Sunday, January 11, 2009

Sumbangan Kerusi Roda

Mohd Firdaus Jaafar (kanan) menyampaikan kerusi roda kepada Rosnani, baru-baru ini.

PEKAN SUNGAI LIMAU- Rosnani Abdullah, 32 tahun yang mengalami kemalangan baru-baru ini telah mendapat bantuan kerusi roda disampaikan oleh Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar. Dengan bantuan kerusi roda tersebut Rosnani dapat meneruskan kehidupannya dengan lebih baik.
Rosnani berkata, beliau telah mengalami kemalangan antara motosikal dan kereta di mana beliau semasa itu menaiki motosikal. Pada waktu kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu di mana hujan turun dengan lebat dan menghalang permandangannya dan tiba-tiba beliau bertembung dengan kereta dari arah bertentangan.
"Saya mengalami kecederaan di kaki di mana kaki saya telah patah dan salah satu daripada jari kaki pula putus telah dihantar oleh orang ramai yang melihat kejadian tersebut ke Hospital Yan dan kemudian saya dipindahkan ke Hospital Alor setar. Kini saya sukar untuk berjalan kerana kaki saya di masukkan besi.
"Dengan bantuan kerusi roda tersebut dapat membantu saya menguruskan diri dengan lebih mudah untuk ke tandas dan bilik air, terima kasih kepada Ahli Parlimen Jerai kerana sudi menyampaikan sumbangan kerusi roda tersebut untuk membantu saya terus menjalani kehidupan ini dengan lebih selesa," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Turut sama, menziarahi Rosnani semasa penyampaian kerusi roda ialah Ketua Kampung Sungai Limau, Ahmad Lazim, Ketua Kampung Kabu 10 Atas, Abd Ghani Ahmad dan Ketua Kampung Kabu 10 Bawah, Ramli Ahmad.
Rosnani berkata, beliau yang juga merupakan seorang guru Pasti Selengkoh, kini beliau tidak dapat menjalankan tugasnya. Walaubagaimanapun beliau berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantunya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, meminta Rosnani bersabar dengan apa yang telah menimpa ke atas dirinya itu.
"Terima kasih kepada Kelab Penyokong Pas, Pasti Kawasan serta semua pihak yang telah membantu Rosnani, apa yang berlaku ini hendaklah dijadikan teladan oleh masyarakat supaya berhati-hati di jalan raya," katanya.
Beliau inginkan semua rakyat di negeri ini lebih berhati-hati semasa memandu di jalan raya terutamanya penunggang motosikal yang mempunyai risiko tinggi untuk terlibat dengan kemalangan. Pandu dengan cermat supaya mereka akan sampai ke destinasi dengan selamat.

No comments: