Wednesday, November 5, 2008

Ketua kampung perlu adil

YAN - Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar mahukan ketua-ketua kampung baru dilantik melaksanakan tugas mereka dengan penuh adil terhadap semua masyarakat Katanya, di dalam menjalankan tugas diamanahkan, mereka juga perlu menjauhkan diri daripada amalan kurang sihat terutamanya rasuah yang juga ditegah agama.
Beliau memberitahu, ketua-ketua kampung yang dilantik itu adalah untuk mewakili kerajaan negeri melaksanakan tugas di peringkat kampung, oleh itu mereka perlu bersikap adil dan amanah.
Seramai 105 orang ketua kampung daerah Yan telah menerima watikah pelantikan sebagai ketua kampung setelah berlakunya perubahan Kerajaan Negeri Kedah selepas Pilihan raya Umum yang lalu.
Satu majlis khas telah diadakan di Dewan Dato’ Madi, baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pegawai Daerah Yan, Ahmad Fisol Md. Noor, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.
Mohd Firdaus mengingatkan bahawa, pelantikan tersebut merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik dan bersedia menghadapi cabaran dan rintangan. Menurutnya, setiap tugas yang dilaksanakan dalam menguruskan pentadbiran kampung mestilah mengikut ciri-ciri Islam di samping tindakan-tindakan yang dilakukan itu mestilah telus serta ikhlas.
“Sebagai ketua kampung, mereka mempunyai tanggungjawab yang begitu besar. “Selain terhadap keluarga, mereka juga bertanggungjawab menjaga masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Menurutnya lagi, ketua-ketua kampung serta masyarakat perlu berbincang mengenai penyelesaian masalah-masalah di peringkat kampung seperti mengenai pembangunan insan, masalah gejala sosial dan sebagainya.
“Marilah kita sama-sama bersatu dan membantu ketua kampung yang baru dilantik dalam usaha untuk membangun dan memajukan masyarakat, kampung dan negeri ini,” katanya.

No comments: