Wednesday, January 21, 2009

Memandu berhemat, selamatkan nyawa orang lain.

Mohd Firdaus menyampaikan sumbangan kerusi roda yang diwakili oleh isteri Norzali, Sabariah Saad.
GURUN- Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, menasihati semua pemandu-pemandu supaya mereka lebih berhati-hati ketika memandu terutamanya kepada penunggang motosikal yang mempunyai risiko tinggi terlibat dalam kemalangan.
Menurutnya, semua pemandu perlulah memandu dengan lebih cermat supaya ianya tidak memudaratkan orang lain yang berhati-hati ketika memandu. Kejadian kemalangan kini kerap berlaku melibatkan kecuaian pemandu lain dan akibatnya telah menyusahkan pemandu-pemandu lain yang tidak bersalah.
"Sikap memandu dengan berhemah perlulah diterapkan dalam diri semua individu, jangan jadikan jalan raya tempat berlumba yang mana ianya boleh menyebabkan hilangnya nyawa," katanya kepada Sinar Harian ketika melawat Norzali Abdullah.
Norzali telah terlibat dalam satu kemalangan di jalan Bakar Arang, Sungai Petani, baru-baru ini. Ketika itu Norzali dalam perjalanan ke tempat kerja.
Ketika itu, Norzali berhenti untuk membeli roti canai di tepi jalan dan telah dilanggar oleh sebuah kereta dari arah bandar Sungai Petani yang menyebabkan Norzali mengalami kecederaan parah dan beliau telah dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan di masukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Disebabkan kemalangan tersebut, kini Norzali tidak mampu berjalan kerana tulang rusuknya patah. Kini beliau hanya terlantar di rumah di Taman Sri Jerai 2 dan perlu mendapat bantuan isterinya, Sabariah Saad untuk membantu beliau menjalani kehidupannya.
Oleh itu, Ahli Parlimen Jerai tampil menyumbang sebuah kerusi roda kepada Norzali supaya beliau dapat meneruskan kehidupannya sehinggalah beliau mampu berjalan seperti sedia kala.
Mohd Firdaus berkata, sumbangan tersebut merupakan khidmat sosial daripada Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) parlimen Jerai kepada masyarakat di parlimen Jerai kerana telah dilanda musibah seperti Norzali yang terlibat dalam satu kemalangan baru-baru ini.

No comments: