Sunday, January 11, 2009

Masalah Banjir

Mohd Firdaus Jaafar(kanan) dan Muzaini Azizan (tengah) melawat kerja-kerja menaik taraf sungai Ibor.

KAMPUNG SUNGAI IBOR- Setiap kali hujan lebat pasti kampung Sungai Ibor, Gurun akan dibanjiri air, banjir yang melanda negeri ini beberpa bulan yang lalu turut membanjiri kampung tersebut di mana rumah penduduk berhampiran sungai Ibor dimasuki air dan menyebabkan kerugian.
Masalah tersebut telah berlaku kira-kira 20 tahun, dalam masa 20 tahun itulah penduduk di sini berasa takut setiap kali hujan lebat turun kerana dikuatiri rumah mereka akan dinaiki air.
Menyedari masalah tersebut, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) telah memberbaiki sistem saliran sungai Ibor dengan membina tembok serta memperdalamkan sistem saliran sungai tersebut supaya perjalanan air sungai itu berjalan lancar terutamanya apabila hujan lebat.
Ketua Kampung Sungai Ibor, Mohd Nasir Hasan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan MPSP kerana telah membantu menaik taraf sungai tersebut yang selama ini dibelenggu oleh penduduk berlakunya bencana banjir di kampung itu setiap kali hujan lebat turut.
"Mengharapkan kerjasama daripada MPSP akan berterusan dalam membantu penduduk kampung di sini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, kelmarin.
Hadir melihat kerja-kerja naik taraf sungai tersebut ialah Ahli Majlis MPSP, Muzaini Azizan dan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar.
Ahli Majlis MPSP, Muzaini Azizan berkata, kini masalah penduduk yang dibelenggu dengan masalah banjir setiap kali hujan lebat telah diselesaikan. Dengan pembinaan sistem saliran yang baik, masalah banjir di kampung ini tidak berlaku lagi.
"Punca utama banjir berlaku di kampung ini ialah di sebabkan pembangunan di kiri dan kanan kampung ini dan menyebabkan kawasan kampung ini menjadi rendah, yang akan menyebabkan air mudah naik apabila hujan lebat turun.
"Selain itu, sistem saliran sungai ini yang tidak dijaga dengan baik telah menyebabkan sungai ini menjadi semakin cetek, oleh itu MPSP mengambil inisiatif memperbaiki sistem saliran sungai ini supaya penduduk di sini dapat hidup dengan selesa dan tidak berlaku lagi masalah banjir," katanya.
"Mengharapkan dengan naik taraf sungai tersebut akan memberikan keselesaan kepada penduduk di sini dan tidak lagi kuatir rumah mereka akan dinaiki air," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, sungai tersebut kini telah dinaik taraf dan diperdalamkan supaya tidak berlakunya banjir, jadi meminta semua penduduk di sini dapat menjaga sungai tersebut dengan baik dan jangan sesekali membuang sampah ke dalam sungai tersebut kerana ianya akan menyebabkan sungai menjadi semakin cetek.
"Dengan menjaga sungai tersebut juga dapat mengelakkan daripada berlakunya pencemaran, dalam masa yang sama masalah banjir di kampung ini tidak lagi berlaku seperti 20 tahun yang lalu," katanya.

No comments: