Sunday, April 26, 2009

Kerajaan negeri bantu selesaikan masalah masyarakat India sejak 1935

Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (tengah) ketika majlis pecah tanah bangunan baru SJKT Sungai Tok Pawang, kelmarin.

SUNGAI TOK PAWANG- Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan sebidang tanah seluas 5 1/2 ekar untuk mendirikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Tok Pawang, Bedong tanpa di kenakan sebarang premium.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, SJKT Sungai Tok Pawang mula diasaskan pada tahun 1935 lagi, tetapi selepas merdeka impian ibu bapa yang inginkan bangunan baru sekolah tersebut masih belum tercapai.
Menurutnya, pada bulan Mac tahun lepas beliau telah dihubungi pemimpin kaum India di situ yang meminta kerajaan baru sekiranya memenangi dalam pilihanraya umum lalu untuk membantu menyelesaikan masalah ibu bapa kaum India di situ yang inginkan bangunan sekolah untuk anak-anak mereka.
"Oleh itu, saya telah berjanji sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memenangi dalam pilihanraya umum tersebut akan ditunaikan janji bagi menyediakan sebuah bangunan baru khas untuk anak-anak kaum India di sini untuk mendapat pendidikan dengan lebih sempurna dan selesa.
"Selepas tiga bulan kerajaan PR mentadbir negeri ini setelah memenangi dalam pilihanraya umum tahun lalu, usaha telah dijalankan untuk menunaikan janji-janji yang telah dibuat sebelum pilihanraya umum tersebut," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah bangunan baru SJKT Sungai Tok Pawang, Bedong di sini, kelmarin.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Agama & Pelajaran Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) SJKT serta masyarakat setempat.
Sebanyak RM1.6 juta telah diperuntukan bagi membangunkan bangunan baru SJKT Sungai Tok Pawang untuk kemudahan anak-anak kaum India menimba ilmu.
Azizan berkata, ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri PR tidak pernah melupakan janji yang telah dijanjikan sebelum pilihanraya, apa yang dikatakan oleh pihak tertentu mengatakan kerajaan negeri ini yang di perintah oleh PR tidak menunaikan janji adalah tidak benar.
"Kerajaan negeri akan terus membantu sekolah ini dan juga sekolah-sekolah lain yang ada di negeri ini tertakluk kepada kewangan kerajaan negeri.
"Meminta pihak pengurusan SJKT Sungai Tok Pawang mencontohi kerajaan negeri ini berbelanja dengan berkhemah dan jangan lakukan pembaziran," katanya.
Beliau berkata, hari ini kerajaan negeri telah berjaya membantu menyelesaikan masalah kaum India di sini sejak tahun 1935 lalu yang memerlukan bangunan sekolah sendiri.
"Sebelum ini SJKT Sungai Tok Pawang hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Sungai Tok Pawang, dengan adanya pembinaan bangunan baru ini saya mengharapkan supaya anak-anak daripada kaum India di sini akan memperolehi pempelajaran dengan lebih baik.
"Kerajaan negeri ini sentiasa membantu rakyatnya, contohnya walaupun kerajaan negeri menurunkan cukai tanah tetapi kerajaan negeri ini tetap membantu rakyatnya kerana kerajaan negeri melakukan perbelanjaan dengan berkemah," katanya.

No comments: