Sunday, April 26, 2009

PKWR Jerai terus bantu masyarakat dengan menganjur pelbagai aktiviti


JERAI- Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai telah mengadakan pelbagai program khas untuk belia-belia di Parlimen itu tanpa mengira fahaman politik, usaha tersubut adalah untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan belia.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, PKWR sentiasa mengambil berat kepada masyarakatnya di semua peringkat umur, pelbagai usaha telah dijalankan semenjak negeri ini di perintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
Menurutnya, antara usaha tersebut ialah dengan mengadakan jelajah bertemu dengan belia-belia di setiap kampung yang ada di parlimen Jerai dengan menganjurkan perlawanan persahabatan bola sepak yang telah berjalan beberapa bulan lalu lagi sehingga kini.
"Selain itu, PKWR Parlimen Jerai juga telah menganjurkan kem motovasi yang diadakan baru-baru ini di D'Yan Chalet khas untuk remaja di parlimen ini dengan penerapan nilai-nilai Islam di terapkan dalam diri mereka semasa menyertai program itu.
"Galakan juga diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang sama ada dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pelbagai peperiksaan awam lain dengan menyumbang hadiah kepada yang cemerlang, ianya bertujuan memastikan anak-anak kita di parlimen ini berjaya," katanya kepada Sinar Harian ketika di hubungi, kelmarin.
Mohd Firdaus berkata, semua yang dilakukan oleh PKWR Parlimen Jerai adalah untuk memastikan masyarakat di parlimen itu tanpa mengira kaum agar terus mendapat perhatian dan tidak ada yang tercicir.
"Untuk memastikan tidak ada masyarakat yang tercicir, maka saya mengharapkan kerjasama daripada Majlis Ketua Kampung (MKK) untuk bekerjasama dengan PKWR Parlimen Jerai dalam memastikan keselesaan masyarakat," katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu meminta supaya rakyat negeri ini dan parlimen Jerai khasnya untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri ini supaya terus memerintah dan beliau yakin bahawa rakyat akan terus menyokong kerajaan PR.
"Sebagai contoh, dalam pilihanraya kecil baru-baru ini, rakyat telah memilih calon PR yang di letakkan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau," katanya.

No comments: