SINTOK - Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mencadangkan supaya Kedah dibangunkan sebagai pengeluar utama pelbagai jenis makanan sehingga diiktiraf sebagai “Jelapang Makanan Malaysia”. Baginda bertitah langkah itu perlu memandangkan senario ekonomi negara semakin berubah dan menuntut pelbagai bentuk perubahan.
“Beta amat berbangga dengan persepsi nasional yang meletakkan negeri ini sebagai ‘Jelapang Padi’, tapi beta berharap persepsi ini dapat diperluaskan lagi melalui penjenamaan semula kepada “Jelapang Makanan Malaysia”,” titah baginda pada majlis persembahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) kepadanya di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.
Penganugerahan ijazah itu kepada baginda dipersembahkan oleh Pro Canselor UUM Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh sebagai tanda penghargaan atas sumbangan baginda kepada perkembangan dan pembangunan universiti sejak ditabalkan sebagai Canselor universiti itu 20 tahun lalu.
Baginda bertitah UUM mampu menjadi peneraju dalam memenuhi harapan itu dan harus diberi kepercayaan untuk membantu memajukan sektor pertanian negeri termasuk di Koridor Sultan Kedah mahu warga UUM melahirkan idea terkedepan bagi membantu pembuat dasar merangka program-program pembangunan untuk faedah masa depan dengan penekanan kepada aspek kesejahteraan manusia dalam mencapai kemajuan ekonomi.
“Pada hemat beta, beberapa aspek perlu diberikan perhatian iaitu kesejahteraan ekonomi, kemudahan kesihatan, kecergasan fizikal, keharmonian sosial, kestabilan politik serta keseimbangan emosi dan spiritual. “Interaksi sosial juga amat penting bagi membolehkan pertukaran pendapat dan percambahan minda yang sihat,” titah baginda.
Dalam memastikan kestabilan politik pula, baginda menyeru supaya mengelakkan politik yang boleh memusnahkan kesejahteraan masyarakat dan negara sebaliknya mengamalkannya untuk kebajikan rakyat.
“Bagi memastikan kestabilan emosi pula, perancang pembangunan perlu menyediakan kemudahan yang mengambil kira aspek untuk mengurangkan gangguan emosi di kalangan individu dan masyarakat,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) UUM daripada Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh pada majlis Konvokesyen Di-Raja Universiti Utara Malaysia.
No comments:
Post a Comment