Sunday, April 26, 2009

Pengundi N25 di minta buat pilihan bijak.

Mohd Firdaus Jaafar
JERAI- Pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di minta membuat pilihan tepat dengan memilih calon yang dapat menerajui masyarakat kawasan tersebut dan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri ini.
Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon daripada Pakatan Rakyat iaitu calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), S, Manikumar yang mewakili kerajaan negeri ini.
Menurutnya, pada pilihanraya umum yang lalu, rakyat tiada pilihan untuk memilih calon di sebabkan itu pengundi di Bukit Selambau ketika itu telah memilih calon Bebas iaitu, V Arumugam yang telah meletakkan jawatannya pada 8 Februari lalu.
"Kini rakyat telah mempunyai pilihan iaitu dengan memilih calon daripada PKR yang akan memperjuangkan rakyat di kawasan Bukit Selambau.
"Kerajaan negeri ini walaupun tidak mempunyai banyak pengalaman luas memerintah negeri ini dan baru sahaja memerintah negeri ini kira-kira setahun yang lalu, namun telah banyak perubahan yang telah dilakukan demi membantu rakyat di negeri ini," katanya kepada Sinar Harian ketika di hubungi, semalam.
Beliau yang juga Ketua Urusetia Penerangan Jabatan Pilihanraya Pas Negeri Kedah bagi N 25 Bukit Selambau berkata, yakin bahawa rakyat akan membuat pilihan yang tepat pada 7 April nanti, pilihan yang bijak akan memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman serta selesa.
"Kerajaan negeri ini tidak pernah membelakangkan mana-mana kaum yang ada di negeri ini, antaranya kerajaan negeri telah meluluskan sebidang tanah untuk mendirikan sekolah Tamil Tok Pawang yang akan diadakan upacara pecah tanah pada 2 April ini.
"Apa yang telah dikatakan bahawa kerajaan negeri ini memilih kaum adalah tidak benar, kerajaan negeri juga telah melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) daripada kalangan orang Cina dan India dalam membantu pentadbiran kerajaan negeri ini," katanya.
Beliau berkata, selama ini saya juga sentiasa berurusan melalui komuniti kaum India dan Cina dalam menjalankan pentadbiran di Parlimen Jerai ini sendiri, begitu juga dengan masyarakat Melayu yang tidak pernah dipinggirkan selama ini.
"Walaupun calon daripada PKR merupakan wakil India, pengundi Melayu perlulah memilih calon tersebut demi mengekalkan kesejahteraan negeri Kedah yang kini di perintah oleh kerajaan PR.
"Di sebabkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak menetapkan jumlah calon yang boleh bertanding, menyebabkan pilihanraya kecil di Bukit Selambau pada kali ini mencacatkan sejarah dengan 15 calon semuanya yang akan bertanding.
"Mencadangkan supaya SPR menetapkan jumlah calon yang akan bertanding dalam satu-satu pilihanraya dengan menetapkan syarat-syarat tetentu seperti jumlah keahlian sesebuah parti dan sebagainya yang membolehkan seseorang calon itu menjadi calon," katanya.
Katanya, pengundi jangan silap memilih calon-calon lain dan menyarankan pengundi di Bukit Selambau akan keluar mengundi serta buatlah pilihan yang bijak demi kesejahteraan kerajaan negeri Kedah khasnya.

No comments: