Saturday, March 14, 2009

Pemuda Pas Jerai anjur pertandingan terbuka wau.

Sebahagian peserta pertandingan wau secara terbuka bergambar kenangan bersama pihak penganjur.
SUNGAI YAN- Seramai 150 orang pemuda sekitar Jerai telah menyertai pertandingan wau terbuka yang merupakan anjuran Pemuda Pas Kawasan Jerai dengan kerjasama pemuda Pas Cawangan Kampung Tengah, Sungai Yan.
Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohammad Ismail berkata, pertandingan selama dua hari itu telah menarik sebilangan besar pemuda serta belia Jerai berkumpul dalam satu program dengan melakukan aktiviti sihat tersebut.
Menurutnya, pertandingan wau diakhir-akhir musim kemarau itu bermatlamat mengumpul pemuda-pemuda Jerai di kawasan tersebut dan kampung Tengah khasnya. Dengan cara itu hubungan antara pemuda di sini mampu dikukuhkan.
"Sebagai ketua pemuda Pas, saya telah merancang pelbagai aktiviti khas untuk pemuda-pemuda di Parlimen Jerai, ianya supaya ingin melihat pemuda-pemuda di sini bersatu antara satu sama lain, untuk mencapai matlamat itu maka program seumpama ini diadakan.
"Terbukti bahawa belia-belia di Jerai telah menyokong aktiviti pemuda Pas, ini kerana setiap aktiviti yang dianjurkan telah mendapat menyertaan yang begitu menggalakkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, kelmarin.
Pertandingan selama dua hari yang telah tamat kelmarin itu, turut diadakan acara sambingan khas untuk kanak-kanak seperti sukaneka. Acara tersebut telah membantu memeriahkan pertandingan wau itu di samping penduduk yang hadir dapat menyaksikan kehebatan peserta menaikkan wau masing-masing.
Pemenang tempat pertama pertandingan wau terbuka tersebut, akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, tempat kedua RM200 manakala tempat ketiga akan membawa pulang wang tunai RM100. Manakala hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar.
Mohamaad berkata, walaupun hadiah tidak begitu lumanyan, tetapi penyertaan pemuda di sini amat menggalakkan. Oleh itu acara tersebut akan dijadikan acara tahunan pemuda Pas Kawasan Jerai pada tahun-tahun akan datang.
"Selain menyatukan pemuda kawasan Jerai, pertandingan itu juga merupakan aktiviti supaya kita masyarakat Melayu tidak lupa permainan tradisional kita dan ianya supaya tidak ditinggalkan begitu sahaja oleh generasi akan datang serta luput ditelan zaman," katanya.
Beliau berkata, mengharapkan aktiviti pemuda seumpama itu dapat dijalankan di peringkat cawangan bagi kawasan Jerai, ianya banyak memberi kebaikan kepada belia supaya melakukan aktiviti berfaedah supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang merosakkan masa depan.

No comments: