Monday, December 29, 2008
SBAR Campuran juara bola sepak Parlimen Jerai
Saturday, December 27, 2008
CERAMAH ISU-ISU SEMASA
Tarikh : 30-12-2008 (Selasa)
Masa : 9.00 malam
Tempat : MARKAS PAS BEDONG
Penceramah :
1. YB SALAHUDDIN AYOB (Ahli Parlimen Kubang Kerian)
2. YB USTAZ TAIB AZAMUDIN (Ahli Parlimen Baling)
3. YB USTAZ FIRDAUS JAA'FAR (Ahli Parlimen Jerai)
Semua lapisan masyarakat dijemput hadir
Thursday, December 18, 2008
BULETIN الحضارة : Antara Perjuangan, Pengorbanan & Wadah
Saudara-saudaraku kehidupan di dunia fana ini akan terus berjalan tanpa memperdulikan sesiapa pun, sampai tempoh masa yang ditentukan ILahi kepada setiap orang atau mahkluk tersebut akan bertemulah ia dengan noktah atau pemberhentian atau kematian atau kemusnahan atau kehancuran kerana itulah selayaknya kepada sesuatu yang bersifat `baharu` di alam fana ini. Setiap mahkluk tersebut, terutamanya kita wahai saudara-saudaraku ! Kitalah yang seharusnya memastikan setiap detik kehidupan yang kita lalui ini bermanfaat untuk perjuangan yang telah kita sepakati dan yakini akan kebenarannya, yang mampu memberikan kebahagian di dunia serta di akhirat nanti.
Bila membicarakan perjuangan, ia bukan lagi ikut-ikutan atau mengisi masa terluang atau menjangkakan perkembangan-perkembangan politik semasa. Itu semua `perjuangan` bagi mereka yang keliru dan tak tahu apa yang hendak diperjuangkan dalam masa yang cukup suntuk serta terbatas ini. Sebenarnya kita sebagai ummat Islam tidak punya banyak masa untuk berteori dan berkhayal melayani kehidupan mereka yang tidak yakin dengan adanya akhirat. Ummah tidak punya masa untuk dibazirkan waktu serta segala potensi ummah bagi mengikut dan menjayakan agenda musuhnya atau mereka yang tidak yakin tersebut. Perjuangan bagi ummat Islam ialah apabila hadirnya makna keimanan kepada Pencipta dan Pentadbir sekelian alam ini di dalam jiwa mereka, lalu membuahkan keyakinan yang akan dipegang dan diperjuangkan dalam seluruh kehidupannya samada secara peribadi ataupun bermasyarakat, dengan mengambil contoh utusan AlLah, iaitu RasululLah SAW dan para sahabat Baginda serta mereka yang mengikut akan mereka itu sampailah ke hari terakhir bagi kehidupan di alam sementara ini.
Bagi ummat Islam, perjuangan juga ialah keyakinan dan kehidupan yang mereka lakukan dengan bersungguh-sungguh untuk membina hadharah hari esok, yang pastinya Hadharah Islamiyyah, seperti yang pernah tertegak di atas mukabumi AlLah ini suatu waktu dahulu. Hadharah hari esok akan lebih cepat sampai dan dapat khalayak ummah memiliki jika semua kita memulakan perjalanannya hari ini. Teruja saya akan kepetahan Si anak kecil Johan Khutbah Ihtifal PASTI Kebangsaan sebulan yang lalu.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada AlLah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan berjuang dengan harta dan jiwa mereka pada jalan AlLah. Mereka itulah orang-orang yang benar" al-Hujurat 15.
"Jika kamu meminjamkan kepada AlLah pinjaman yang baik, nescaya AlLah melipat gandakan balasannya kepadamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan AlLah Maha Pembalas jasa lagi Maha Penyantun" - at-Taghaabun 17.
Untuk sampai kepada kemampuan melakukan pengorbanan sepertimana yang dituntut oleh agama Islam dalam perjuangan kita, tidak dapat tidak mestilah mempunyai keyakinan yang tinggi serta ikhlas hanya untuk AlLah Azzawajalla. Pengorbanan mungkin sesuatu yang mudah dan selalu di sebut, terutamanya apabila untuk orang lain atau pihak bawahan yang ditagih melaksanakannya. Pengorbanan menjadi terlalu sukar malah sering dilupakan begitu saja apabila diri sendiri atau pimpinan atasan sepatutnya memulakan. Saudara-saudaraku sebenarnya itulah rahsia yang tersirat di sebalik kalimah `pengorbanan`.
Pengorbanan Nabi Ibrahim as, pengorbanan Ismail as, dan pengorbanan Hajar ra bukanlah semudah kita mendengar segala kisah-kisah mereka. Pengorbanan yang terpaksa mereka pasrahkan demi sebuah keyakinan tuntutan penghambaan kepada AlLah SWT. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW, pengorbanan kaum keluarga ahlul-bait dan pengorbanan seluruh generasi sahabah demi melengkapkan sebuah keyakinan laiLahaillalLah MuhammadurrasululLah. Semuanya ini terakam sebagai bukti dan saksi yang terus hidup di dalam jiwa mereka yang dihidupkan oleh AlLah dengan keyakinan sebagaimana yang diperintahkanNya.
Begitulah sebenarnya saudara-saudaraku lumrah kehidupan yang AlLah SWT ciptakan di dunia fana ini sentiasa menuntut ia akan pengorbanan bagi menguji keyakinan para hambaNya yang benar-benar beriman dengan hari akhirat. Ada kalanya pengorbanan tersebut terlalu mahal harganya mengikut kacamata biasa nilaian dunia, tetapi insyaAlLah akan ada manusia yang beriman tetap menyahut tuntutannya sebagai hambaAlLah di sepanjang masa.
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu" - Az-Zaariyat 56.
"Sesungguhnya AlLah telah membeli dari orang-orang Muslim, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…" - at-Taubah 111.
Dalam suasana dunia yang sudah tidak ada Nabi dan para Rasul untuk membimbing kita ummat akhir zaman, supaya menjadi hamba yang sebenar kepada Tuhannya. Maka amanah kenabian tersebut akan dipikul oleh Jemaah Islam ataupun Harakah Islam yang benar-benar menepati ciri- ciri dan sifat-sifat para Nabi dan Rasul alaihimussalatuwassalam. Itulah wadah yang akan menjadi harapan ummat marhaen, pembela para mustada`fin, penolong fuqara wal masakin, pembimbing para mukhlisin, penunjuk jalan kebenaran kepada a`bidin serta a`milin dan teman rapat kepada para mujahidin serta solehin. Wadah ini digeruni oleh kuffar dan mustakbirin, dimusuhi oleh para fasiqin dan munafiqun serta dibenci oleh para zalimun dan jahilun.
Saturday, December 13, 2008
Taklimat pembinaan 100 buah unit rumah mangsa banjir
Antara tetamu yang hadir mendengar taklimat pembinaan 100 buah unit rumah untuk diberikan kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu. Sumbangan tersebut merupakan sumbangan peribadi yang diberikan melalui kerajaan negeri. Turut hadir mendengar taklimat tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Taklimat tersebut telah diadakan di tapak pembinaan rumah itu di sini, baru-baru ini.
Pas Cawangan Kepala Bukit ditubuh
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, berbangga kerana dalam masa umat Islam sibuk dengan menyambut hari raya korban, penduduk Kepala Bukit telah berjaya menubuhkan Cawangan baru Pas kawasan tersebut.
Menurutnya, majlis ini telah memberikan dua makna kepada kita, di mana merupakan majlis perasmian Pas Cawangan Kepala Bukit yang baru, dan untuk ramah mesra antara masyarakat di sini.
"Kini telah cukup sembilan bulan kita (pakatan rakyat) memerintah sejak kita menang dalam pilihanraya umum awal tahun ini. Oleh itu kita akan terus memerintah negeri ini supaya dapat membantu semua rakyat di negeri ini. Apa sahaja yang kita lakukan demi pembangunan negeri ini tidak akan menganggu rakyat. Kini Kedah mempunyai pelabur dari luar yang ramai untuk melabur di negeri Kedah, jumlah pelabur semakin meningkat terutamanya di Pulau Langkawi, ini menunjukan pelabur luar telah yakin dengan kerajaan negeri ini," katanya ketika berucap ketika merasmikan Pas Cawangan Kepala Bukit, di sini, kelmarin.
Turut sama, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail, Wakil kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, ketua-ketua kampung serta masyarakat Kepala Bukit.
Azizan berkata, beliau akan memastikan tiadanya rasuah dan penyelewengan di negeri ini kerana tidak mahu rakyat ditindas. Rakyat di negeri ini bernasib baik kerana mempunyai banyak pekerjaan seperti kilang-kilang di Gurun dan sebagainya. Tetapi kerajaan negeri sentiasa memikirkan supaya rakyat di negeri ini akan terus mempuyai pekerjaan supaya ingin mengelak berlakunya pengangguran.
"Contohnya, perancangan kerajaan negeri di mana kita akan memilih rakyat di negeri ini untuk dihantar ke Australia untuk belajar cara penapisan minyak, apabila mereka pulang ke tanah air maka mereka pula akan menurunkan ilmu tersebut kepada anak-anak tempatan di negeri ini supaya mereka pakar dalam bidang tersebut," katanya.
Beliau berkata, selain itu kita sedang membangunkan daerah ini, antaranya sebanyak 100 buah unit rumah yang merupakan sumbangan individu yang diberikan melalui kerajaan negeri kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu.
Selain itu Pulau Bunting juga akan dibangunkan untuk diijadikan pelabuhan yang menyediakan pengangkutan barang dan sebagainya. Seluruh dunia akan datang ke Pulau tersebut, seperti dari China dan lain-lain negeri, kemudian kita akan bangunkan resort di sekitar Titi Hayun dengan keluasan kira-kira 18 ekar.
Jelasnya, apabila pelayar singgah di pelabuhan tersebut, pastinya mereka ingin berehat dan tempat yang sesuai adalah di resort tersebut. Ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.
Kedah juga akan dijadikan "Raksasa Pertanian" di mana kedah merupakan salah sebuah negeri di mana rakyatnya pakar dalam bidang pertanian.
Katanya, pelbagai permasalah rakyat difikirkan, seperti masalah banjir dan sebagainya. Rakyat telah memberikan amanah kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Kerajaan negeri telah melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) sebagai pemimpin di peringkat kampung, jadi segala permasalahan rakyat boleh bertemu dengan ketua kampung masing-masing, dan permasalahan tersebut akan dibawa ke peringkat atasan untuk diambil tindakan selanjutnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pas cawangan Kepala Bukit kerana telah berjaya menubuhkan cawangan baru.
Helmi tidak sepatutnya dipersalahkan
Demikianlah kata Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. Beliau amat kecewa kerana Helmi seorang sahaja dipersalahkan apabila pasukan Malaysia kalah ditangan Vietnam 3-2.
Mohd Firdaus berkata, belia anti kritikan yang dilemparkan oleh jurulatih pasukan, B Sathianathan tehadap Helmi seorang sahaja, sebaliknya ianya kepada pasukan itu sendiri dan jangan hanya mempersalahkan seseorang individu sahaja kerana itu tidak adil.
Menurutnya, rakyat kedah sentiasa menyokong Helmi dari belakang kerana beliau mempunyai potensi yang baik untuk menjadi penjaga gol bola sepak negara ini.
"Saya mewakili rakyat kedah tidak suka sama sekali kritikan yang dilemparkan kepada Helmi seteruk itu, ianya bukan akan memotivasikannya malah akan melemahkan kerjayanya sebagai penjaga gol bola sepak negara ini.
"Seseorang jurulatih yang baik tidak akan meghukum seseorang individu itu sedemikian rupa kerana ianya akan memalukan Helmi serta keluarganya sendiri," katanya.
Beliau berkata, tidak salah untuk mengkritik tetapi biarlah ianya memberikan motivasi kepada individu terbabit. Bola sepak merupakan satu pasukan dan tidak sepatutnya Helmi seorang sahaja dipersalahkan.
"Jika dilihat persembahan Helmi tidak memuaskan, kenapa beliau (jurulatih) tidak dikeluarkan terlebih awal sebelum beliau melepaskan 3 biji gol, ini merupakan tindakan yang perlu diambil oleh jurulatih.
Ujarnya lagi, beliau mengharapkan supaya Helmi lebih tabah dan jangan kerana kritikan itu beliau tertetan kerana rakyat Kedah sentiasa menyokongnya dari belakang.
Tuesday, December 9, 2008
Kerajaan negeri sentiasa fikir rakyat

Thursday, November 27, 2008
Petronas anjur program komuniti
Wednesday, November 26, 2008
Terap didikan agama sejak kecil
Tuesday, November 25, 2008
Tumpuan dalam kelas, kunci kejayaan murid 7A UPSR

Sunday, November 23, 2008
LIGA BOLASEPAK 9'S PARLIMEN JERAI 2008
Pertandingan adalah terbuka kepada semua pasukan dan dikenakan bayaran sebanyak RM150.00/pasukan. Semua pasukan adalah dipelawa untuk menyertai liga ini. Borang penyertaan boleh diperolehi dengan menghubungi PKWR Parlimen Jerai di talian 044619635, Mohd Shubihi - 0194433171, Bokhari Ahli - 0194722339 atau Mohd Fauzi - 0194942394.
Lapan pasukan terbaik akan menerima hadiah-hadiah yang ditawarkan dalam pertandingan ini. Pasukan yang muncul sebagai Juara akan membawa pulang wang tunai RM3000.00, sebuah piala iringan dan medal. Manakala Naib Juara akan menerima wang tunai RM1500.00, sebuah piala iringan dan medal. Tempat ketiga akan menerima wang tunai RM700.00, sebuah piala iringan dan medal. Tempat keempat akan membawapulang wang tunai RM400.00 dan medal, manakala pemenang kelima hingga kelapan akan menerima hadiah wang tunai RM150.00.
Di samping itu berbagai aktiviti lain akan turut diadakan bersempena dengan Liga ini. Gerai-gerai jualan dan pameran produk, pameran piala-piala Liga Malaysia dan sessi bersama peminat pasukan Hijau Kuning dan KM-Naza akan mengisi program tersebut. Kemuncak kepada program ini akan diadakan perlawanan bolasepak persahabatan yang akan mempertemukan juara-juara Liga Malaysia musim lalu iaitu KEDAH dan KM-NAZA.
Azizan sumbang gaji RM10,000 sebulan

Saturday, November 22, 2008
Penduduk, pelajar dan pemimpin bergotong-royong hapus denggi
Turut hadir pada program gotong-royong tersebut ialah Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Muzaini Azizan, Ketua Komuniti Taman Perumahan Perwaja, Bokhari Ali serta jawatankuasa komuniti taman perumahan tersebut.
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, dengan adanya program tersebut, selain dapat bergotong-royong membersihkan kawasan taman perumahan ini untuk mencegah jangkitan denggi, pelbagai kebaikan lain diperolehi oleh semua yang terlibat dalam program tersebut.
"Ini merupakan usaha murni yang perlu diteruskan oleh masyarakat hari ini di mana kita semua hidup dalam sebuah komuniti perlu sama-sama hadir apabila adanya aktiviti seumpama ini kerana dengan adanya aktiviti tersebut dapat membantu mengukuhkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Menurutnya, dalam masa yang sama masing-masing dapat bertukar-tukar fikiran kerana sebelum ini masing-masing sibuk dengan tugas seharian, kesempatan dengan adanya program itu perlulah diambil oleh masyarakat.
"Meminta supaya masyarakat menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka tidak kira sama ada di taman atau kampung mereka sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Mohd Firdaus berkata, tujuan aktiviti gotong-royong diadakan lebih kerap kerana kini di sekitar taman perumahan Gurun telah ada yang merebaknya jangkitan denggi, tetapi Taman Perumahan Perwaja masih tiadanya berlaku jangkitan denggi. Oleh yang demikian masyarakat di sini perlulah membersihkan kawasan perumahan mereka untuk mengelak daripada jangkitan denggi mereka ke taman tersebut.
"Kita akan mengadakan pertandingan mencantikkan taman dan kampung melalui bajet kerajaan negeri, tujuannya mengadakan aktiviti seumpama itu ialah untuk memupuk masyarakat kita supaya menjaga kawasan perumahan mereka, di samping itu ianya akan membantu mencantikkan kawasan kampung atau taman.
Katanya, beliau turut meminta supaya pihak Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dapat memungut sampah dengan lebih kerap, terutamanya pada hari Khamis kerana Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti jadi sekiranya sampah tidak dipungut pada hari Khamis maka akan menyebabkan sampah bertimbun banyak.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Komuniti Taman Perumahan Perwaja dan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mergotong-royong membersihkan kawasan perumahan ini. Diharapkan aktiviti tersebut diteruskan pada masa akan datang.
Nisa' rai 150 orang anak yatim
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, program tersebut di manya ianya dalah untuk meraikan anak-anak yatim yang terdapat di negeri ini. Ini menunjukkan bahawa Nisa' juga sentiasa perihatin kepada mereka yang memerlukan perhatian seperti anak-anak yatim.
"Dengan adanya aktiviti Nisa' ini merupakan salah satu aktiviti yang baik dan perlu diteruskan oleh pihak lain juga. Nisa' yang mana dianggotai oleh generasi muda telah membantu daripada berlakunya masalah gejala sosial di kalangan remaja hari ini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Nisa' mendapat sokongan daripada beliau, malah semasa ucapan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan, Ustazah Siti Ashah Ghazali turut menyokong aktiviti Nisa' dalam membantu masyarakat hari ini.
"Nisa' yang dianggotai oleh wanita-wanita berhasrat melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu, berakhlak mulia serta mempunyai keperibadian yang terpuji.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu menjayakan program Nisa' bersama anak-anak yatim itu, mengharapkan Nisa' akan terus berjaya pada masa-masa hadapan dalam membantu masyarakat hari ini.
Selaras dengan misi Nisa' iaitu untuk mencapai matlamat melalui program-program yang dirancang dengan teliti, disemai dengan kasih sayang disampaikan dengan penuh keikhlasan maka, baru-baru ini telah diraikan anak-anak yatim sekitar negeri Kedah yang diadakan di SAIF, Guar Chempedak.
Pelbagai aktiviti telah diadakan semasa majlis tersebut, seperti persembahan nasyid daripada pelajar SAIF, dan sedikit sumbangan telah disampaikan oleh Ustazah Siti Ashah Ghazali kepada anak-anak yatim yang dirai dalam majlis itu.
Tuesday, November 18, 2008
YB Jerai rai kunjungan Kelab Motosikal Padang Besar
Kunjungan Kelab Motosikal Padang Besar ke Daerah Yan disambut baik oleh Ahli Parlimen Jerai. Konvoi yang disertai lebih 30 motosikal itu dibawa menjelajah sekitar Parlimen Jerai dan kawasan-kawasan pelancongan terkenal di Daerah Yan iaitu Titi Hayun dan Pantai Murni.
Saturday, November 15, 2008
Penjelasan kuota perumahan Kedah oleh MP Sungai Petani
Tuesday, November 11, 2008
LPP, PPK jual terus benih padi elak harga melambung
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan satu daripada strategi kementerian bagi mengelakkan petani terpaksa menanggung beban kerana harga benih padi yang mahal.
Beliau berkata, hasil kajian yang dijalankan oleh pihak kementerian mendapati kenaikan harga tersebut disebabkan dua faktor iaitu orang tengah dan kenaikan harga padi semasa.
"Jadi untuk membantu petani, kita akan mengurangkan penggunaan orang tengah dengan benih padi dijual terus kepada petani melalui PPK dan LPP. Dengan cara ini, harga benih padi dapat dikawal daripada melambung naik.
"Jika harga padi naik maka harga benihnya juga akan turut meningkat disebabkan masa untuk menuai lebih panjang daripada padi biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Agro Bank cawangan Jeli di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan para petani supaya kementerian tersebut campur tangan berhubung kenaikan harga padi benih jenis 232 daripada RM25 kepada RM40 sekampit di Kelantan yang dianggap membebankan mereka.
Kenaikan mendadak itu menyebabkan petani terpaksa membelanjakan sebanyak RM160 (tahun ini) berbanding RM100 (tahun lepas) untuk membeli benih bagi keperluan setiap 0.4 hektar.
Mustapa berkata, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menambah subsidi benih padi bagi mengurangkan beban yang ditanggung petani.
"Ada desakan dari pengeluar benih padi supaya subsidi ditingkatkan bagi menampung kos yang semakin meningkat.
"Kerajaan sebelum ini hanya memberikan subsidi sebanyak 50 sen untuk setiap kilogram benih padi dan kita sedang mengkaji untuk menambahkan subsidi ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian tersebut sedang menyusun semula sektor pertanian bagi memastikan ia terus berdaya saing dalam menempuh suasana semasa dunia yang tidak menentu.
Katanya, ia amat perlu bagi memastikan sektor itu dapat ditingkatkan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
"Kerajaan sebelum ini tidak memberikan penekanan kepada sektor pertanian cuma sejak tiga atau empat tahun lepas bidang ini diberi perhatian,'' ujarnya.
Misalnya kata beliau, pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) kerajaan hanya memperuntukkan sebanyak RM3 bilion tetapi pada RMK-9 ia ditingkatkan kepada RM10 bilion.
Sunday, November 9, 2008
Soalan untuk jawapan lisan di Parlimen
Friday, November 7, 2008
Sultan mahu Kedah jadi ‘Jelapang Makanan Malaysia’
Wednesday, November 5, 2008
Ketua kampung perlu adil
Pemuda Pas bantah persidangan UMNO diadakan di sekolah
Sunday, October 26, 2008
Ahli Parlimen Jerai rasmi gelanggang silat Batu 18
Ustaz Firdaus dalam ucapan perasmiannya mengharapkan sokongan jitu dari semua pihak demi menjaga kesinambungan kebanggaan warisan melayu ini. Beliau mengucapkan penghargaan kepada pengasas gelanggang tersebut yang tidak mengenal putus asa membimbing golongan remaja dan muda untuk terus mewarisi kesenian melayu ini.
Majlis meraikan bakal-bakal haji Parlimen Jerai
Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar hadir untuk mengucapkan selamat mengerjakan ibadah haji kepada bakal-bakal haji di Parlimen Jerai dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan mereka semasa melakukan ibadah tersebut. Beliau turut menyampaikan cenderahati tanda ingatan kepada semua bakal-bakal haji yang hadir dalam majlis itu.
Ustaz Firdaus dan isteri menyampaikan cenderahati kepada bakal-bakal haji yang hadir
Friday, October 24, 2008
Pelantikan Ketua Kampung Dun Gurun
Bukhori Ali menerima surat perlantikan ketua kampung bagi Zon Perumahan Perwaja, Gurun
Sungai Petani (23-10) - Seramai 53 orang Ketua Kampung dan Ketua Komuniti telah dengan rasminya dilantik di seluruh Dun Gurun. Surat perlantikan ketua kampung itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Kuala Muda, Dato' Khazali Haji Din.
Banjir lagi di Yan
Tuesday, October 21, 2008
Ucapan Perbahasan Bajet 2009 Ahli Parlimen Jerai

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua yang telah memberi ruang kepada saya pada petang yang mulia ini bagi membahaskan Belanjawan 2009. Mudah-mudahan dapat sama-sama kita mengambil manfaatnya dan pihak kerajaan mestilah penuh rasa tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan hak-hak kepada rakyat jelata.
Tuan Yang di-Pertua, saya memohon Kementerian Kerja Raya khususnya bagi memastikan kelangsungan pembangunan khususnya di Parlimen Jerai. Apabila mana kita sampai sahaja ke kawasan Parlimen Jerai sudah tentulah rakyat akan melihat perkembangannya.
Apa yang berlaku di sana adalah kesulitan dan keresahan rakyat berkaitan dengan pembangunan jambatan yang dibina pada awal tahun 70-an sehingga kini belum ada pembesaran dan pembangunan baru yang menyebabkan sering kali pada hari-hari perayaan mahupun hari-hari cuti umum, boleh dikatakan saban minggu berlakunya kemalangan disebabkan sempitnya jambatan tersebut yang mungkin sesuai pada era 70-an dan tidak sesuai lagi pada era 2008 dan 2009 ini.
Namun kita memohon kepada kementerian tersebut supaya mengkaji dan memberi peruntukan khas serta membina jambatan tersebut bagi kemudahan dan keselamatan rakyat yang menggunakannya berulang-alik dari Alor Star ke Sungai Petani.
Sama juga dengan kehendak trafik yang saban masa dan saban hari ada cuti umum dan seumpamanya Ops Sikap telah dilancarkan. Namun disebabkan laluan dan perjalanan ataupun prasarana tersebut menyebabkan kemalangan bertambah, maka dengan adanya pembangunan ini, jambatan baru ini, kita pohon kepada kementerian supaya dapat menyelamatkan kemalangan dan memberi kelancaran pembangunan di kawasan Parlimen Jerai.
Kedua, saya mohon kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, baru-baru ini sering kali hujan turun di kawasan Jerai di daerah Yan, Kuala Muda khususnya Gurun, walaupun tidak selebat seperti yang dijangka oleh pihak Jabatan Alam Sekitar, cukup dengan tiga jam sahaja, maka kampung-kampung di Jitra, Setoi dan seumpamanya sering kali ditenggelami air dan hasil perbincangan pihak saya dan juga JPS, yang mana pihak JPS telah pun memohon dalam Rancangan Malaysia Kesembilan dalam anggaran RM11.3 juta bagi memastikan rakyat selesa dengan hujan yang lebat sekali pun, namun rakyat pasti akan selamat daripada banjir dan seumpamanya. Namun usaha ini gagal dan tidak dapat peruntukan.
Dalam majlis di Dewan yang mulia ini saya mohon sekali lagi agar kementerian tersebut lebih peka dan lebih melihat kepada keresahan dan kerosakan harta benda rakyat. Apabila peruntukan ini turun dan dapat diatasi masalah banjir ini, kita yakin rakyat lebih selesa dan kita mesti merujuk kepada kata-kata pemimpin Islam terulung Sayidina Ali r.a. mengatakan: “Pemimpin mestilah merasakan keselesaannya adalah keselesaan rakyat, penderitaan rakyat adalah penderitaan pemimpin”.
Jadi, dengan memohon daripada JPS ini peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ataupun Rancangan Malaysia Kesepuluh nanti pastilah mereka turun dan membantu menyelesaikan permasalahan yang sedang berlaku, isu banjir di Kedah dan di seluruh Negara khususnya di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dan sudah pastilah kita tidak mahu ada unsur-unsur anak tiri dan seumpamanya.Saya merujuk kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang mana 70% penduduk kawasan Jerai adalah merupakan petani dan sering kali kita melihat pelbagai usaha telah dilakukan oleh kementerian bagi mengawal harga padi dan seumpamanya. Namun terdapat penindasan-penindasan yang tidak terancang, yang perlu saya sebut supaya rakyat dan kementerian dapat sama-sama mengatasi masalah ini.
Pertamanya adalah hal kawal selia padi yang telah memutuskan dan mengarahkan kepada pelesen-pelesen pembeli padi supaya tidak menjual harga padi melepasi 5 kilometer persegi. Apabila ini diarahkan, maka ini sudah tentulah memberi kerugian kepada petani apabila mana pelesen-pelesen pembeli ini hanya mampu menjual sekitar 5 kilometer sahaja. Ini bermakna kilang-kilang yang berada di sekitar itu membeli harga murah sudah pastilah pelesen ini akan membeli harga murah kepada petani menyebabkan petani terus ditindas dalam segala hal.
Seperti juga dengan hal lesen beras, ataupun lesen kecil membeli beras, kita mohon agar BERNAS membenarkan pelesen-pelesen kecil ini terus memberi beras kepada BERNAS kerana di sini dapat mengawal harga yang murah dan memastikan rakyat terus berbelanja dengan harga yang murah dan mendapat keuntungan yang besar kepada rakyat.
Kita pohon kepada kementerian tersebut membenarkan untuk diaktifkan semula B-Mart yang suatu masa dahulu telah pun berjaya mewujudkan harga yang terkawal, harga rendah kepada masyarakat dan kita meminta petani-petani tidak ditindas lagi.
Mengenai isu MADA yang mana kita melihat racun yang dibekalkan oleh pihak MADA tidak ada kualiti bahkan terlalu mahal jika dibandingkan dengan harga di pasaran. Apabila petani-petani membandingkan harga tersebut, maka petani merasa kesal kerana baja atau racun yang dibekalkan tidak ada kualiti dan lebih mahal daripada harga-harga pasaran atau harga runcit.
Kita melihat peruntukan racun RM500. Apabila petani mengambil harga racun RM450 maka disoal di manakah bakinya. Bakinya adalah dalam bentuk ringgit tidak dipulangkan kepada petani dan petani kerugian RM50. Bayangkan puluhan ribu petani yang kemungkinan dalam pembelian tersebut mengambil dalam nilai di bawah daripada RM500 maka bakinya tidak dipulangkan kepada petani. Ini juga menjadi tanda tanya dan persoalan kepada petani yang sering kali bertanya hak mereka diambil dalam bentuk begitu. Kita minta kementerian, kalaulah nilainya RM500, petani mengambil racun di bawah RM500 maka bakinya mesti dipulangkan balik kepada petani tersebut sebagai tanda ketelusan pihak kementerian, pihak agensi kerajaan,
MADA dan petani. Seterusnya dari segi subsidi minyak. Bagaimana petani hendak memastikankelangsungan hasil daripada padi tersebut apabila mana mesin-mesin pengusaha padi tidak dibekalkan subsidi minyak. Maka pada hari ini daripada RM80 satu relong dinaikkan kepada RM120.
Maka kita minta kalaulah kementerian yang sama boleh menyediakan subsidi minyak kepada nelayan kita mohon, kita mencadangkan agar kementerian yang sama menyediakan subsidi minyak kepada pengusaha mesin-mesin padi supaya petani tidak menjadi mangsanya, yang mana terpaksa berbelanja besar untuk kos mesin padi.
Seterusnya memohon Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mana kita melihat pada hari ini bomba merupakan sesuatu yang cukup penting dalam isu kebakaran, kemalangan dan sebagainya. Kita melihat bomba sukarela lebih banyak daripada bomba di bawah kelolaan kerajaan itu sendiri. Contohnya di Jerai sahaja bomba kerajaan hanya ada satu dan lapan lagi adalah bomba sukarela.
Jadi kita memohon kepada kementerian tersebut menyediakan peruntukan khas bagi membantu bomba di seluruh negara kerana mereka kadangkadang lebih awal dan cepat, kerana mereka berada di sekitar kawasan perumahan, bandarbandar kecil dan seumpamanya. Kita mohonlah peruntukan itu diberikan yang dapat membantu ahli-ahli bomba sukarela di seluruh negara kerana mereka juga menghulurkan jasa besar bagi menyelamat kebakaran dan seumpamanya.
Kita juga memohon diberikan bantuan kenderaan lori, kereta, paip dan seumpamanya bagi melancarkan lagi aktiviti-aktiviti bomba sukarela di seluruh negara. Kos-kos pembinaan bagi balai bomba sukarela perlu diberikan bantuan peruntukan agar bomba sukarela dapat meneruskan kejayaannya membantu rakyat seperti mana yang dihasratkan oleh kementerian tersebut.
Tuan Yang di-Pertua, suka saya menyebut di dalam Dewan yang mulia ini berkaitan dengan Kementerian Belia dan Sukan, satu kementerian yang cukup penting untuk membina insan, memulihkan keyakinan anak-anak muda yang berkepercayaan mendidik anak-anak muda.
Saya melihat Kementerian Belia dan Sukan merupakan kementerian yang paling penting antara kementerian-kementerian lain supaya anak muda kita dapat didisiplinkan, disusun-atur kehidupan mereka, dan masa depan mereka. Maka kita mohon Kementerian Belia dan Sukan mestilah aktif bukan sekadar untuk melihat dari jarak jauh sahaja, tetapi mesti melihat perjalanan anak muda khususnya program-program berkaitan dengan golongan muda dalam negara kita.
Pada saya, saya merujuk kepada aktiviti sukan yang berada dalam negara kita terutama kita melihat persatuan-persatuan sukan, persatuan-persatuan yang lebih cenderung kepada politik sehingga kita melihat tidak ke mana sukan-sukan tanah air kita.
Kita bercakap soal badminton, sepak takraw, soal bola sepak dan seumpamanya dan kita melihat seolah-olah kementerian ini mengadakan program sekadar batuk di tangga sahaja yang tidak boleh menjamin kelangsungan sukan dan membina anak muda cintakan sukan negara. Merujuk kepada keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia yang menterinya memberi jawapan kepada saya Khamis yang lalu diserah kepada pemilihan pasukan dan juga aktiviti sukan bola sepak kepada persatuan seolah-olah memberi gambaran kepada kita kementerian tidak mengambil tahu langsung hal-hal berkaitan dengan bola sepak.
Saya mengakui sukan ini adalah merupakan sukan yang paling hebat sambutannya dan merupakan satu perniagaan kepada kelab-kelab atau negeri yang mewujudkan team bola sepak yang hebat. Saya melihat apabila keputusan FAM khususnya, kita pohon Kementerian Belia danSukan untuk mengkaji semula.
Kita masih punya masa dua bulan sebelum bermulanya liga 2009 ini untuk memikir semula tentang kebaikan adanya pemain import untuk mengharungi, mewarnai cabaran bola sepak tempatan. Bagi peminat keputusan yang dibuat adalah kurang bijak. Alasan kemerosotan bola sepak negara di samping ingin memberi peluang kepada pembangunan adalah satu alasan yang dangkal.
Belum pernah saya dengar liga profesional dalam negara lain yang prestasi bola sepak mereka merosot dengan hadirnya pemain import. Liga Singapura dengan lima pemain import telah berjaya meletakkan Singapura di tahap mengatasi Malaysia.
Liga V, yakni Vietnam telah meletakkan Vietnam sebagai sebuah kuasa baru bola sepak Asiaselepas Jepun. Mampu kah Malaysia tanpa pemain import? Dalam hal ini peminat bola merasakan sistem kita tidak betul, bukannya pemain import yang tidak betul.
Dalam hal ini, peminat merasakan sistem perlu diubah, perlu disusun semula bagi memastikan bola sepak negara kita penuh dengan minat dan mewarnai dengan pelbagai aktiviti melalui saluran pemain importnya dan menaikkan semangat sokongan di semua peringkat anakanak muda. Apabila persatuan bola sepak yang kementeriannya membisu seribu bahasa, membiarkan ini diteruskan, maka kita bimbang, kita takut bola sepak kita lebih ke bawah daripada negara lain dan akhirnya tidak mendapat sokongan daripada rakyat, golongan muda dan menyebabkan persatuan bola sepak terpaksa gulung tikar dalam hal-hal liga tempatan.
Apabila pemain import tidak mewarnai liga tempatan, maka di manakah sebenarnya kelangsungan liga kita? Apakah kita mampu bersaing dalam liga Asia, AFC dan sebagainya dan terbukti apabila mana Kerajaan Malaysia ataupun kementerian, persatuan bola sepak Malaysia tidak membenarkan pemain import beraksi pada tahun hadapan. Maka, contohnya negeri Kedah terpaksa gulung tikar di peringkat AFC kerana tidak dapat bersaing dengan negara-negara, kelab-kelab negara Asian disebabkan mereka mempunyai tenaga pemain import yang lebih berwibawa mengatasinya.
Jadi, persoalannya apakah langkah bijak yang dilakukan oleh kementerian, oleh persatuan bola sepak tempatan yang membiarkan keadaan ini berlaku? Apakah kita ingin maju seperti mereka yang sudah maju ataupun kita mahu undur ke belakang? Pelbagai persoalan yang timbul yang perlu dijawab oleh persatuan mahupun kementerian.
Maka, kita jadikan kambing hitam persatuan kita, pemain ataupun hobi anak muda dan menyebabkan anak muda beralih arah daripada bersukan yang lebih sihat, persaingan yang lebih sihat kepada mencari jalan memenuhi nafsu jahat dan seumpamanya. Kita bimbang dengan keputusan ini akan merudum, akan menjatuhkan lagi nilai prestasi sukan kita dan menyebabkan anak muda menghilang arah.
Hari ini kita melihat bagaimana persatuan-persatuan bola sepak negeri atau pun kelabkelab sedang mencari dan mengambil pendekatan membeli pemain-pemain dan harga pemain tempatan juga melambung, tetapi kualiti yang tidak ke mana. Kita tidak mahu pasukan ataupun mutu bola sepak tempatan merudum, menjadi bahan ketawa seluruh negara-negara, rakanrakan, jiran-jiran kita.
Pada masa ini sedang berlangsung pesta merdeka. Bagaimana peminat kita? Bagaimana anak muda membanjiri stadium pada malam ini? Malaysia bertemu Afghanistan contohnya. Kita hanya beraksi dengan pasukan-pasukan yang tidak ternama. Apa tujuan kita sebenarnya? Untuk menang sahaja kah ataupun kita sorak sendiri kah? Tahukah kita menang dengan pasukan tersebut mendapat sorakan, ejekan. Kita kalah, lagilah kita mendapat ejekan dari peminat-peminat tempatan. Sebenarnya tidak ada hala tuju yang jelas kepada persatuan bola sepak dan kementerian dan mesti bertanggungjawab hal ini.
Seumpama dengan badminton, kita juara sahaja, kita melatah. Kementerian, Timbalan Perdana Menteri melatah dan menawarkan RM1 juta kerana pemain kita, atlet kita yang memenangi pingat emas dan seumpamanya. Kenapa kita tidak mengikut susunan yang ada, imbuhan-imbuhan yang sewajar dengannya? Kenapa kita menggalakkan mereka? sebenarnya memberikan tekanan kepada atlet-atlet kita, memberi tekanan kepada pertubuhan-pertubuhan kelab-kelab dan seumpamanya.
Apabila kita mendidik dan mengambil pengalaman, bukan tidak pernah FAM telah pun memutuskan melarang pemain import bermain dalam liga tempatan. Pernah berlaku pada masa yang lalu dan banyak kali beberapa perkara yang telah dilakukan.
Namun, tahap permainan, tahap sukan Malaysia masih tahap yang sama. Jadi, kita mohon kementerian mestilah mempunyai objektif yang jelas, mempunyai kemahuan yang serius supaya segera memperbetulkan apa yang salah dan segera sama dengan liga-liga negara jiran supaya Negara kita bukan sahaja penyokongnya berpaling tadah menyokong kelab-kelab England contohnya, Chelsea dan sebagainya tetapi tidak mengambil peduli kelab-kelab tempatan yangdilangsungkan di dalam negara kita sendiri.
Apabila kita hilangkan rasa minat, dorongan anak-anak muda terhadap sukan, maka masa yang sama, jangan kita salahkan mereka. Jangan kita salahkan mereka tidak ada semangat kesukanan negara, menyokong team pasukan kebangsaan negara. Disebabkan tangan-tangan kitalah, disebabkan ketidaktelusan kitalah kementerian dan orang yang berwajib menyebabkan mutu, nilai bola sepak tempatan merudum.
Saya mewakili hasil perbincangan saya dengan rakan-rakan pemain, rakan-rakan jurulatih, dan bekas-bekas pemain mohon agar kementerian merujuk dan mengkaji semula agar mana pemain import dapat datang dan mewarnai bola sepak tempatan tahun hadapan supaya peminat-peminat dan sorakan rakan muda sama-sama membangun dan bersama dengan sukan tempatan kita ini. Dengan tindakan yang kurang bijak tadi, kita percaya pasukan kebangsaan kita mahupun persatuan-persatuan kita tidak ke mana.
Tuan Yang di-Pertua dan akhir sekali saya memohon kepada semua pihak juga kementerian-kementerian yang melibatkan agenda-agenda pembangunan rakyat mestilah telus dan bersama-sama membasmi kemiskinan tegar, membasmi pengangguran di kalangan remajaremaja kita, di kalangan intelektual kita yang menganggur dan memastikan kerjaya mereka selamat, memastikan pelabur-pelabur terus berminat dengan negara kita ini, memastikan anakanak kita mempunyai akhlak budaya yang baik yang cemerlang, modal-modal insan mesti diperbanyakkan, pendidikan, rohani dan jasmani, membina akhlak mulia di kalangan remaja-remaja, mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab, yang tidak rasuah dan korupsi, mempunyai warganegara yang bijak, yang baik, dan memahami tanggungjawab kita bersama.
Mudah-mudahan dengan saranan ini, saya yakin dan percaya kementerian dapatlah melihat, menjenguk keadaan rakyat di bawah sana yang tenggelam dengan banjir, kemiskinan, harga petrol yang merudum, yang turun ini, turut sama dengan harga getah, harga sawit. Kita memohon kepada jawatankuasa pemandu atau jawatankuasa kawal harga barang mestilah segera bermesyuarat memutuskan semula harga-harga barang di pasaran supaya turun seperti mana harga-harga petrol, harga-harga getah dan sawit supaya rakyat tidak tertekan dengan pendapatan yang kecil dan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.
Mohon kepada Tuan Yang di-Pertua untuk perhatian kepada menteri-menteri yang terlibat. Terima kasih.
Berita Jerai
-
▼
2008
(72)
-
►
November
(15)
- Petronas anjur program komuniti
- Terap didikan agama sejak kecil
- Tumpuan dalam kelas, kunci kejayaan murid 7A UPSR
- LIGA BOLASEPAK 9'S PARLIMEN JERAI 2008
- Azizan sumbang gaji RM10,000 sebulan
- Penduduk, pelajar dan pemimpin bergotong-royong ha...
- Nisa' rai 150 orang anak yatim
- YB Jerai rai kunjungan Kelab Motosikal Padang Besar
- Penjelasan kuota perumahan Kedah oleh MP Sungai Pe...
- LPP, PPK jual terus benih padi elak harga melambung
- Soalan untuk jawapan lisan di Parlimen
- Aktiviti YB Jerai di kawasan minggu lalu
- Sultan mahu Kedah jadi ‘Jelapang Makanan Malaysia’
- Ketua kampung perlu adil
- Pemuda Pas bantah persidangan UMNO diadakan di sek...
-
►
November
(15)