Sunday, April 26, 2009

Kejayaan di Bukit Selambau dan Gantang tanda negara ini bakal di perintah PR.


JERAI- Diatas kemenangan Pakatan Rakyat (PR) oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), S Manikumar telah menunjukkan bahawa kerajaan PR terus disokong oleh rakyat negeri Kedah yang inginkan PR terus memerintah negeri ini.
Ketua Urusetia Penerangan Jabatan Pilihanraya Pas Negeri Kedah, Mohd Firdaus Jaafar berkata, di lihat rakyat terus menyokong kerajaan PR yang di terajui oleh Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah.
Menurutnya, rakyat telah sedar bahawa hanya kerajaan PR sahaja yang boleh membantu mereka untuk terus maju kehadapan, oleh itu sokongan telah diberikan oleh semua kaum termasuk kaum Cina, India dan Melayu kepada calon PKR yang memenangi dalam pilihanraya kecil N25 Bukit Selambau kelmarin.
"Saya berterima kasih kepada pengundi-pengundi di Bukit Selambau dan Bukit Gantang yang telah memilih calon daripada PR untuk menjadi wakil rakyat mereka, kerana rakyat percaya bahawa hanya pemimpin daripada PR yang akan membantu mereka untuk mereka terus hidup dengan selesa.
"Rakyat telah tahu siapakah pemimpin yang boleh membantu mereka dan hanya kerajaan PR boleh membantu, ini boleh dilihat apabila negeri Kedah telah berjaya ditadbir oleh kerajaan PR setelah rakyat membuat pilihan untuk memilih calon daripada PR dalam pilihanraya umum lalu," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.
Pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau telah dimenangi oleh S Manikumar (PKR) menang majoriti 2,403 dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk S Ganesan serta 13 calon bebas lain yang bertanding dalam pilihanraya tersebut, kelmarin.
Mohd Firdaus berkata, manakala kemenangan calon Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan majoriti 2,789 menewaskan calon BN, Ismail Saffian menunjukkan bahawa rakyat negeri Perak mahukan pilihanraya umum negeri itu diadakan semula.
"Ini kerana untuk membaik pulih semula sistem pemerintahan negeri itu yang mahukan kerajaan PR memerintah semula negeri tersebut," katanya.
Beliau berkata, dijangkakan pada pilihanraya umum akan datang akan menyaksikan pertandingan yang hebat di mana berkemungkinan besar negara Malaysia ini akan di perintah oleh kerajaan PR yang merupakan kerajaan yang terbaik untuk memerintah negara ini.

No comments: