GUAR STESYEN - “Pelbagai masalah timbul dan dapat dilihat dalam masyarakat kita hari ini, antaranya masalah dalam menjaga anak masing-masing,” kata Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail ketika hadir merasmikan majlis Ihtifal Pasti As-Salam.
Katanya, ibu bapa sanggup menghabiskan wang ringgit demi pendidikan kepada anak. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan ilmu agama dalam diri anak sejak kecil sebab ia akan membantu mereka supaya lebih berjaya dalam kehidupan mereka kelak.
“Masyarakat hari ini begitu sibuk dengan tugas masing-masing, kita dapat lihat hari ini yang mana pusat jagaan atau pusat asuhan kanak-kanak tumbuh bagaikan cendawan kerana mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Ia tidak cukup sekadar itu sahaja kerana selain penjagaan keselamatan, ibu bapa perlu memberikan ilmu secukupnya kepada anak yang merupakan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Kitalah yang akan mencorakkan anak menjadi individu yang baik atau sebaliknya, cara kita mendidik anak perlulah dengan cara terbaik. Apabila di sekolah, guru akan mengajar tetapi apabila di rumah tugas ibu bapa pula adalah untuk mendidik anak dengan menyuruh anak mempraktikkan apa yang diajar guru,” katanya.
Mohamad berkata, kini masyarakat tertekan dengan ekonomi negara yang tidak menentu dengan kos minyak, harga barang yang tinggi, namun kita tetap memberikan pendidikan kepada anak dengan menghantar mereka ke sekolah. Menurutnya, beliau turut menyarankan ibu bapa hari ini tidak lupa memberikan pendidikan agama kepada anak masing-masing.
“Ilmu agama dan akademik sama penting dan perlu seimbang. Ilmu agama adalah sebagai persediaan ke akhirat manakala ilmu akademik berguna dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Kepada ibu bapa, mereka perlulah menunjukkan teladan yang baik kepada anak. Contohnya, jangan sesekali menghisap rokok di hadapan anak sebab ia akan mendorong anak menghisap rokok yang menjadi punca seseorang itu terjebak dengan gejala dadah,” katanya.
No comments:
Post a Comment