Saturday, November 22, 2008

Penduduk, pelajar dan pemimpin bergotong-royong hapus denggi

GURUN- Kira-kira 100 penduduk Taman Perumahan Perwaja, Gurun bersama-sama pelajar-pelajar Institut Teknologi Perwaja, Gurun telah turut terlibat bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan tersebut untuk membasmi jangkitan denggi daripada merebak kawasan perumahan itu.
Turut hadir pada program gotong-royong tersebut ialah Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Muzaini Azizan, Ketua Komuniti Taman Perumahan Perwaja, Bokhari Ali serta jawatankuasa komuniti taman perumahan tersebut.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, dengan adanya program tersebut, selain dapat bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan ini untuk mencegah jangkitan denggi, pelbagai kebaikan lain diperolehi oleh semua yang terlibat dalam program tersebut.
"Ini merupakan usaha murni yang perlu diteruskan oleh masyarakat hari ini di mana kita semua hidup dalam sebuah komuniti perlu sama-sama hadir apabila adanya aktiviti seumpama ini kerana dengan adanya aktiviti tersebut dapat membantu mengukuhkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Menurutnya, dalam masa yang sama masing-masing dapat bertukar-tukar fikiran kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan tugas seharian, kesempatan dengan adanya program itu perlulah diambil oleh masyarakat.
"Meminta supaya masyarakat menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka tidak kira sama ada di taman atau kampung mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Mohd Firdaus berkata, tujuan aktiviti gotong-royong diadakan lebih kerap kerana kini di sekitar taman perumahan Gurun telah ada yang merebaknya jangkitan denggi, tetapi Taman Perumahan Perwaja masih tiadanya berlaku jangkitan denggi. Oleh yang demikian masyarakat di sini perlulah membersihkan kawasan perumahan mereka untuk mengelak daripada jangkitan denggi mereka ke taman tersebut.
"Kita akan mengadakan pertandingan mencantikkan taman dan kampung melalui bajet kerajaan negeri, tujuannya mengadakan aktiviti seumpama itu ialah untuk memupuk masyarakat kita supaya menjaga kawasan perumahan mereka, di samping itu ianya akan membantu mencantikkan kawasan kampung atau taman.
Katanya, beliau turut meminta supaya pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dapat memungut sampah dengan lebih kerap, terutamanya pada hari Khamis kerana Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti jadi sekiranya sampah tidak dipungut pada hari Khamis maka akan menyebabkan sampah bertimbun banyak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Komuniti Taman Perumahan Perwaja dan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mergotong-royong membersihkan kawasan perumahan ini. Diharapkan aktiviti tersebut diteruskan pada masa akan datang.

No comments: