Tuesday, November 11, 2008

LPP, PPK jual terus benih padi elak harga melambung

JELI 9 Nov. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menjual terus benih padi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi memastikan harganya tidak melambung tinggi.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan satu daripada strategi kementerian bagi mengelakkan petani terpaksa menanggung beban kerana harga benih padi yang mahal.
Beliau berkata, hasil kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian mendapati kenaikan harga tersebut disebabkan dua faktor iaitu orang tengah dan kenaikan harga padi semasa.
"Jadi untuk membantu petani, kita akan mengurangkan penggunaan orang tengah dengan benih padi dijual terus kepada petani melalui PPK dan LPP. Dengan cara ini, harga benih padi dapat dikawal daripada melambung naik.
"Jika harga padi naik maka harga benihnya juga akan turut meningkat disebabkan masa untuk menuai lebih panjang daripada padi biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Agro Bank cawangan Jeli di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan para petani supaya kementerian tersebut campur tangan berhubung kenaikan harga padi benih jenis 232 daripada RM25 kepada RM40 sekampit di Kelantan yang dianggap membebankan mereka.
Kenaikan mendadak itu menyebabkan petani terpaksa membelanjakan sebanyak RM160 (tahun ini) berbanding RM100 (tahun lepas) untuk membeli benih bagi keperluan setiap 0.4 hektar.
Mustapa berkata, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah subsidi benih padi bagi mengurangkan beban yang ditanggung petani.
"Ada desakan dari pengeluar benih padi supaya subsidi ditingkatkan bagi menampung kos yang semakin meningkat.
"Kerajaan sebelum ini hanya memberikan subsidi sebanyak 50 sen untuk setiap kilogram benih padi dan kita sedang mengkaji untuk menambahkan subsidi ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian tersebut sedang menyusun semula sektor pertanian bagi memastikan ia terus berdaya saing dalam menempuh suasana semasa dunia yang tidak menentu.
Katanya, ia amat perlu bagi memastikan sektor itu dapat ditingkatkan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan sebelum ini tidak memberikan penekanan kepada sektor pertanian cuma sejak tiga atau empat tahun lepas bidang ini diberi perhatian,'' ujarnya.
Misalnya kata beliau, pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM3 bilion tetapi pada RMK-9 ia ditingkatkan kepada RM10 bilion.

No comments: