Sunday, April 26, 2009

PKWR Parlimen Jerai bantu remaja daripada terjebak dengan masalah gejala sosial.

Mohd Firdaus Jaafar
CHORAS- Demi membantu remaja hari ini daripada terjebak dengan pelbagai masalah gejala sosial yang melanda dalam masyarakat, pelbagai aktiviti telah dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai selama ini.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, pelbagai program serta aktiviti dirangka oleh PKWR selama ini, antaranya dengan mengadakan program-program motivasi khas kepada remaja di Parlimen Jerai telah diadakan.
Menurutnya, remaja hari ini merupakan pelapis negara kita pada masa akan datang, oleh itu kita masyarakat hari ini perlulah membantu mereka menjadi individu yang berkualiti dengan cemerlang dalam pelbagai bidang.
"Untuk mendapat individu yang berkualiti, pelbagi program serta aktiviti yang berfaedah perlulah diadakan, sekurang-kurangnya remaja hari ini mempunyai aktiviti yang berfaedah untuk mereka lakukan dan tidak membuang masa.
"Kita tidak mahu anak-anak muda di Parlimen Jerai terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah seperti terlibat dengan gejala dadah dan sebagainya yang hanya merosakkan masa depam mereka kelak," katanya kepada Sinar Harian ketika hadir menonton perlawanan bola sepak persahabatan antara Jerai FC dan Delima FC di padang Choras, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Ustaz Mohammad Ismail, ketua-ketua kampung berhampiran serta penduduk kampung itu.
Mohd Firdaus berkata, beliau sebagai wakil rakyat akan terus berusaha untuk mengadakan pelbagai aktiviti khas untuk anak muda di Parlimen Jerai dan kini aktiviti bola sepak merupakan salah satu daripada cara mengelak daripada anak muda melakukan aktiviti lain yang tidak berfaedah.
"Ketua-ketua kampung perlu memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat tersebut, mengharapkan kerjasama yang baik antara satu sama lain terus terjalin, dengan ini apa yang kita rancangkan pasti menemui kejayaannya," katanya.

No comments: