Sunday, November 9, 2008

Soalan untuk jawapan lisan di Parlimen

SOALAN UNTUK JAWAPAN LISAN DI PARLIMEN
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai] minta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah kementerian bercadang untuk menaikkan harga atau subsidi padi berikutan dengan kenaikan melampau harga beras.
JAWAPAN TIMBALAN MENTERI
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim] : Tuan Yang di-Pertua, pada masa ini harga minimum terjamin atau JMP pembelian padi ialah pada RM750 setan metrik. Di samping itu, kerajaan juga memberi subsidi harga padi pada kadar RM248.10 bagi setiap tan metrik padi bersih dan kering yang dijual di pintu kilang. Walaupun harga minimum terjamin pembelian padi ialah RM750 bagi setiap tan metrik padi yang dijual, harga sebenar jualan pada ialah sekitar RM1,000 setan metrik, contohnya di Selangor.
Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minimum terjamin pembelian padi dan subsidi harga padi memandangkan keseluruhan bantuan berjumlah RM923.06 juta setahun yang diberikan kepada petani adalah mencukupi dan telah banyak membantu dalam meringankan beban petani. Bantuan-bantuan yang diberikan secara tahunan kepada petani-petani adalah merangkumi baja subsidi di bawah Program Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan berjumlah RM255.06 juta, subsidi harga padi berjumlah RM448 juta, insentif peningkatan hasil berjumlah RM40 juta, bantuan baja tambahan sebanyak RM95 juta setahun dan bantuan upah bajak RM100 sehektar berjumlah RM55 juta setahun. Terima kasih.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai] : Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Timbalan Menteri. Berkaitan dengan harga padi dan juga subsidi. Sebelum ini kita sedia maklum Kementerian Pertanian telah meletakkan satu tema “Pertanian Satu Perniagaan”. Maka dengan itu sudah tentulah Kementerian Pertanian akan berusaha untuk memastikan setiap produk mereka adalah untuk menghasilkan keuntungan.
Persoalannya apakah kementerian bersetuju bersama dengan petani-petani seluruhnya mempertahankan harga padi yang sedia ada, RM1,000 se metrik tan dan subsidinya walaupun harga diesel, petrol dah mula menurun supaya dapat mempertahankan pendapatan petani.
Yang kedua, persoalan timbul ialah bekalan benih padi, sebelum ini dikawal selia oleh Jabatan Pertanian. Satu beg 20 kilo bernilai RM28, sekarang ini telah diswastakan maka benih padi tersebut telah pun melambung sehingga RM36 ke RM40 satu beg. Ini akan menambah bebanan kepada petani. Jadi saya mohon kepada kementerian untuk melihat kepada dua soalan yang ditimbulkan. Terima kasih.
Datuk Hajah Rohani binti Haji Abdul Karim : Terima kasih Yang Berhormat. Seperti saya katakan harga minimum terjamin adalah RM750 se tan metrik, bermakna harga ini kita akan jamin tidak kurang daripada RM750 tetapi harga di atasnya ia boleh naik setinggi mana. Jadi ini adalah satu persaingan yang sihat sebenarnya Yang Berhormat, dan Kerajaan Negeri Selangor lah yang selalu memberi satu lead player dengan izin di mana telah mengapungkan dengan sebegitu rupa, harga padi sebegitu tinggi.
Jadi Yang Berhormat, seperti Yang Berhormat katakan, kita pastikan jangan turun kurang daripada RM750 tetapi kita tidak mengehadkan kalau harga itu melebihi. Jadi itu adalah satu petanda yang begitu baik sebenarnya adalah persaingan yang begitu sihat. Insya-Allah Yang Berhormat kita memang prihatin sebab bagi kami beras atau padi ini dikategorikan sebagai tanaman yang sensitif yang memang kami akan memberi pemantauan yang begitu rapi.
Mengenai benih padi yang melambung tinggi Yang Berhormat, sebenarnya benih padi ini pun kami beri subsidi juga. Jadi walaupun harga dikatakan melambung tinggi tetapi sebenarnya telah dibantu dengan subsidi benih padi sah. Jadi kami hendak menggalakkan supaya penanam-penanam padi menggunakan benih padi sah. Oleh yang demikian walaupun ada peningkatan harga sebab pada masa itu banyak daripada input-input adalah meningkat dengan mendadak.
Jadi kami juga telah memberikan subsidi khas untuk pembelian benih padi dan pada masa yang sama kita memastikan bahawa segala kos-kos yang berkaitan dengan padi ini kita beri satu bantuan yang begitu besar Yang Berhormat. Jadi sebenarnya kalau mengikut bajet, kalau Yang Berhormat melihat bajet, yang terbesar adalah untuk industri padi. Terima kasih.

No comments: