Tuesday, March 10, 2009

Harakah bantu ringankan bebanan pesakit buah pinggang.

Mohd Firdaus (kiri) mewakili Harakah menyampaikan sumbangan kepada Muad, kelmarin.

SUNGAI ROTAN- Harakah telah menyumbang wang tunai sebanyak RM2000 kepada Muad Nasir @Chit kerana mengidap sakit buah pinggang. Sumbangan tersebut dapat meringankan bebanan Muad untuk membuat pemeriksaan di hospital.
Penyampaian sumbangan daripada tabung harakah itu telah diwakili oleh Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar.
Mohd Firdaus Jaafar berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu usaha Harakah membantu masyarakat yang memerlukan bantuan seperti Muad untuk mengubati penyakitnya itu.
Menurutnya, sumbangan tersebut merupakan aktiviti sosial dalam membantu masyarakat. Walaupun sumbangan tersebut tidak banyak, tetapi ianya dapat meringankan bebanan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan seperti Muad.
"Mengharapkan supaya Muad dapat menggunakan sumbangan tersebut untuk mengubati penyakit buah pinggangnya, serta meringankan bebanan yang beliau tanggung selama ini," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir menyampaikan sumbangan tersebut di rumah Muad, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Ustaz Mohamad Ismail, kakitangan Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai, ketua kampung Sungai Rotan serta jawatankuasa Pas cawangan kampung tersebut.
Sementara itu, Muad berkata, beliau merupakan pesara tentera dan telah mengidap penyakit buah pinggang kira-kira lima tahun lalu. Semenjak itulah beliau berulang-alik ke hospital Pantai di Sungai Petani untuk merawat penyakitnya itu.
"Dalam seminggu sebanyak tiga kali saya akan ke hospital Pantai di Sungai Petani untuk untuk merawat penyakit saya. Segala perbelanjaan kos ke sana terpaksa saya tanggung sendiri serta dengan bantuan anak-anak yang telah bekerja.
"Saya mempunyai enam orang anak semuanya dan tiga daripadanya telah bekerja, manakala tiga lagi masih bersekolah. Anak-anak yang telah bekerja inilah telah banyak membantu adik-adik mereka untuk meneruskan persekolahan, manakala isteri tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.
"Mengucapkan terima kasih kepada Harakah kerana telah membantu saya sekeluarga, sekurang-kurangnya dengan bantuan tersebut dapat membantu meringankan bebaban saya untuk merawat penyakit saya ini," katanya.
Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada Muad, mereka boleh datang terus kerumahnya di alamat Lot 3, belakang surau kampung Sungai Rotan, Gurun Kedah.

No comments: