Wednesday, January 21, 2009

100 Murid India terima sumbangan beg sekolah

JERAI - Seramai 100 pelajar miskin daripada kaum India menerima sumbangan beg sekolah bagi tiga kawasan iaitu Bedong, Gurun Jaya dan Padang Lembu. Sumbangan itu mendapat kerjasama daripada kelab komuniti kaum India Parlimen Jerai untuk mencari pelajar yang memerlukan bantuan tersebut. Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau sebagai Ahli Parlimen akan terus membantu pelajar di parlimen ini dengan memberikan bantuan agar pelajar di Parlimen Jerai tidak tercicir daripada menuntut ilmu. Semua kaum akan terus dibantu kerana tidak mahu mana-mana kaum ketinggalan. “Dengan sumbangan yang diberikan hari ini (kelmarin) sedikit sebanyak membantu pelajar supaya mereka lebih selesa untuk ke sekolah. Sebelum ini pun sumbangan diberikan melalui kerajaan negeri berbentuk basikal kepada semua pelajar yang kurang berkemampuan di parlimen Jerai serta parlimen lain di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika hadir menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar. Selain itu katanya, semua pelajar kaum India di Parlimen Jerai perlu menimba ilmu demi membantu keluarga masing-masing apabila mereka berjaya kelak dan tidak sesekali melupakan jasa ibu bapa selama ini. “Kita meminta supaya ibu bapa juga membantu anak masing-masing semasa di rumah. Pengawasan perlulah dilakukan terhadap anak mereka supaya anak tidak terlibat dengan pelbagai masalah gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini,” katanya. Mohd Firdaus berkata, dengan sumbangan tersebut menunjukkan bahawa semua kaum di negeri ini akan terus dibantu daripada pelbagai aspek, seperti sumbangan beg sekolah pada hari ini. “Saya harap semua rakyat di negeri ini dan di Parlimen Jerai khasnya terus bersatu tanpa mengira kaum, ini kerana kukuhnya perpaduan memastikan keamanan negeri ini terus dikekalkan,” katanya.

No comments: