Sunday, January 11, 2009

Kem Motivasi Perkasa-i

Mohd Firdaus menyampaikan sijil kepada peserta Kem Motivasi i di akhir kem, baru-baru ini
GURUN- Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar meminta supaya generasi muda hari ini sentiasa bersaing antara satu sama lain ke arah kebaikan. Setiap kejayaan jika dilakukan dengan usaha yang gigih melalui persaingan yang sihat maka sesuatu perkara tersebut dapat dicapai dengan sempurna.
Menurutnya, untuk mencapai matlamat generasi hari ini supaya mempunyai insan yang mulia pekertinya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak masing-masing.
"Salah satu cara mendidik anak kita kearah pembentukan rohani yang baik adalah dengan penerapan nilai-nilai agama dalam diri. Bermula dari kecil, anak kita perlu diajar menunaikan solat dengan cara yang betul dan sering kali membawa mereka ke kem motivasi, kuliah-kuliah agama dan sebagainya yang kita boleh lakukan ke arah membentuk insan mulia hari ini, " katanya ketika berucap ketika merasmikan Kem Motivasi Perkasa i yang diadakan di surau Perwaja, baru-baru ini.
Dalam program tersebut, seramai 42 orang peserta terdiri daripada remaja telah menyertai Kem Motivasi itu, program tersebut merupakan anjuran Surau Pewarja dengan mendapat kerjasama daripada Persatuan Perunding Motivasi Insan dan MSQ Power Trading yang telah diadakan selama satu hari di Surau Perwaja.
Mohd Firdaus berkata, masyarakat dahulu berbeza dengan generasi muda hari ini, di mana dalam masyarakat dahulu kurangnya berlaku masalah gejala sosial tetapi kini banyak pemodenan telah pesat membangun yang turut membantu generasi muda hari ini terlibat dengan pelbagai permasalahan sosial seperti jenayah, ketagihan dadah dan sebagainya.
"Oleh itu, dengan penyertai kem-kem motivasi yang banyak diadakan sempena musim cuti sekolah ini, dapat membantu membentuk anak-anak kita yang terdiri daripada remaja menjadi insan mulia pekertinya melalui modul-modul yang disediakan dalam sesebuah kem motivasi," katanya.
Menurutnya lagi, semua ibu bapa inginkan anak-anak mereka berjaya, untuk mencapainya ibu bapa perlulah mematuhi beberapa perkara iaitu memastikan anak mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan dadah yang akhirnya akan membawa mereka ke tali gantung. Ibu bapa perlu mengawal anak-anak mereka supaya jangan sesekali bergaul dengan rakan mereka yang bermasalah dan cenderung terlibat dengan sebarang jenayah.
"Jiwa anak-anak kita perlu dibentuk supaya mereka berani dan bersemangat untuk menegaskan sesuatu kebenaran di samping mempunyai akhlak yang baik.
Beliau turut menasihati masyarakat hari ini supaya menghormati ibu bapa masing-masing, walaupun ibu bapa kita tidak sepandai kita, jangan sesekali mempersenda ibu bapa dengan kata-kata yang kesat. Seseorang individu yang berjaya adalah daripada doa oleh ibu bapa mereka.
"Terima kasih kepada ibu bapa yang telah memberikan sokongan padu dalam menjakan kem motivasi i dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur kerana telah berjaya menjalankan kem motivasi tersebut, di harapkan kerjasama itu akan berterusan," ujarnya.

No comments: