BUKIT CHORAS - Menteri Besar, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menekankan kerajaan negeri sentiasa memikirkan yang terbaik untuk rakyat.
Menurutnya, pelbagai usaha dijalankan demi membantu rakyat negeri ini.
“Salah satunya seperti penyerahan lembu korban pada hari ini (kelmarin), bukan hanya di DUN Sungai Limau, tetapi ia diberikan untuk seluruh negeri ini,” katanya.
Azizan menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyerahan sebanyak lapan ekor lembu korban kepada wakil kawasan masing-masing bagi DUN Sungai Limau, kelmarin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pegawai Khas DUN Sungai Limau kepada Menteri Besar Kedah, Ishak Ismail serta masyarakat sekitar.
“Kerajaan negeri memperuntukkan dua ekor lembu korban untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sempena raya korban pada tahun ini. Walau bagaimanapun berterima kasih kepada individu yang berbesar hati memberikan sebanyak enam ekor lagi, menjadikannya sebanyak lapan untuk DUN Sungai Limau,” katanya.
Menurut Azizan, pada tahun ini jabatan-jabatan kerajaan di negeri ini diarahkan untuk membantu rakyat melalui pelbagai peringkat.
“Ia merupakan salah satu cara untuk membantu kerana rakyat telah memberikan mandat kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilakukan dengan baik,” katanya.
Menurut Azizan, keikhlasan adalah sesuatu yang penting dan jangan ada pihak hanya tahu melemahkan kerajaan negeri.
“Jangan hanya menyalahkan bertujuan melemahkan kita (kerajaan negeri), tetapi sebaiknya memberikan sokongan untuk sama-sama membangunkan negeri ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment