri) ketika majlis penyampaian hadiah diadakan selepas pertandingan bola sepak itu.

No comments: