Sunday, April 26, 2009

Kerajaan PR tidak pernah abaikan rakyat.

Mohd Firdaus Jaafar.
BEDONG- Slogan calon Barisan Nasional (BN) "Pohon Restu Rakyat" sempena pilihanraya kecil N 25 Bukit Selambau dianggap oleh kepimpinan Pas sebagai hipokrit.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, slogan yang digunakan oleh calon BN, Datuk S Ganesan pada poster beliau adalah hipokrit semata-mata dan hanya mengelirukan pengundi di Bukit Selambau.
Menurutnya, sepatutnya BN memohon restu rakyat apabila ingin menaikkan harga minyak, menaikkan kadar tol dan pelbagai cukai yang telah dikenakan kepada rakyat selama ini.
"BN tidak pernah memohon restu rakyat ketika ingin menaikkan sebarang harga cukai dan sebagainya, ini adalah tidak adil bagi rakyat.
"Oleh itu, pengundi di Bukit Selambau perlu membuat pilihan bijak dalam memilih calon yang akan memimpin di kawasan mereka," katanya kepada Sinar Harian semasa di temui ketika hadir sama dalam majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Tok Pawang, Bedong, baru-baru ini.
Hadir merasmikan majlis ialah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama & Pelajaran Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) SJKT serta masyarakat setempat.
Beliau yang juga Ketua Urusetia Penerangan Jabatan Pilihanraya Pas Negeri Kedah bagi N 25 Bukit Selambau berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) sentiasa menjaga rakyatnya dan tidak akan membebankan rakyat dengan pelbagai kenaikan harga sekiranya negara ini di perintah oleh PR.
"Contohnya hari ini (baru-baru ini), kerajaan negeri Kedah telah meluluskan sebidang tanah seluas 2.2 hektar untuk mendirikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Tok Pawang, Bedong tanpa di kenakan sebarang premium.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri ini di bawah pemerintahan PR tidak pernah mengabaikan mana-mana kaum yang ada di negara ini," katanya.

No comments: