Tuesday, February 3, 2009

RM3576.10 lagi berjaya dikumpul untuk Tabung Jihad Palestin.


SUNGAI LIMAU- Sebanyak RM3576.10 telah berjaya dikumpulkan oleh Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai ketika membuat pungutan derma khas untuk Tabung Jihad Palestin yang telah diadakan di Pekan Hari Sungai Limau, kelmarin.
Hasil pungutan derma oleh masyarakat Sungai Limau itu akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Rakyat Palestin, ianya adalah untuk membantu rakyat Palestin yang kini menjadi mangsa peperangan serangan Israel di mana telah banyak mengorbankan banyak nyawa.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat negara ini dan di Parlimen Jerai khasnya perlu mempunyai keinsafan dalam diri masing-masing dengan melihat pelbagai kekejaman yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin yang juga merupakan umat Islam.
"Kita yang seagama dengan mereka perlulah tampil membantu, untuk menyumbang tenaga berperang kita tidak mampu, oleh itu dengan sumbangan berbentuk kewangan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan penderitaan yang mereka alami.
"Di media masa terpapar pelbagai kekejaman terhadap rakyat Palestin, mereka tidak bersalah dan bukannya mereka ingin berperang tetapi mereka merupakan mangsa peperangan," katanya kepada masyarakat Sungai Limau ketika berucap di khalayak ramai untuk sumbangan Tabung Jijad Palestin di sini, kelmarin.
Hadir sama berkempen mengutip derma tersebut ialah Ahli Majlis Daerah Yan, Mohamad Ismail, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan serta ketua-ketua kampung sekitar Sungai Limau.
Mohd Firdaus berkata, PKWR akan terus membantu dengan mengutip derma untuk Tabung Jihad Palestin sekitar Parlimen Jerai dan ianya akan disalurkan kepada rakyat Palestin yang kini amat memerlukan bantuan untuk mereka terus hidup.
"Walaupun sumbangan kita tidak banyak tetapi ianya dapat mengurangkan bebanan yang mereka (rakyat Palestin) tanggung, paling penting ialah sumbangan yang diberikan itu mestilah ikhlas.
"Allah akan memberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda kepada sesiapa yang telah menderma untuk kebaikan, seperti membantu orang lain yang dalam penderitaan iaitu seperti mana rakyat Palestin yang kini menderita," katanya.

1 comment:

Kedahlanie said...

takan pekan sungai limau ja..
gurun, guaq, bedong tak buat kaa...